KLIMS2026: GWM Haval H7 Hi4 PHEV dipertontonkan, tawar jarak pandu lebih 1,000 km
GWM Malaysia mempertontonkan sebuah lagi model baharu di acara KLIMS 2026, iaitu Haval H7 Hi4 PHEV.
SUV off-road tenaga baharu ini menampilkan rekaan kotak ikonik yang menggandingkan karakter SUV lasak dengan daya tarikan gaya hidup moden.
Spesifikasi
Berbanding Hi2 yang lebih ringkas, sistem Hi4 merujuk kepada tetapan hibrid pacuan semua roda yang lebih sesuai untuk pemanduan yang lebih lasak.
Pada Haval H7 Hi4 PHEV ini, ia menampilkan enjin 1.5 liter turbo dengan dua motor elektrik dan transmisi DHT dua-kelajuan.
Kuasa keseluruhan mencecah 370 PS dan 750 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat.
Dalam mod sifar emisi, SUV ini boleh bergerak sejauh 150 km (CLTC) dengan jarak pandu keseluruhan boleh melebihi 1,000 km.
Casis & Dimensi
Haval H7 membawakan ukuran dimensi panjang 4,800 mm, lebar 1,950 mm , tinggi 1,843 mm dan jarak antara roda 2,738 mm.
Tidak seperti barisan model Tank dengan binaan body-on-frame, Haval H7 mengguna pakai casis monocoque.
Namun, ia masih lagi mampu menawarkan keupayaan pemanduan off-road dengan sudut pendekatan 25 darjah, sudut pelepasan 32 darjah dan sudut breakover 20.1 darjah.
H7 juga mampu meredah air sedalam 580 mm dan dilengkapi dengan kekunci pembeza belakang kawalan elektronik.
Luaran
Tema kotak menguasai keseluruhan reka bentuk Haval H7.
Di bahagian depan ia menampilkan jeriji berbentuk segi empat yang diinspirasikan daripada kubu pertahanan, diikuti lampu utama segi empat yang diinspirasikan daripada struktur tanggam dan pasak.
Lampu belakang pula menampilkan rekaan potongan kristal.
Kesemua elemen ini menggabungkan karakter lasak dengan sentuhan premium, sekali gus mewujudkan identiti SUV off-road urban yang tersendiri.
Kabin
Tema lasak tersebut diteruskan pada ruang kabin, menampilkan struktur papan pemuka yang menegak.
Terdapat kelengkapan seperti stereng dua jejari, skrin kluster digital 12.3 inci, serta skrin infohibur 15.6 inci di bahagian tengah.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.











