Honda CB400 Super Four E-Clutch 2027 diperkenal di Jepun
Honda secara rasmi memperkenalkan model naked road sports serba baharu, Honda CB400 Super Four E-Clutch 2026 dan akan mula dijual di Jepun bermula 21 Ogos.
Bukan sekadar kosmetik, model generasi baharu ini membawa revolusi besar dengan pengenalan enjin 4-silinder sebaris serba baharu.
Jentera ini dipadankan dengan teknologi klac elektronik pintar, Honda E-Clutch sebagai kelengkapan standard untuk tunggangan harian mahupun kembara (touring).
Prestasi Enjin Serba Baharu

Honda membangunkan unit kuasa 399cc sejukan cecair serba baharu.
Enjin DOHC 4-injap ini menampilkan konfigurasi 4-silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 58PS pada 11,500rpm dan tork maksimum 38Nm pada 9,750rpm dengan nisbah mampatan 12.3.
Selain penggunaan sistem Throttle-By-Wire (TBW), usaha meningkatkan nisbah mampatan tinggi turut dilakukan.
Langkah ini dilaksanakan melalui pengecilan sudut kecondongan injap serta mengurangkan geseran pada setiap bahagian enjin.
Hasilnya, ia dapat menghasilkan ciri output yang lancar pada julat putaran enjin yang lebih luas.
Karakteristik ini bertujuan untuk menawarkan enjin yang menyeronokkan dari kawasan bandar, jalan berliku sehinggalah tunggangan lebuh raya.
Sistem kemasukan udara menggunakan jenis downdraft di bawah tangki yang dioptimumkan dengan dua saluran tiub udara.
Konfigurasi ini menghasilkan respon tork padu pada julat rendah ke sederhana di samping mengekalkan jeritan bunyi aruhan yang cukup emosional.
Untuk sistem ekzos, Honda menggunakan rekaan paip melengkung dengan konfigurasi 4-2-1 yang mengimbas kembali nostalgia model ikonik CB400FOUR (1974).
Ekzos ini ditala khas untuk menghasilkan runut bunyi ekzos yang mantap khas untuk peminat tegar enjin 4-silinder sebaris.
Teknologi Honda E-Clutch & Sistem Elektronik Pintar

Inovasi terbesar pada model ini ialah gandingan teknologi Honda E-Clutch dengan sistem Throttle-By-Wire (TBW).
Sistem elektronik canggih ini membolehkan penunggang menukar gear tanpa perlu menarik tuas klac manual sama ada semasa mula bergerak, menukar gear, atau berhenti.
Semasa menurunkan gear, sistem TBW akan mengawal putaran enjin secara automatik bagi mengurangkan sentakan penukaran gear.
Unit aktuator klac juga diletakkan dengan bijak pada bahagian belakang sebelah kiri enjin bagi memastikan profil lebar enjin kekal kompak.
Penunggang ditawarkan dengan beberapa pilihan mod tunggangan standard seperti SPORT, STANDARD, dan URBAN.
Terdapat juga mod USER yang membolehkan talaan dibuat bagi tahap kawalan Kuasa (P), Engine Brake (EB) dan Torque Control (T).
Sistem keselamatan pintar turut disepadukan untuk mengesan perbezaan kelajuan roda hadapan dan belakang.
Jika roda belakang dikesan melompat akibat permukaan jalan tidak rata, sistem E-Clutch akan mengaktifkan kawalan separa klac untuk menstabilkan tingkah laku kenderaan.
Kerangka Tegar & Komponen Premium

Meskipun mengekalkan estetika Japanese Naked Style yang diwarisi daripada model pertama (1992), struktur mekanikal jentera ini telah dinaik taraf sepenuhnya.
Honda menggunakan kerangka jenis berlian keluli tiub rekaan baharu yang lebih ringan untuk mencapai agihan berat (mass centralization) yang lebih optimum.
Sistem suspensi hadapan kini dilengkapi dengan sepit udang jenis terbalik.
Bahagian belakang pula menggunakan lengan ayun dengan sistem suspensi jenis Pro-Link untuk menyerap hentakan jalan.
Posisi tunggangan direka tegak (upright) untuk keselesaan penunggang dalam pelbagai situasi tunggangan dari penggunaan harian hingga kembara.
Bahagian hadapan pelana lantas ditiruskan dengan ketinggian 780mm sahaja bagi memudahkan penunggang menjejakkan kaki ke tanah.
Kokpit Digital & Ciri Moden

Menjenguk ke bahagian kokpit, sebuah meter TFT 5-inci warna penuh digital kini ditawarkan sebagai standard.
Paparan ini menyokong fungsi Honda RoadSync untuk sambungan telefon pintar bagi mengendalikan aplikasi navigasi, muzik, dan panggilan telefon.
Bagi memudahkan penunggang, sebuah soket pengecasan USB Type-C disediakan pada bahagian kanan perumah lampu hadapan.
Model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna menarik iaitu Wolf Silver Metallic, Matte Ballistic Black Metallic, Loss White, dan Candy Chromosphere Red.
Honda menyasarkan jualan domestik sebanyak 4,600 unit setahun dengan harga jualan rasmi yang dicadangkan bermula 998,800 yen (RM25,124).
Spesifikasi Utama Honda CB400 Super Four E-Clutch 2027
- Enjin: 399cc, NC70E, sejukan cecair, 4-strok, DOHC, 4-injap, 4-silinder sebaris
- Gerek x Lejang: 55.0mm x 42.0mm
- Nisbah Mampatan: 12.3
- Kuasa Maksimum: 58PS (43kW) @ 11,500rpm
- Tork Maksimum: 38Nm @ 9,750rpm
- Sistem Bahan Api: Suntikan Bahan Api Elektronik (PGM-FI)
- Transmisi: 6-kelajuan mekanikal dipadankan dengan sistem Honda E-Clutch
- Kerangka: Jenis Berlian
- Suspensi Hadapan: Sepit udang jenis terbalik (Inverted cartridge fork)
- Suspensi Belakang: Lengan ayun dengan sistem Pro-Link
- Brek Hadapan: Cakera berkembar hidraulik
- Brek Belakang: Cakera tunggal hidraulik
- Tayar Hadapan: 120/70ZR17M/C (58W)
- Tayar Belakang: 160/60ZR17M/C (69W)
- Dimensi (P x L x T): 2,110mm x 770mm x 1,085mm
- Jarak Roda: 1,405mm
- Ketinggian Pelana: 780mm
- Jarak Kelegaan Bumi: 135mm
- Kapasiti Tangki Bahan Api: 15 liter
- Berat: 187kg
- Kadar Penggunaan Bahan Api (WMTC): 23.1km/L







