Kia telah membuka tempahan untuk pikap Kia Tasman 2027 dan Kia Tasman Open Bed bermula 1 Julai 2026.
Melalui kemas kini terbaru, Kia memperkenalkan varian kemasan baharu dan menyelaraskan semula harga varian asas bagi mengurangkan beban kewangan pelanggan.
Pikap Sejati Pertama Kia
Tasman merupakan pikap sejati pertama Kia dan tampil dengan reka bentuk utilitarian berbanding sejumlah model yang lain.
Tasman menampilkan reka bentuk sebuah trak pikap tegap dengan ukuran panjang 5,410mm, lebar 1,930mm, serta jarak roda sepanjang 3,270mm.
Ketinggian pikap ini adalah 1,870mm untuk varian standard dan meningkat kepada 1,920mm bagi varian X-Pro.
Sistem suspensi menggunakan tetapan double wishbone di depan dan rigid axle di belakang.
Gred Baharu Best Selection & Pengoptimuman Harga
Kia memperkenalkan varian kemasan baharu yang dikenali sebagai Best Selection yang dibina berasaskan gred Adventure.
Varian baharu ini menawarkan pelbagai ciri keselesaan terkini sebagai standard.
Di antaranya Monitor Pandangan Sekeliling (Surround View Monitor), Bantuan Parkir Pintar Jauh (Remote Smart Parking Assist), Digital Key 2 dan port USB Jenis-C 100W.
Bagi aspek mekanikal, gred Best Selection dilengkapi secara standard dengan sistem 4WD elektronik, kunci pembeza dan mod rupa bumi (Terrain Mode: Auto/Snow/Mud/Sand).
Pelanggan yang memilih warna luaran Clear White atau Tan Beige juga boleh memilih kemasan arca roda yang seragama dengan warna badan.
Bagi mengurangkan beban pembelian pelanggan, Kia telah mengoptimumkan spesifikasi gred asas Dynamic dan menurunkan harga sebanyak 2.5 juta (RM6,580).
Aksesori tulen Kia seperti Pemijak Sisi, Pakej Penutup Ruang Kargo (Bed Cover Package), dan Pakej Sports Bar kini turut ditawarkan ke varian Dynamic untuk disesuaikan dengan tugasan harian pembeli.
Varian Baharu Tasman Open Bed
Selain varian standard, model khas Tasman Open Bed turut diperkenalkan dalam pilihan tunggal.
Model ini menampilkan ruang kargo yang boleh dibuka dari tiga arah dengan keupayaan muatan maksimum sehingga satu tan.
Model ini disasarkan untuk usahawan kecil serta sektor komersial di kawasan pedalaman dan pergunungan kerana menawarkan nilai utiliti dan ekonomi yang tinggi.
Bagi pemanduan jarak jauh, ia turut dilengkapi dengan Kawalan Jelajah Pintar berasaskan Navigasi, Paparan Lebar Panoramik berasaskan ccNC, serta kerusi dengan fungsi pemanas dan pengudaraan.
Rangkaian Kuasa Kia Tasman
Tasman dibekalkan enjin 2.5 liter turbo petrol ( yang dipadankan bersama transmisi automatik 8-kelajuan untuk penghantaran kuasa yang lancar.
Rangkaian kuasa ini berupaya menghasilkan kuasa maksimum 281ps dan tork setinggi 422Nm.
Nadi petrol ini mencatatkan penggunaan bahan api gabungan antara 7.7km/l hingga 8.6km/l bergantung pada sistem pacuan.
Harga Kia Tasman 2027
- Tasman Open Bed: ₩33,990,000 (RM89,462)
- Dynamic: ₩35,000,000 (RM92,120)
- Adventure: ₩41,200,000 (RM108,438)
- Best Selection: ₩43,500,000 (RM114,492)
- Extreme: ₩45,050,000 (RM118,572)
- X-Pro: ₩52,550,000 (RM138,312)
