Denza Z (2027) diperkenalkan di Goodwood – supercar EV 1,604 PS, 0-100 km/j dalam 2.3 saat
Denza, jenama premium di bawah BYD, memperkenalkan supercar elektrik pertamanya yang dikenali sebagai Denza Z di Goodwood Festival of Speed 2026 di UK.
Menurut jenama itu, tiga varian akan ditawarkan iaitu Coupe, Spider dan Racing, manakala satu lagi iaitu Special Edition akan digunakan untuk cubaan mencatat rekod di litar Nurburgring Nordschleife.
Rekaan aerodinamik, kabin berorientasikan pemandu
Mengikut falsafah reka bentuk Technology Drives Elegance, Z menampilkan badan yang dioptimumkan untuk aerodinamik menerusi bonet dengan saluran udara berbentuk S, spoiler belakang aktif dan diffuser belakang.
Varian Racing menerima pakej aerodinamik lebih agresif termasuk splitter gentian karbon dan spoiler belakang boleh laras, dengan Denza mendakwa ia mampu menghasilkan sehingga 1,060 kg downforce pada kelajuan 349 km/j.
Di dalam, Z dilengkapi kluster instrumen digital berukuran 8.88 inci, skrin infotainmen 12.8 inci dengan sistem Google Built-in, sistem audio Devialet, serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan. Stereng turut dilengkapi butang khas untuk mod Boost dan Track yang boleh meningkatkan tork sebanyak 30% selama 20 saat.
Platform e3, tiga motor elektrik
Z dibina di atas e3 Sports Car Platform, yang menggabungkan konfigurasi tiga motor elektrik, suspensi magnetoreologi DiSus-M dan teknologi Cell-to-Body (CTB).
Ketiga-tiga varian menghasilkan 1,604 PS dan 1,240 Nm, membolehkan varian Coupe memecut dari 0-100 km/j dalam kira-kira 2.25 saat dengan kelajuan maksimum 300 km/j, manakala varian Racing pula mencatat pecutan di bawah dua saat dengan tayar semi-slick.
Sementara itu, Special Edition dikatakan mempuyai lebih 2,000 PS dan mampu mencapai kelajuan 100 km/j dalam hanya 1.7 saat.
Cas hampir penuh dalam sembilan minit
Denza turut memperkenalkan teknologi Flash Charging bersama bateri Blade generasi kedua berkapasiti 76 kWh.
Menggunakan pengecas berkuasa sehingga 1,500 kW, bateri boleh dicas daripada 10% ke 70% dalam lima minit, manakala 10% hingga 97% hanya mengambil masa sembilan minit. Jarak pemanduan dianggarkan mencecah 409 km bagi Coupe.
Tempahan bagi varian Coupe, Spider dan Racing akan dibuka di pasaran terpilih bermula musim panas tahun ini, dengan penghantaran pertama dijangka sebelum penghujung tahun.
Peminat segala jenis kenderaan