McLaren 788HS (2027) diperkenal sebagai model terakhir Super Series – 200 unit sahaja, harga RM2.5 juta

McLaren 788HS telah diperkenalkan sebagai model yang menjadi penutup tirai kepada barisan Super Series yang bermula dengan 720S sebelum disusuli dengan 765LT dan 750S. Ia juga merupakan model ketiga yang menerima lencana eksklusif “HS” (High Sport), selepas MP4-12C HS dan MSO HS.

Dibangunkan untuk prestasi pemanduan menakjubkan di jjalan raya mahupun di litar, 788HS tampil dengan pakej aerodinamik yang dipertingkat, talaan casis baharu serta pengurangan berat, di samping menawarkan pelbagai pilihan personalisasi menerusi McLaren Special Operations (MSO).

Rekaan lebih agresif dengan aerodinamik dipertingkat

788HS diberikan pakej aerodinamik paling canggih pernah digunakan pada platform ini dan hasilnya, ia mampu menjana downforce 10% lebih tinggi berbanding 765LT.

Antara komponen baharu termasuk bonet S-Duct, splitter hadapan khas, spoiler belakang aktif yang lebih tinggi serta diffuser belakang yang diinspirasikan daripada Formula 1. Turut disertakan ialah panel bawah sayap berjeriji yang membantu meningkatkan penyejukan serta kecekapan aliran udara.

Pelanggan juga boleh memilih kemasan penuh Visual Carbon Fibre pada keseluruhan panel badan, manakala varian Coupe didatangkan dengan skup bumbung berwarna hitam berkilat. Di ruang kabin pula, 788HS menampilkan konsol tengah gentian karbon, sulaman khas HS, corak tebukan unik pada upholsteri serta plak khas.

Naik taraf casis untuk pengendalian lebih cekap

Bagi meningkatkan keupayaan pengendalian, McLaren turut memberikan talaan khas pada sistem suspensi Proactive Chassis Control III, selain merendahkan ketinggian pada gandar hadapan sebanyak 5 mm berbanding 750S.

Sistem brek pula merangkumi cakera karbon seramik yang dipinjam daripada Senna, dipadankan dengan angkup brek enam omboh di hadapan. Menariknya, 788HS juga menjadi model pertama dalam keluarga Super Series yang menggunakan rim centre-lock, dipadankan dengan rim aloi tempaan ringan yang baharu.

Enjin V8 788 PS, pecutan 0-100 km/j dalam 2.8 saat

Kuasa dijana oleh enjin M840T 4.0 liter V8 twin-turbo yang menghasilkan 788 PS dan 800 Nm. Dengan berat kering hanya 1,265 kg, jentera ini mempunyai nisbah kuasa kepada berat sebanyak 623 PS bagi setiap tan. Angka ini merupakan yang tertinggi dalam kalangan model berasaskan 720S, termasuk 765LT dan 750S.

Ini membolehkan 788HS memecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat, 0-200 km/j dalam 7.0 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 330 km/j.

McLaren turut menyemak semula talaan cagak enjin bagi memberikan respon enjin yang lebih pantas, manakala sistem ekzos titanium empat muncung pula menghasilkan bunyi V8 yang lebih garang.

Terhad kepada 200 unit di seluruh dunia

McLaren akan menawarkan sebanyak 200 unit 788HS, di mana 100 unit diperuntukkan bagi varian Coupe, manakala 100 unit lagi adalah untuk varian Spider.

Walaupun McLaren belum mengumumkan harga rasmi, laporan mengatakan 788HS dijangka ditawarkan pada harga sekitar 450,000 pound (kira-kira RM2.5 juta), menjadikannya antara model McLaren yang paling eksklusif pernah ditawarkan.