Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan bahawa Jemaah Menteri pada 15 Julai 2026 telah bersetuju secara dasar dengan cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya, selain memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).
Pampasan ditentukan mahkamah, bukan kerajaan
Menurut MOT, cadangan itu bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti denda, penjara atau hilang kelayakan memandu, malah turut dipertanggungjawabkan terhadap kesan kemalangan yang dialami mangsa serta keluarga mereka.
Kementerian itu menjelaskan jumlah pampasan tidak akan ditetapkan secara automatik oleh kerajaan. Sebaliknya, ia akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes, termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang ditanggung mangsa atau waris, serta kemampuan pesalah untuk membayar.
MOT turut menegaskan mekanisme baharu itu tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil melalui saluran perundangan sedia ada.
Sistem KEJARA turut diperkukuh
Selain mekanisme pampasan, sistem KEJARA turut dicadang diperkukuh sebagai langkah mengenal pasti pemandu berisiko tinggi dan pesalah berulang. Penambahbaikan yang dicadangkan termasuk tatacara pemakluman mata demerit yang lebih jelas, mekanisme representasi dan semakan pentadbiran, serta pelarasan atau penghapusan mata demerit sekiranya sesuatu kesalahan tidak dapat dibuktikan atau tiada sabitan dikenakan.
Menurut MOT, kedua-dua cadangan ini bertujuan memperkukuh keadilan, akauntabiliti dan keselamatan jalan raya, selain memastikan mangsa serta waris mendapat pembelaan sewajarnya di samping meningkatkan tahap tanggungjawab pesalah.
Pindaan Akta 333 akan mula digubal
Susulan persetujuan dasar yang diberikan Jemaah Menteri, MOT akan memulakan proses menggubal pindaan kepada Akta 333. Perincian cadangan berkenaan akan diperhalusi bagi memastikan pindaan yang digubal jelas, adil dan berkesan sebelum dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan, seterusnya dibentangkan di Parlimen.
