Suzuki Cars Malaysia lantik Carsome sebagai rakan tukar beli rasmi eksklusif

Suzuki Cars Malaysia telah melantik Carsome Malaysia sebagai rakan tukar beli rasmi eksklusif.

Kerjasama yang terjalin ini bakal memudahkan rakyat Malaysia untuk menaik taraf kenderaan mereka kepada Suzuki baharu dengan lebih lancar dan telus.

Carsome dalam jaringan pengedar sah Suzuki

Melalui kerjasama ini, rangkaian pengedar sah Suzuki kini diintegrasikan dengan pemeriksaaan, penilaian dan proses tukar beli kenderaan oleh Carsome.

Pelanggan boleh terus mendapatkan kereta Suzuki serba baharu tanpa perlu menjual kereta lama secara berasingan.

Mohd Rizal Jailan, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group berkata, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk terus menambah baik pengalaman pemilikan pelanggan kami.

“Bersama Carsome, kami memudahkan urusan pelanggan untuk mengetahui nlai kenderaan sedia ada dan beralih kepada kenderaan Suzuki baharu dengan lebih mudah dan yakin.

Eric Cheng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome menjelaskan kolaborasi ini mencerminkan visi bersama untuk mencipta ekosistem yang lebih terhubung.

“Pelanggan tidak seharusnya melalui proses berasingan untuk menjual dan membeli kereta baharu.

“Dengan menggabungkan rangkaian pengedar Suzuki dan kepakaran Carsome, kami mempermudah perjalanan itu sambil menawarkan ketelusan dan ketenangan fikiran.

Kempen sempena Merdeka

Sebagai meraikan kerjasama ini, Suzuki Cars Malaysia turut melancarkan kempen Merdeka Mega Bonanza bermula Ogos hingga September 2026.

Setiap pembelian model Suzuki terpilih akan menerima rebat sehingga RM19,000 serta nilai tukar beli sehingga RM6,900 menerusi Carsome.

Tidak ketinggalan enam hadiah utama cabutan bertuah berupa dua unit iPhone 17, dua Google Pixel 10 dan dua Samsung Galaxy S26, serta sembilan hadiah saguhati berupa kredit Touch ‘n Go eWallet bernilai RM200.

Selain itu, terdapat juga karnival Naza Automania Edisi Merdeka yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Ogos ini.