Hyundai telah mendedahkan Tucson generasi baharu yang bakal memasuki pasaran global mulai 2027. Kali ini, SUV tersebut menerima perubahan reka bentuk yang sangat ketara, dengan penampilan lebih bersegi, tegap dan moden berbanding model semasa.
Menggunakan bahasa rekaan “Art of Steel”, Tucson baharu tampil dengan garisan badan yang lebih tajam serta imej lebih rugged. Motif huruf “H” bercahaya turut digunakan pada bahagian hadapan dan belakang, memberikannya identiti tersendiri yang lebih menonjol.
Saiz lebih besar, kabin lebih lapang
Dari segi dimensi, panjang keseluruhan meningkat 60 mm kepada 4,700 mm, manakala jarak roda bertambah kepada 2,785 mm. Lebar pula meningkat 40 mm kepada 1,905 mm, sementara ketinggian kini mencecah 1,685 mm.
Pertambahan saiz ini memberi manfaat kepada ruang kabin. Hyundai mendakwa ruang kepala penumpang belakang meningkat 29 mm. Bukaan pintu belakang juga diperbesarkan, dengan sudut bukaan meningkat 10 darjah kepada 83 darjah bagi memudahkan penumpang keluar masuk.
Kabin baharu dengan sistem Pleos
Ruang dalaman menerima rombakan menyeluruh bagi menempatkan sistem infotainmen Pleos baharu Hyundai. Saiz skrin utama belum diumumkan, tetapi reka bentuknya jelas menggunakan paparan besar yang ditemani barisan kawalan fizikal di bawahnya.
Spesifikasi masih belum didedahkan
Walau bagaimanapun, varian XRT yang lebih lasak telah disahkan, manakala N Line yang menawarkan prestasi lebih sporty berkemungkinan turut ditawarkan.
