Honda Super-One (2026) buat kemunculan di Indonesia – 95 PS, Ultra Seats dan sistem audio Bose
Indonesia menjadi negara ASEAN terbaru yang menerima kehadiran Honda Super-One, selepas Singapura yang terlebih dahulu melancarkan kei car elektrik itu pada awal tahun ini.
Model yang dibangunkan berasaskan N-One itu membuat kemunculan sulungnya di negara berkenaan menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show 2026 (GIIAS 2026).
Super-One buka langkah elektrifikasi Honda Indonesia
Menurut Honda Indonesia, kehadiran Super-One dilihat sebagai ‘pembuka jalan’ kepada hala tuju elektrifikasi Honda di pasaran tersebut.
Harga rasmi Super-One akan diumumkan pada 5 Ogos ini, dengan hanya 100 unit diperuntukkan untuk pasaran Indonesia bagi tahun ini.
Boost Mode lonjak kuasa sehingga 95 PS
Super-One menggunakan sebuah motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan. Dalam mod standard, motor tersebut menghasilkan 64 PS dan 162 Nm, angka yang hampir dengan kebanyakan kei car EV moden di Jepun.
Namun dengan adanya mod Boost yang boleh diaktifkan dengan menekan butang berwarna ungu pada stereng, output motor elektrik itu boleh ditingkatkan sementara sehingga 95 PS untuk prestasi yang lebih mengujakan.
Tenaga disimpan dalam bateri litium-ion berkapasiti 29.6 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 252 km berdasarkan kitaran NEDC.
Dari segi pengecasan, bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW, membolehkan tahap pengecasan meningkat daripada 20% hingga 80% dalam masa 30 minit. Ia turut menyokong pengecasan AC 6 kW dengan masa pengecasan penuh sekitar 4.5 jam.
Rekaan sporty, kabin moden dan Honda Sensing
Dari segi penampilan, Honda Super-One hadir dengan lampu utama LED penuh, rim aloi 15 inci serta kit badan yang memberikan imej lebih agresif. Unit yang dipamerkan tampil dalam warna Boost Violet Pearl.
Ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen 9 inci, paparan instrumen TFT 7 inci, pencahayaan ambien, sistem audio Bose bersama subwoofer serta konfigurasi tempat duduk Ultra Seats.
Walaupun bersaiz kompak, aspek keselamatan tidak diabaikan. Super-One hadir dengan enam beg udara serta sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang merangkumi ciri seperti Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, Lane Keeping Assist System dan Collision Mitigation Braking System.
Peminat segala jenis kenderaan