Zeekr 8X: SUV PHEV dengan seni bina 900V, harga bermula RM190k di China

Zeekr baru-baru ini melancarkan model baharu 8X untuk pasaran China, sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) saiz penuh.

Diposisikan di bawah model 9X, Zeekr 8X dijual pada harga bermula dari 329,800 yuan (RM191 ribu) sementara model paling premium pula berharga 473,800 yuan (RM275 ribu).

Spesifikasi & Teknologi

Zeekr 8X dibina berdasarkan platform super hibrid Haohan-S 900V yang turut dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo dan konfigurasi dua atau tiga motor elektrik.

Versi dwi-motor mampu menghasilkan kuasa 885 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat.

Varian tiga motor elektrik pula berupaya menghamburkan kuasa setinggi 1,381 hp, membolehkannya memecut sepantas 2.96 saat dari 0-100 km/j.

Bateri 70 kWh pula membenarkan jarak pandu sifar emisi sejauh 410 km, dengan jarak keseluruhan mampu mencecah 1,416 km.

Teknologi pengecasan pantas 6C pula membolehkan bateri dicas 20-80 peratus dalam masa hanya 9 minit.

Pemanduan

Zeekr 8X menggunakan sistem casis digital terkini yang dipadankan dengan suspensi udara adaptif dan kawalan redaman aktif.

Sistem ini turut menyokong agihan daya kilas pantas dan larasan ketinggian boleh ubah.

Tidak ketinggalan, bantuan pemandu termaju yang disokong oleh unit LiDAR dan cip pemprosesan berkembar Nvidia Drive Thor-U dengan kemampuan memproses sehingga 1,400 TOPS.

Sistem ini menyokong bantuan navigasi lebuh raya dan fungsi parkir automatik.

Dimensi

Zeekr 8X membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,100 mm, lebar 1,998 mm, tinggi 1,780 mm dengan jarak antara roda 3,069 mm.

Biarpun lebih kecil berbanding model 9X, Zeekr 8X masih lagi dikategorikan sebagai SUV saiz penuh.

SUV ini turut mengekalkan bahasa rekaan terkini Zeekr, dengan ciri seperti jeriji depan besar menegak, lampu hadapan berasingan dan juga unit LiDAR pada bumbung.

Kabin

Ruang kabin Zeekr 8X didatangkan dengan ciri seperti berikut (bergantung kepada varian):

  • skrin kluster digital 13.02 inci untuk pemandu
  • skrin paparan head-up 44 inci
  • skrin infohibur 16 inci dengan resolusi 3.5K
  • skrin penumpang sebagai opsyen
  • skrin bumbung 17 inci 3K OLED
  • sistem audio Naim dengan 29 pembesar suara dan ciri Dolby Atmos
  • tempat duduk gaya aviasi

Kapasiti kargo pula mampu mencapai sehingga 2,200 liter.