Hongqi bakal masuk Malaysia menerusi Quill Group – CKD, pelancaran menjelang pertengahan 2026

Quill Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FAW Group, menyaksikan kumpulan itu dilantik sebagai pengimport rasmi dan pengedar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi jenama automotif mewah China, Hongqi.

Kerjasama strategik ini membuka laluan kepada Hongqi untuk menembusi pasaran kenderaan ultra-mewah dan kenderaan elektrik (EV) premium di Malaysia.

Bakal lancar menjelang pertengahan tahun ini

Hongqi, yang bermaksud “Bendera Merah,” terkenal sebagai kenderaan rasmi pemimpin negara China dan melambangkan kebanggaan industri automotif negara itu. Jenama ini dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang pertengahan tahun 2026.

Melalui MoU ini, Quill Group akan bertindak sebagai rakan strategik dan pengedar utama, di samping menerajui aspek pengimportan, operasi CKD, serta pelantikan pengedar sah di seluruh negara.

Quill Group manfaat kepakaran untuk pemasaran dan sokongan perkhidmatan

Pengarah Urusan Quill Group, Dato’ Dr. Jennifer Low berkata pelantikan ini mencerminkan keyakinan Hongqi terhadap kepakaran korporat Quill Group serta potensi pasaran Malaysia.

“Dengan memanfaatkan kepakaran korporat luas Quill Group serta komitmen terhadap kecemerlangan, kami akan memperkukuh keyakinan pengguna melalui program pemasaran yang komprehensif, sokongan perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh tanpa kompromi, serta ketersediaan alat ganti yang lancar,” katanya.

Model apa yang bakal dilancar?

FAW Group kini mengeksport kenderaan Hongqi ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia. Pelaksanaan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.

Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal dan rangkaian pengedar akan diumumkan dalam masa terdekat.