Mazda MX-5 dikemas kini di Jepun, patuh peraturan bunyi lebih ketat

Mazda MX-5 Pure Sport exterior

Walaupun Mazda telah mengesahkan pengganti MX-5 sedang dibangunkan, model generasi keempat (ND) masih menerima kemas kini bagi memastikan ia terus boleh dijual di Jepun.

Untuk yang terbaru ini, perubahan bukan tertumpu kepada prestasi atau teknologi, sebaliknya bagi mematuhi peraturan bunyi kenderaan baharu yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai Julai 2026.

Ubah suai khusus untuk patuh peraturan bunyi

Mazda MX-5 Pure Sport interiorBagi memenuhi had bunyi luaran yang lebih ketat, MX-5 kini dilengkapkan dengan tayar yang lebih senyap, silencer ekzos yang lebih besar serta sistem kemasukan udara (intake) yang dikemas kini.

Untuk varian Retractable Fastback (RF), penggunaan silencer yang lebih besar menyebabkan ruang pemasangan menjadi lebih terhad, sekali gus mengurangkan sedikit kapasiti but yang sememangnya kecil.

Peraturan baharu di Jepun menetapkan had bunyi antara 68 hingga 72 dB bergantung kepada nisbah kuasa dan berat kenderaan. Tanpa kemas kini ini, Mazda tidak lagi dibenarkan menjual MX-5 di pasaran Jepun selepas peraturan baharu itu dikuatkuasakan.

Edisi Pure Sport untuk versi 1.5 liter

Mazda MX-5 Pure Sport exteriorDalam pada itu, Mazda turut memperkenalkan edisi khas Pure Sport (PS) untuk MX-5 1.5 liter.

Ia dipadankan dengan bumbung fabrik kelabu, warna badan Zinc Green Metallic, rim Rays hitam bersaiz 16 inci, brek Brembo dengan angkup berwarna perak serta penyerap hentak Bilstein sebagai kelengkapan standard.

Perubahan kecil di ruang kabin

Mazda MX-5 Pure Sport interiorDi bahagian dalam, perubahan agak minimum. Pure Sport menerima tempat duduk fabrik ala suede, bersama kemasan hitam berkilat pada cincin butang penghidup enjin, tombol kawalan pendingin hawa dan corong penyaman udara.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved