ETCM serah 2 unit Nissan Kicks e-Power kepada PDRM untuk penilaian

Nissan Kicks e-Power PDRM

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menyerahkan dua unit Nissan Kicks e-Power kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan penilaian.

Kedua-dua unit Nissan Kicks e-Power itu akan menjalani program pembuktian konsep selama dua bulan bagi menilai prestasi, praktikaliti dan kesesuaian dalam dalam operasi rondaan sebenar.

Nilai kesesuaian dalam operasi sebenar

Komisioner Polis Redzuan Bin Abd Hamid, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman berkata, “Adalah penting setiap teknologi baharu dinilai dalam persekitaran operasi sebenar.

“Program Proof of Concept ini membolehkan kami menilai prestasi, praktikaliti serta kesesuaian Nissan Kicks e-Power untuk kegunaan operasi barisan hadapan.

“Hasil penilaian ini akan menyokong usaha berterusan kami dalam mengenal pasti penyelesaian mobiliti yang sesuai bagi memenuhi keperluan operasi,” ujarnya.

Christopher Tan, Naib Presiden Eksekutif ETCM percaya inovasi terbaik ialah inovasi yang memenuhi keperluan dunia sebenar.

“Kicks e-Power menawarkan pengalaman pemanduan seperti EV tanpa memerlukan pengecasan serta menghapuskan kebimbangan jarak.

“Melalui program penilaian ini, kami berharap dapat melihat bagaimana SUV ini mampu menyokong pelbagai aplikasi armada, termasuk bagi kegunaan perkhidmatan barisan hadapan,” jelasnya lagi.

Spesifikasi Kicks e-Power

Nissan Kicks e-Power dipacu oleh sistem e-Power, terdiri daripada:

  • enjin 3-silinder 1.2 liter HR12DE berkuasa 82 PS/103 Nm
  • motor elektrik 129 PS/280 Nm
  • pek bateri 2.06 kWh

Enjin tersebut hanya bertindak sebagai unit penjana membekalkan kuasa kepada bateri dan tiada sebarang sambungan mekanikal kepada roda.

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved