GWM Tank 300 HEV 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM259,800

GWM Malaysia memperluas barisan SUV lasak mereka dengan melancarkan model baharu Tank 300 HEV 2026.

Varian hibrid tunggal GWM Tank 300 HEV itu ditawarkan pada harga RM259,800 atas jalan tanpa insurans, dan hadir dengan pakej jaminan berikut:

  • Jaminan seumur hidup bagi enjin dan transmisi (eksklusif untuk pemilik persendirian pertama)
  • Jaminan bateri kuasa 8-tahun/180,000 km
  • Jaminan kenderaan & HEV 6-tahun tanpa had perbatuan

Pelanggan juga boleh menikmati manfaat pemilikan seperti:

  • Pakej penyelenggaraan percuma 5-tahun (termasuk kos buruh dan alat ganti)
  • Pakej perkhidmatan telematik Tahap 2 selama 5-tahun percuma

Pemilik GWM sedia ada layak mendapat rebat eksklusif RM3,000.

Spesifikasi

Tank 300 HEV dipacu enjin 2.0 liter turbo yang mampu menjana 245 PS dan 380 Nm, dibantu motor elektrik 106 PS dan 268 Nm.

Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 346 PS dan 648 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik hibrid 9-kelajuan (9HAT).

Tank 300 HEV turut mengekalkan keupayaan pemanduan off-road merangkumi:

  • sistem pacuan empat roda on-demand
  • gear julat rendah 4L
  • mod pemanduan Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand dan 4L
  • Tank Turn Assist untuk radius putaran lebih kecil
  • Crawl Control (CCO)

Kelengkapan luaran dan kabin

SUV off-road hibrid ini hadir dengan pilihan warna Crystal Black, Pearl White, serta warna eksklusif Sand Beige untuk varian HEV sahaja.

Dari segi luaran, ia masih kekal dengan penawaran terdahulu, sementara ruang kabin didatangkan dengan ciri seperti:

  • kemasan kulit Nappa
  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • sistem audio premium Infinity dengan 9-pembesar suara
  • kelengkapan ADAS Tahap 2
  • kamera 360 darjah

Khusus untuk varian HEV ini, terdapat ciri pintar seperti sambungan aplikasi pintar untuk pemantauan status jarak jauh, serta bantuan parkir automatik.