MOT lancar inisiatif Cermat Madani, tawar rebat premium insurans sehingga 10 peratus

Pemandu yang memiliki rekod pemanduan baik bakal menikmati manfaat premium insurans kenderaan sehingga 10 peratus menerusi Inisiatif CERMAT MADANI, lapor Berita RTM.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, manfaat itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian dan keputusan syarikat insurans yang mengambil bahagian.

Tuntutan NCD sehingga 65 peratus

Jelasnya, inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan budaya pemanduan lebih selamat, bertanggungjawab dan berhemah melalui penggunaan maklumat serta data relevan dalam penilaian risiko insurans kenderaan.

“Sebelum ini, kadar maksimum Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) adalah 55 peratus.

“Kini, pemandu yang mempunyai rekod baik boleh dipertimbangkan untuk menerima tambahan manfaat premium sehingga 10 peratus,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran CERMAT MADANI.

Setakat hari ini, sebanyak 10 syarikat insurans telah menyertai CERMAT MADANI.

Tempoh tawaran rebat sehingga tiga bulan

Rebat tambahan itu ditawarkan tanpa syarat selama tiga bulan bermula hari ini hingga 9 September depan.

Selepas tempoh tersebut, manfaat premium akan diberi berdasarkan penilaian risiko pemandu termasuk rekod kemalangan dan saman trafik yang direkodkan dalam pangkalan data MySikap, bermula 10 September.

Pada peringkat awal, penilaian hanya melibatkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diintegrasikan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Data berkaitan saman yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) belum diambil kira buat masa ini.