Škoda Peaq catat rekod 936 km sekali cas, EV Eropah juga boleh pandu jauh!

Gambar depan Škoda Peaq

Škoda Peaq mencatat pencapaian luar biasa apabila SUV elektrik tujuh tempat duduk itu berjaya dipandu sejauh 936 kilometer (km) dengan sekali cas.

Jarak tersebut dicapai dalam perjalanan dari Mladá Boleslav, Republik Czech ke pantai Zandvoort, Belanda, tanpa mengecas semula bateri sepanjang perjalanan.

Lebih menarik, perjalanan ini bukan sekadar ujian dalaman.

Ia dipantau secara rasmi oleh TÜV Süd, manakala wakil Czech Book of Records turut hadir untuk menyaksikan percubaan tersebut.

Pencapaian itu sekali gus menjadi rekod rasmi Republik Czech bagi kategori jarak terjauh yang dicapai kenderaan elektrik dengan sekali cas.

Škoda Peaq mampu melepasi jarak WLTP

Škoda Peaq catat rekod 936 km

Percubaan tersebut dilakukan oleh kakitangan Škoda yang terlibat dalam pembangunan Peaq iaitu Ketua Pegawai Bateri. Marek Jez dan Ketua Projek, Jakub Krs.

Mereka mahu membuktikan sejauh mana teknologi Peaq boleh pergi apabila dipandu untuk mendapatkan kecekapan maksimum.

Mereka tidak menggunakan gaya pemanduan biasa. Sebaliknya, laluan dan teknik pemanduan dipilih secara khusus bagi mengurangkan penggunaan tenaga.

Spesifikasi Peaq 90 yang digunakan

Gambar sisi Škoda Peaq

Model yang digunakan ialah Škoda Peaq 90 dalam spesifikasi pengeluaran standard.

Antara spesifikasi utama ialah:

  • Bateri: 91 kWj, dengan 86 kWj kapasiti bersih
  • Motor elektrik: 210 kW
  • Pacuan: RWD
  • Rim: 19 inci
  • Tayar: Tayar pengeluaran standard dengan rintangan gelinciran rendah
  • Jarak dicapai: 936 km
  • Penggunaan tenaga: 9.2 kWj/100 km

Satu-satunya pengubahsuaian yang dilakukan sebelum perjalanan ialah bahagian penutup port pengecasan dimeterai.

Ini memastikan port pengecasan tidak dibuka sepanjang percubaan dan mengesahkan bahawa Peaq tidak menerima sebarang pengecasan tambahan sepanjang perjalanan.

Dari Republik Czech ke Belanda

Gambar belakang Škoda Peaq

Perjalanan bermula di Mladá Boleslav, lokasi kilang utama Škoda, pada tengah hari Selasa, 25 Ogos 2026.

Peaq dipandu merentasi Jerman sebelum memasuki Belanda. Laluan sekunder dengan trafik lebih ringan dipilih bagi membantu mengurangkan penggunaan tenaga.

Malah, teknologi AI turut digunakan untuk membantu mencari laluan paling sesuai.

Pada peringkat awal, kedua-dua pemandu bergilir-gilir kira-kira setiap dua jam. Pertukaran pemandu dibuat lebih kerap pada waktu malam.

Laluan mereka turut melalui kawasan Saxony di Jerman, selain merentasi Sungai Spree dan Sungai Elbe.

Gambar belakang Škoda Peaq

Pemanduan konsisten jadi kunci

Apabila Peaq sampai di antara Braunschweig dan Hanover, kira-kira separuh daripada kapasiti bateri telah digunakan.

Pada ketika itu, hari sudah gelap dan kedua-dua pemandu mengekalkan kelajuan yang seboleh mungkin konsisten.

Menurut mereka, pemanduan lancar pada kelajuan tetap merupakan antara faktor terpenting untuk mendapatkan jarak maksimum. Ini bukan sekadar soal mengekalkan kelajuan.

Pecutan kuat perlu dielakkan kerana ia menggunakan banyak tenaga, manakala membrek dengan agresif atau berhenti sepenuhnya juga memerlukan lebih banyak tenaga untuk mendapatkan semula kelajuan.

Penggunaan sistem brek regeneratif turut memainkan peranan.

Namun, tahap regenerasi yang terlalu agresif boleh memperlahankan kenderaan secara berlebihan dan tidak semestinya menjimatkan tenaga.

Ubah destinasi untuk perjalanan lebih jauh

Gambar depan Škoda Peaq

Pada asalnya, destinasi mereka ialah Amsterdam, kira-kira 850 km dari Mladá Boleslav.

Namun, apabila perjalanan semakin menghampiri Belanda, kedua-dua pemandu menyedari mereka mungkin boleh pergi lebih jauh.

Selepas kira-kira 750 km, mereka masih mempunyai baki jarak yang mencukupi untuk meneruskan perjalanan.

Walaupun perjalanan melalui kawasan bandar dengan persimpangan dan lampu isyarat meningkatkan penggunaan tenaga, laluan yang lebih panjang dan rata di luar bandar kembali membantu mengurangkan penggunaan.

Ketika berhenti di sebuah pengedar Škoda di Amersfoort, mereka akhirnya membuat keputusan untuk tidak berhenti di Amsterdam.

Sebaliknya, mereka meneruskan perjalanan sehingga ke pantai, menambah kira-kira 50 km berbanding laluan asal.

Cuaca turut membantu

Gambar depan Škoda Peaq

Kedua-dua pemandu mengakui keputusan tersebut bukan semata-mata bergantung kepada kecekapan Peaq.

Keadaan cuaca turut membantu, khususnya kerana perjalanan dilakukan dalam keadaan jalan kering.

Marek berkata keputusan sebegitu sukar dicapai sekiranya mereka terpaksa memandu dalam keadaan hujan dan jalan basah.

Percubaan itu turut mendapat perhatian kakitangan Škoda yang mengikuti data perjalanan secara langsung melalui sistem dalam talian.

936 km dengan sekali cas

Gambar depan Škoda Peaq

Baki tenaga terakhir bateri dari Mladá Boleslav akhirnya digunakan ketika Peaq melalui jalan pesisir berhampiran pantai Zandvoort.

Menjelang petang Rabu, kedua-dua pemandu mengesahkan bahawa sasaran mereka telah dicapai.

Škoda Peaq berjaya mencatat:

  • 936 km jarak keseluruhan
  • 9.2 kWj/100 km penggunaan tenaga
  • Tiada pengecasan semula sepanjang perjalanan

Melalui pencapaian itu, Škoda mendakwa Peaq menetapkan rekod jarak pemanduan baharu bagi SUV elektrik tujuh tempat duduk.

Ia turut diiktiraf sebagai rekod Republik Czech dalam kategori jarak terjauh yang dicapai oleh kenderaan elektrik dengan sekali cas.

Angka 936 km bukan sahaja melepasi jangkaan awal, malah membuktikan sejauh mana kecekapan sebuah SUV elektrik tujuh tempat duduk boleh dicapai apabila keadaan, laluan dan gaya pemanduan dioptimumkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved