BMW 120 Original 2026 untuk Jepun, model murah pada harga RM119k

BMW 120 original sebagai varian asas di Jepun

BMW Japan memperkenalkan BMW 120 Original 2026 sebagai varian paling mampu milik dalam keluarga BMW 1 Series di Jepun.

Jualan model tersebut sudah bermula di semua pengedar sah BMW di Jepun, manakala penghantaran pertama dijadualkan bermula Jun 2026.

BMW 120 Original masih mengekalkan sistem BMW 48V Integrated Hybrid bersama pelbagai teknologi utama BMW.

Antaranya termasuk sistem navigasi, Driving Assistant, BMW Intelligent Personal Assistant dan Digital Key Plus.

Sistem Digital Key Plus membolehkan enjin dihidupkan hanya dengan membawa kunci digital berdaftar seperti telefon pintar.

Harga & Varian BMW 1 Series 2026 di Jepun

BMW 120 Original dibangunkan dengan pemilihan semula kelengkapan standard bagi menawarkan harga lebih kompetitif, iaitu pada 4,800,000 yen (RM119,712.00).

Bagi varian BMW 120 standard yang menawarkan kelengkapan tambahan berbanding model asas, ia dijual pada harga 4,990,000 yen (RM124,450.60).

Pelanggan yang mahukan penampilan pilihan lebih sporti boleh dapatkan BMW 120 M Sport yang berharga 5,200,000 yen (RM129,688.00).

Kesemua varian petrol 120 ini menggunakan enjin 1.5 liter 3-silinder turbo hibrid ringkas 48V dengan kuasa keseluruhan sistem mencecah 170 PS dan tork 280Nm.

Bagi peminat diesel, BMW menawarkan varian 120d pada harga 5,200,000 yen (RM129,688.00) dan 120d M Sport pada harga 5,400,000 yen (RM134,676.00).

Varian diesel ini dipacu oleh enjin 2.0 liter 4-silinder turbo diesel hibrid ringkas 48V yang menghasilkan kuasa keseluruhan sistem sebanyak (163 PS) dan tork puncak 400Nm.

Berada di puncak hierarki ialah model prestasi tinggi BMW M135 xDrive yang dijual pada harga 7,280,000 yen.

Model ini dilengkapi sistem pacuan empat roda tanpa sistem hibrid, dijana oleh enjin 2.0 liter 4-silinder turbo petrol yang menghamburkan kuasa 300 PS dan tork 400Nm.

Rangkaian kuasa BMW 120 Original dan Sistem BMW 48V Integrated Hybrid

BMW 120 Original digerakkan oleh enjin petrol 3 silinder sebaris DOHC B38A15P dengan sesaran 1,498cc yang digabungkan bersama sistem BMW 48V Integrated Hybrid.

Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 156ps pada 5,000rpm, manakala kuasa keseluruhan sistem mencecah 170ps.

Tork maksimum enjin ialah 240Nm antara 1,500 hingga 4,400rpm, dengan tork keseluruhan sistem sebanyak 280Nm.

Sementara itu, motor elektrik DD0006N0 menghasilkan kuasa maksimum 15kW (20ps) pada 5,500rpm serta tork maksimum 55Nm antara 0 hingga 2,000rpm.

Sistem BMW 48V Integrated Hybrid pula menggabungkan bateri litium ion 48V bersama motor elektrik yang diintegrasikan dalam transmisi.

Sistem ini memberikan bantuan tambahan kepada enjin ketika pecutan serta ketika permulaan gerakan, selain membantu mengurangkan penggunaan bahan api semasa pemanduan harian.

Tenaga yang dijana ketika nyahpecutan akan dipulihkan dan disimpan semula ke dalam bateri sebelum digunakan kembali untuk membantu enjin sebagai kuasa tambahan.

Motor elektrik dalam sistem ini juga berfungsi sebagai motor penghidup enjin, yang membantu mengurangkan getaran ketika enjin dihidupkan semula dan meningkatkan keselesaan pemanduan keseluruhan.

Evolusi BMW 1 Series

BMW 1 Series pertama kali diperkenalkan pada tahun 2004 dalam segmen premium kompak kecil.

Model tersebut menggabungkan pengendalian sporty dan lincah bersama teknologi seperti enjin BMW TwinPower Turbo.

Gabungan itu membolehkan BMW menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan.

Generasi kedua diperkenalkan pada tahun 2011 dengan peningkatan dari aspek rekaan dan kelengkapan.

Model tersebut turut memenangi anugerah 10 Best Cars dalam Japan Car of the Year 2011-2012.

BMW kemudian memperkenalkan generasi ketiga pada tahun 2019.

Model tersebut menerima rekaan lebih moden serta peningkatan sistem bantuan pemandu.

Pada tahun 2024, BMW 1 Series memasuki generasi keempat. Ia menjadi model BMW pertama menggunakan rekaan pepenjuru pada kidney grille.

BMW turut memperkenalkan garisan badan tiga dimensi bagi memberikan imej lebih sporti.

Generasi terbaharu itu juga menerima pelbagai teknologi baharu termasuk sistem hibrid ringkas.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved