Perodua merancang untuk melakukan pengeluaran model Ativa Hybrid secara tempatan, lapor Bernama.
Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua berkata, pihaknya sedang memuktamadkan perbincangan membabitkan perkara termasuklah tempoh pengeluaran, penetapan harga dan butiran lain.
“Sebaik sahaja dapat memuktamadkan perkara-perkara berkaitan, kami akan membuat pengumuman rasmi kemudiannya.
“Apa yang pasti, model Ativa hibrid ini akan dikeluarkan di peringkat tempatan,” katanya pada sidang media bersempena lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata ke kilang Perodua baru-baru ini.
Difahamkan, Perodua menerima pelaburan bernilai 1.5 bilion yen (lebih RM37 juta) daripada Global South Fund bagi menyokong teknologi hibrid Jepun di sini.
Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi pada tahun 2021, dan merupakan model pertama Perodua yang dibina berdasarkan platform DNGA.
Buat masa ini, Ativa hanya ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo 1KR-VET yang dipadankan dengan transmisi D-CVT.
Ativa Hybrid pernah ada di Malaysia
Pada September 2022, Perodua melancarkan kajian terhadap mobiliti kenderaan elektrik melibatkan 300 orang pelanggan.
Menerusi program ini, sebanyak 300 unit Ativa Hybrid disediakan di mana kesemuanya merupakan unit CBU daripada pasaran Jepun.
Perodua Ativa Hybrid menggunakan trenkuasa sistem hibrid bersiri di mana hanya motor elektrik digunakan untuk menggerakkan roda kenderaan.
Manakala enjin 1.2 liter WA-VEX hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk mengecas bateri dan menggerakkan motor elektrik.
Kembarnya di Jepun (Daihatsu Rocky Hybrid) ditawarkan dengan e-Smart Hybrid terdiri daripada:
- enjin tiga-silinder 1.2 liter WA-VEX (102 hp/105 Nm)
- motor elektrik 106 hp/170 Nm
- pek bateri 4.3 Ah
