BMW iX4 (2027) diperkenalkan – SUV coupe elektrik dengan 612 hp, jarak sehingga 828 km

Selepas memperkenalkan iX3 pada April lalu, BMW kini memperkenalkan pula versi coupe-nya iaitu iX4 serba baharu.

Dibangunkan menggunakan platform Neue Klasse, SUV elektrik ini ditawarkan dalam dua varian pada peringkat awal, sebelum disusuli model flagship M60 xDrive yang lebih berkuasa.

Rekaan luaran: Pakej M Sport sebagai standard

Seperti iX3, iX4 mengguna pakai bahasa rekaan Neue Klasse, dengan gril kidney dan lampu hadapan berkembar yang digabungkan dalam satu elemen visual. Di bahagian belakang, lampu nipis mendatar, permukaan badan berukir serta spoiler yang menonjol menyerlahkan bentuk SUV coupe ini.

Semua varian dilengkapi pakej M Sport, termasuk rim aloi M bersaiz 20 inci dan brek M Sport dengan angkup berwarna biru. Varian M60 xDrive pula menerima kemasan gril kidney hitam, lampu DRL berwarna kuning, spoiler belakang dan rim 21 inci.

Bumbung panoramik dengan kaca penebat haba turut didatangkan standard, manakala pelanggan yang inginkan penampilan lebih sporty boleh mendapatkan rim 22 inci.

Kabin: BMW Panoramic iDrive

Ruang kabin iX4 menampilkan sistem BMW Panoramic iDrive yang menggabungkan BMW Panoramic Vision, paparan head-up 3D, skrin tengah bersaiz 17.9 inci serta stereng sport.

Selain itu, kelengkapan standard termasuk tempat duduk hadapan dengan pelarasan elektrik dan fungsi memori, serta tempat duduk belakang dengan konfigurasi lipatan 40:20:40. Walaupun mempunyai bumbung yang melandai, BMW menjanjikan ruang kepala dan kaki yang luas.

Sebagai varian flagship, M60 didatangkan dengan tempat duduk M Sport dan sistem audio Harman Kardon 13 pembesar suara berkuasa 430 watt dengan sokongan Dolby Atmos.

Sistem rangkaian kuasa: Jarak gerak sehingga 828 km

iX4 menggunakan teknologi BMW eDrive generasi keenam (Gen6), dengan sel bateri silinder, seni bina elektrik 800V, pengecasan dua hala serta pengecasan pantas DC sehingga 400 kW.

Semua varian dipacu oleh dua motor elektrik, satu pada gandar depan dan satu pada gandar belakang. Varian 40 xDrive menghasilkan 374 hp dan 520 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 5.6 saat serta jarak gerak sehingga 638 km dengan bateri 82.6 kWj.

50 xDrive pula mempunyai 469 hp dan 645 Nm, dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 4.9 saat. Ia menggunakan bateri berkapasiti 108.7 kWj yang menjanjikan jarak sehingga 828 km. Pada kapasiti maksimum, pengecasan selama 10 minit boleh menambah jarak sehingga 387 km.

Sebagai model paling berkuasa, M60 xDrive menawarkan 612 hp dan 875 Nm. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 3.9 saat, mencapai kelajuan maksimum 240 km/j dan menawarkan jarak gerak sehingga 777 km.

Casis dan teknologi pemanduan

Semua varian dilengkapi sistem Heart of Joy yang mengawal rangkaian kuasa dan dinamik pemanduan. M60 xDrive mendapat suspensi adaptif M, stereng sport dengan nisbah berubah-ubah serta differential elektronik M pada gandar belakang.

Sistem Motorway Assistant turut membolehkan pemanduan bebas tangan pada kelajuan sehingga 130 km/j. Walau bagaimanapun, ciri ini hanya tersedia di negara-negara terpilih.

Pelancaran

iX4 40 xDrive dan 50 xDrive dijadualkan dilancarkan pada Mac 2027, manakala tempahan untuk M60 xDrive akan dibuka pada Januari 2027