Volkswagen Tayron 2026 rasmi di Malaysia – dua varian, harga dari RM190k

Volkswagen Tayron 2026

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasmi melancarkan SUV serba baharu VW Tayron 2026 untuk pasaran Malaysia.

Tayron merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang ditawarkan dalam dua varian dan harga seperti berikut:

  • Tayron Elegance – RM189,890
  • Tayron R-Line – anggaran dari RM259,000-RM269,000

Sempena Hari Kebangsaan yang ke-69, 69 orang pemilik pertama Tayron bakal menikmati pakej istimewa:

  • pakej penyelenggaraan percuma 7-tahun
  • perlindungan kemalangan diri & kunci kereta percuma
  • peluang menang percutian mewah 3 hari 2 malam

Dimensi

Tayron merupakan sebuah SUV tujuh tempat duduk yang diposisikan antara Tiguan dan Touareg.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,792 mm, lebar 1,853 mm, tinggi 1,668 mm dan jarak antara roda 2,788 mm.

Ruang kargo pula boleh mencapai kapasiti sehingga 1,905 liter apabila dua baris tempat duduk dilipat.

Dua pilihan enjin

Tayron Elegance dikuasakan oleh enjin hibrid ringan 1.5 liter eTSI yang mampu menjana kuasa 150 PS dan 250 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi DSG 7-kelajuan.

Tayron Elegance turut dilengkapi dengan sistem pengurusan silinder aktif (ACTplus) yang mampu menyahaktif dua silinder secara automatik pada kelajuan rendah.

Tayron R-Line pula dipacu enjin 2.0 liter TSI berkuasa 265 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan transmisi DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4MOTION.

Selain itu, ia turut hadir dengan sistem kawalan casis dinamik (DCC Pro) yang mampu melaras suspensi secara automatik mengikut perubahan keadaan jalan.

Luaran

Tayron Elegance dilengkapi dengan lampu hadapan LED Plus, lampu belakang 3D LED serta elemen reka bentuk Elegance pada bampar depan dan belakang.

Tayron R-Line pula mendapat ciri lampu IQ.Light HD Matrix dengan teknologi lampu tinggi bebas silau, lampu belakang 3D LED serta lampu isyarat membelok dinamik.

Ia juga mendapat reka bentuk R-Line pada bahagian bampar depan, bampar belakang dan bahagian sisi.

Kedua-dua varian menampilkan logo VW yang bercahaya pada bahagian depan dan belakang.

Terdapat lima pilihan warna disediakan iaiatu Dolphin Grey, Oryx White, Grenadilla Black, serta warna baharu Nightshade Blue dan Oyster Silver.

Kabin

Tayron membawakan susunan tujuh tempat duduk, di mana baris kedua boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40 sementara baris ketiga pula 50:50.

Tempat duduk hadapan hadir dengan upholsteri kulit Varenna ergoActive Plus, larasan kuasa 12-tahap, fungsi pemanas, pengudaraan serta fungsi urutan penumatik.

Terdapat skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur Discover sebesar 12.9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio 8-pembesar suara, roda stereng sport, serta tuil penukaran gear pada kolum stereng.

Varian R-Line pula mendapat tambahan ciri skrin infohibur 15 inci, skrin paparan head-up terbina, serta sistem audio Harman Kardon 700W lengkap dengan 10+1 pembesar suara, subwufer dan penguat digital 16 saluran.

Keselamatan

Secara standard, Tayron dilengkapi dengan sembilan beg udara serta sistem bantuan pemandu termaju IQ.Drive terkini, merangkumi fungsi seperti:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Penukaran Lorong
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Keluar
  • Sistem Perlindungan Penumpang Proaktif dan Bantuan Kecemasan
  • Park Assist Plus dengan Park Distance Control
  • Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved