CEO Lotus kritik kereta sendiri? Kata model lebih 1,800 kg ‘biasa sahaja’
CEO Lotus, Feng Qingfeng kini menjadi perhatian selepas kenyataan beliau mengenai berat kereta sport dilihat bercanggah dengan barisan model semasa jenama itu sendiri.
Menurut laporan CarNewsChina, Qingfeng berkata mana-mana kereta sport yang melebihi 1,800 kg boleh dianggap “mediocre” atau biasa sahaja. Kenyataan itu dilihat memakan diri kerana realitinya, berat kebanyakan model semasa Lotus sudah pun melebihi angka tersebut. Ini termasuk hypercar Evija yang mempunyai berat sekitar 1,900 kg.
Situasi ini secara tidak langsung membuatkan kenyataan beliau kelihatan ironik, seolah-olah model paling eksklusif Lotus sendiri tidak memenuhi standard yang ditetapkan oleh ketua eksekutifnya.
Sasaran berat lebih ringan jadi hala tuju baharu?
Walaupun kenyataan Qingfeng mengundang kontroversi, ia mungkin memberi gambaran arah tuju masa depan Lotus. Jenama itu sememangnya terkenal dengan falsafah “light is right”, dan Qingfeng dilihat mahu mengembalikan fokus kepada nisbah kuasa-berat yang lebih ekstrem.
Jika ditafsir secara positif, Lotus mungkin sedang menuju ke arah sasaran berat sekitar 1,800 kg untuk model prestasi akan datang, sesuatu yang lebih selari dengan DNA asal jenama tersebut.
Supercar V8 hibrid 1,000 hp dalam perancangan
Menariknya, Lotus kini sedang membangunkan sebuah supercar V8 hibrid yang dijangka menghasilkan lebih 1,000 hp. Model yang buat masa ini dikenali sebagai Type 135 itu dilihat sebagai calon utama untuk menguji pendekatan baharu ini.
Jika Lotus berjaya mengekalkan berat rendah pada platform tersebut, gabungan enjin V8 hibrid dan casis ringan berpotensi menghasilkan nisbah kuasa-berat yang sangat ekstrem.
Ini bukan sahaja akan meningkatkan prestasi garis lurus, tetapi juga memberi pengalaman pemanduan yang lebih tajam dan “pure”, sesuatu yang selama ini menjadi identiti Lotus.
Peminat segala jenis kenderaan