ZXMOTO menang lagi, Valentin Debise dua kali juara di WorldSSP Most 2026!

Hujung minggu yang cukup gemilang buat pasukan ZXMOTO Evan Bros Factory di Most, Republik Czech.

Pelumba mereka, Valentin Debise, meraih kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan (Perlumbaan 1 & 2), manakala Federico Caricasulo turut berjaya membawa pulang mata berharga untuk kedudukan carta kejuaraan.

Ini kemenangan berganda kedua buat ZXMOTO Evan Bros dan Valentin Debise selepas cemerlang pada pusingan di Portimau, Portugal.

Valentin Debise yang memacu ZXMOTO 820RR (versi RS) bukan sahaja menang di Perlumbaan 1, malah turut mencatatkan masa 1’34.336s yang diiktiraf secara rasmi sebagai Rekod Baharu Litar.

Namun pada perlumbaan hari Ahad (Perlumbaan 2), Jaume Masia yang memacu jentera Ducati Panigale V2 mencatatkan masa 1’34.130s pada pusingan kedua (Lap 2).

Catatan ini diiktiraf sebagai pusingan terpantas Perlumbaan 2, malah ia adalah lebih laju berbanding masa yang dicatatkan oleh Debise ketika meraih kemenangan bergandanya.

Perlumbaan 1: Drama Kelompok Hadapan & Kebangkitan Hebat

Kredit gambar: Evan Bros Factory

Meskipun dikenakan penalti tiga petak yang memaksa beliau memulakan perlumbaan dari petak keenam, Valentin Debise memulakan perlumbaan dengan baik dan menamatkan pusingan pertama di kedudukan kelima (P5).

Sebaik perlumbaan bermula, Lucas Mahias memotong Can Oncu di selekoh pertama, diekori rapat oleh Roberto Garcia.

Albert Arenas yang menunggang Yamaha YZF-R9 kemudian mula merapatkan jurang dengan kelompok tiga pelumba teratas sebelum memotong di Selekoh 1 pada pusingan keempat untuk kedudukan pertama.

Tindakan itu turut menarik Debise di belakangnya (towing) untuk memulakan pertempuran sengit lima penjuru sepanjang lapan pusingan awal.

Memasuki pertengahan perlumbaan, rentak Mahias mula perlahan sehingga jatuh ke kedudukan kelima.

Kredit gambar: Evan Bros Factory

Keadaan menjadi mengecewakan buat Garcia apabila jenteranya mengalami masalah teknikal ketika berbaki lima pusingan, memaksa pelumba itu bersara buat kali keempat dalam lima perlumbaan.

Debise mengambil kesempatan ini untuk menerajui perlumbaan di hadapan apabila memintas pada pusingan kelapan ketika Oncu dan Arenas sibuk bertarung sesama sendiri.

Debise memacu jentera ZXMOTO 820RR melintasi garisan penamat dengan kelebihan 0.639 saat di hadapan Oncu untuk meraih kemenangan keempatnya musim ini.

Sementara itu, Jaume Masia (Ducati) berjaya mendaki ke tempat keempat selepas mengatasi Oli Bayliss dan Mahias.

Kredit gambar: Evan Bros Factory

Tom Booth-Amos pula terlepas titik membrek di Selekoh 1 pada pusingan ketiga lalu jatuh ke kedudukan kesembilan dari tempat kelapan, sebelum dia akhirnya terjatuh di Selekoh 20. Aldi Mahendra turut terjatuh di Selekoh 10.

Bagi Federico Caricasulo pula, beliau mengalami permulaan yang sukar dan berada di kedudukan ke-14 pada pusingan pertama.

Beliau bangkit memberikan aksi bertenaga untuk mendaki sehingga ke tempat ke-10, namun terpaksa akur menamatkan saingan di tempat ke-12 selepas kehilangan dua posisi pada dua pusingan terakhir.

Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 1 Litar Most:

  1. Valentin Debise (ZXMOTO)
  2. Can Oncu (Yamaha): +0.639s
  3. Albert Arenas (Yamaha): +0.877s
  4. Jaume Masia (Ducati): +1.760s
  5. Lucas Mahias (Yamaha): +1.865s
  6. Oli Bayliss (Triumph): +5.279s
  • Pusingan Terpantas: Valentin Debise (ZXMOTO) – 1’34.336s (Rekod Baharu Litar)

Perlumbaan 2: Drama Pelanggaran & Pintasan Pusingan Akhir

Kredit gambar: Evan Bros Factory

Berdasarkan catatan masa terbaik daripada Perlumbaan 1, Valentin Debise mendapat kelebihan memulakan Perlumbaan 2 dari petak pertama (pole position).

Beliau bermula dengan sempurna untuk menerajui perlumbaan keluar dari selekoh pertama, ketika Oncu sedang hebat bertarung dengan Lucas Mahias di belakangnya.

Albert Arenas cuba mengekalkan posisi di kelompok hadapan sebelum jenteranya melebar pada pusingan keempat lalu jatuh ke kedudukan kelima di belakang Masia.

Perebutan antara mereka berlarutan sehinggalah pada pusingan ketujuh, di mana Masia melakukan pintasan dari sebelah dalam tetapi berlaku pelanggaran yang menyebabkan Arenas terjatuh.

Insiden tersebut menyebabkan Masia dikenakan hukuman Long Lap Penalty pada pusingan seterusnya sehingga jatuh ke tempat kesembilan.

Kredit gambar: Evan Bros Factory

Masia akhirnya turut terjatuh di Selekoh 15. Roberto Garcia yang cuba menyertai kelompok hadapan juga gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di Selekoh 20.

Pertarungan di kelompok hadapan kini menyaksikan Debise dan Oncu terselamat daripada segala drama litar tersebut.

Di pusingan akhir, Mahias dan Tom Booth-Amos terlibat dalam kemalangan di Selekoh 1 pada pusingan kedua terakhir, menamatkan perlumbaan Mahias serta mencampak Booth-Amos ke tangga ke-16.

Melalui satu pintasan di Selekoh 15-16 pada pusingan terakhir, Debise berjaya mengemudi jentera ZXMOTO 820RR menewaskan Oncu di garisan penamat dengan kelebihan tipis 0.056 saat sahaja.

Kemenangan ini menjadi kemenangan kelima buat Debise.

Sementara itu, pelumba Indonesia, Aldi Mahendra yang memacu jentera Yamaha YZF-R9, mempamerkan aksi terbaik sejak podium di Australia untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Federico Caricasulo melengkapkan kedudukan tempat ke-10.

Kredit gambar: Evan Bros Factory

Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 2 Litar Most:

  1. Valentin Debise (ZXMOTO)
  2. Can Oncu (Yamaha): +0.056s
  3. Oli Bayliss (Triumph): +2.095s
  4. Aldi Mahendra (Yamaha): +2.835s
  5. Matteo Ferrari (Ducati): +2.855s
  6. Alessandro Zaccone (Ducati): +6.056s
  • Pusingan Terpantas: Jaume Masia (Ducati) – 1’34.130s (Pusingan 2)

Kedudukan Ranking Kejuaraan WorldSSP 2026 (Selepas Litar Most)

Ranking Pelumba:

  1. Albert Arenas (AS BLU CRU Racing Team): 166 mata
  2. Valentin Debise (EASTROC ZXMOTO Evan Bros Factory): 147 mata
  3. Jaume Masia (Orelac Racing Verdnatura): 130 mata
  4. Can Oncu (Pata Yamaha Ten Kate Racing): 128 mata
  5. Philipp Oettl (Feel Racing WorldSSP Team): 104 mata
  6. Matteo Ferrari (WRP Racing): 76 mata
  • Federico Caricasulo berada di kedudukan ke-18 dengan 20 mata.

Ranking Pasukan & Pengeluar:

  • ZXMOTO (Pengeluar): Tempat ke-3 keseluruhan (149 mata).
  • ZXMOTO Evan Bros Factory (Pasukan): Tempat ke-2 keseluruhan (167 mata).

Pasukan ZXMOTO Evan Bros Factory akan kembali beraksi pada 29 hingga 31 Mei di Motorland Aragon untuk pusingan keenam Kejuaraan World Supersport 2026.

Kredit berita dan gambar:

  1. Evan Bros Racing
  2. WorldSBK