Jenama ZXMoto bakal masuk Malaysia, Mforce dilantik sebagai pengedar eksklusif

Mforce Bike Holdings kini dilantik sebagai pengedar eksklusif bagi jenama motosikal baharu ZXMoto di pasaran Malaysia.

Kerjasama strategik ini bermula pada Oktober 2025 susulan kunjungan pengasas jenama ZXMoto, iaitu Zhang Xue ke kilang Mforce Pulau Pinang.

Lawatan itu menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama di rantau ini.

Hasil perbincangan konstruktif, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menjalin kerjasama, sekaligus menandakan satu langkah penting dalam industri motosikal tempatan.

Pihak Mforce sendiri telah menerima tiga buah model motosikal ZXMoto untuk menjalani ujian ketahanan di Malaysia.

Ia bagi memastikan setiap model memenuhi piawaian prestasi, ketahanan dan kesesuaian dengan keadaan jalan raya dan iklim setempat sebelum diperkenalkan secara rasmi.

Pengenalan rasmi di Malaysia Bike Show 2026

Kredit: Evan Bros. Racing

Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce mendedahkan jenama itu akan diperkenalkan secara rasmi pada 29 Mei 2026 sempena acara Malaysia Bike Show 2026.

Jelasnya lagi, semua peminat ZXMoto berpeluang menyaksikan barisan motosikal terkini termasuklah model berprestasi tinggi.

Pengujung juga boleh melihat sendiri jentera lumba yang meraih dua kemenangan dalam kelas WorldSSP di Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) Portugal.

Pengasas ZXMoto juga dijadualkan akan hadir bagi memeriahkan suasana.

Model apa yang bakal tiba di Malaysia?

ZXMoto membuat kemunculan di EICMA 2025, menampilkan barisan model motosikal yang cukup mencuri tumpuan seperti:

  • 820RRsports bike dengan enjin 3-silinder 819 cc berkuasa 135 hp
  • 820RR-R – versi lebih bertenaga dengan kuasa 145 hp
  • 820R – streetfighter dengan enjin 819 cc, kuasa 130 hp
  • 820 ADV – jentera adventure dengan enjin 819 cc, kuasa 117 hp
  • 500RR – sports bike dengan enjin 4-silinder 470 cc berkuasa 84 hp
  • 450 Rally – jentera off-road diinspirasikan oleh Rali Dakar, enjin 450 cc berkuasa 59 hp
  • 600 V – cruiser dengan enjin v-twin 578 cc

Antara model lain termasuklah motocross MX250 dan MX450, serta model enduro ZX300 dan ZX350.

Daripada senarai di atas, yang mana satu bakal masuk Malaysia nanti?