Isuzu D-Max 2.2L tempuh 1,756 km keliling Semenanjung – tiba dengan diesel berbaki 4%

Isuzu D-Max sememangnya terkenal dengan penjimatan bahan api. Baru-baru ini, D-Max 2.2L baharu melakar pencapaian apabila menamatkan perjalanan satu pusingan mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan hanya menggunakan hanya satu tangki diesel.

Satu tangki untuk keliling Semenanjung

Cabaran ‘D-Max One Tank. One Nation Challenge’ itu bermula pada 17 Ogos lalu di Balakong, Selangor, melibatkan dua unit D-Max iaitu varian 4×4 Auto Premium dan 4×2 Auto Plus.

Dalam tempoh enam hari, kedua-dua trak pikap berkenaan merekodkan perjalanan sejauh 1,756 km melalui jalur lebuh raya, jalan utama dan juga merentasi kawasan pergunungan melalui East-West Link dari Jeli ke Gerik.

Perjalanan tersebut juga merentasi Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak sebelum kembali semula ke Selangor. Ia juga melibatkan 10 hentian di lokasi pengedar Isuzu.

Tiba di garisan penamat dengan minyak berbaki 4%

Apa yang menarik, apabila tiba akhir di Pusat 3S Isuzu Jinjang, Kuala Lumpur pada Sabtu 22 Ogos, kedua-dua trak pikap berkenaan mempunyai bahan api yang masih berbaki lebih 4% di dalam tangki.

Cabaran ini adalah bagi menunjukkan keupayaan enjin turbodiesel RZ4F-TC 2.2-liter baharu dari pelbagai aspek termasuk prestasi, kehalusan buatan, ketahanan, kebolehpercayaan dan juga kecekapan.

Gabungan enjin dan transmisi yang menjadi

D-Max 2.2L 4×2 Auto Plus dipandu oleh Sing Yuin Christy, pemegang rekod Malaysian Book of Records sebagai individu yang berjaya mencapai jarak pemanduan trak pikap paling jauh dengan hanya menggunakan satu tangki bahan api.

“Tindak balas pendikit untuk enjin baharu serta cara penyampaian kuasanya telah dipadankan secara sangat baik, dengan nisbah kotak gear automatik lapan-kelajuan baharunya juga akan menjamin pacuan sentiasa akan berada dalam gear yang betul dalam apa saja keadaan jalan yang dilalui.

“Mampu meluncur di jalan utama dan lebuh raya dalam gear ketujuh dan kelapan juga membolehkan trak pikap ini memecut dengan agak cekap tanpa memerlukan terlalu banyak input pendikit, sekali gus menjimatkan banyak bahan api,” kata Christy.