Porsche 911 GT3 2027 edisi Nurburgring 100 tahun: hanya 100 unit, penuh sentuhan ‘Green Hell’
Kalau anda peminat Porsche dan Nurburgring, 911 GT3 edisi khas ini adalah sesuatu yang sukar untuk diabaikan.
Sempena ulang tahun ke-100 Nurburgring pada 2027, Porsche memperkenalkan model edisi khas 911 GT3 100 Jahre Nürburgring. Tempahan akan dibuka pada September depan, manakala penghantaran bermula pada 2027, namun hanya 100 unit ditawarkan dan semuanya hanya untuk pasaran Jerman.
Litar Nurburgring sudah lama menjadi sebahagian penting dalam sejarah Porsche, bukan sahaja untuk perlumbaan tetapi juga sebagai litar ujian bagi kereta produksi.
Tema ‘Green Hell’ yang menonjol
Porsche menawarkan dua pilihan warna iaitu White dan GT Silver Metallic. Kedua-duanya dipadankan dengan kemasan hijau pada bahagian depan dan belakang sebagai penghormatan kepada gelaran Nurburgring Nordschleife, iaitu ‘Green Hell’.
Terdapat juga juga tow lug hijau, anak panah putih, logo Nurburgring klasik serta nombor perlumbaan pilihan dari 0 hingga 999 yang ditulis dalam gaya graffiti di sekitar Nordschleife.
Selain itu, rim tempaan 20 inci di depan dan 21 inci di belakang didatangkan dalam kemasan California Gold bersama centre lock hitam, manakala sayap belakang menampilkan tulisan Porsche berwarna emas dan logo Nurburgring.
Kabin pun bertema Nurburgring
Masuk ke dalam, tema sama diteruskan. Sangkar keselamatan belakang dicat hijau, manakala tempat duduk bucket ringan sebelah pemandu menggunakan material hijau yang kelihatan melalui corak tebukan bergradasi.
Logo Nurburgring pada perehat pemandu, tulisan GT3 pada sebelah penumpang dan projektor LED yang memancarkan bentuk litar ke jalan turut menjadi antara ciri menarik.
Kawalan tertentu pada stereng dan papan pemuka juga mendapat kemasan hijau. Pembeli boleh memilih transmisi PDK tujuh kelajuan atau manual enam kelajuan, dengan versi manual mendapat tombol gear walnut seperti 911 Carrera T.
Manthey Kit dan pengalaman Nurburgring
Porsche turut menawarkan Manthey Kit yang merangkumi talaan suspensi, komponen brek dioptimumkan dan pakej aerodinamik yang berfungsi untuk meningkatkan daya tekan kepada 540 kg pada 285 km/j.
Keupayaan kit ini sudah dibuktikan apabila juara DTM, Ayhancan Güven, mencatat masa 6:50.853 di Nordschleife.
Pemilik juga ditawarkan pengalaman khas bersama Manthey di Nurburgring, termasuk sesi bersama pakar motorsport dan peluang memahami kemampuan kit tersebut dengan lebih dekat.
Siap ada jam tangan khas
Semua pemilik 911 GT3 100 Jahre Nürburgring akan menerima jam Chronograph eksklusif yang dihasilkan oleh Porsche Design di Grenchen, Switzerland.
Jam tersebut menggunakan sarung titanium hitam, dail bertemakan Nurburgring dan tali kulit asli daripada material kabin Porsche, lengkap dengan jahitan GT Silver dan kemasan hijau.
Peminat segala jenis kenderaan