Chery Malaysia berjaya melaksanakan Cabaran Keselamatan Bateri Chery Super Hybrid (CSH) yang pertama di Malaysia.
Inisiatif ini mengukuhkan komitmen berterusan jenama automotif tersebut terhadap keselamatan bateri menerusi ujian dunia sebenar yang telus dan berfokuskan keselamatan.
Menurut Men Lin Bo, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia berkata, “Keselamatan merupakan teras kepada proses pembangunan kami.”
Jelasnya lagi, proses demonstrasi ini dijalankan secara terbuka bagi membantu orang ramai memahami teknologi serta piawaian yang diguna pakai.
Demonstrasi langsung kepada media
Majlis tersebut disaksikan oleh lebih 100 hadirin terdiri daripada pegawai agensi kerajaan dan wakil media.
Sebelum sesi ujian tersebut berlangsung, satu sesi perkongsian bersama pakar bateri Chery, Zhang Wei Bo telah diadakan.
Ia membolehkan pihak media memahami konteks teknikal sebelum menyaksikan demonstrasi tersebut.
Dalam sesi ujian yang dijalankan, pihak Chery menggunakan unit bateri yang sama pada model Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV.
Unit bateri tersebut menjalani ujian kebakaran bersuhu tinggi merangkumi fasa pra-pemanasan dan pendedahan berterusan kepada api selama 1 minit 20 saat.
Sepanjang ujian tersebut, bateri kekal stabil tanpa peningkatan kebakaran, kegagalan elektrik atau deformasi yang tidak terkawal.
Pihak media juga diberikan peluang untuk memerhati keadaan bateri sebelum, semasa dan selepas didedahkan kepada api.
Kesinambungan program peringkat global
Cabaran Keselamatan Bateri di Malaysia merupakan kesinambungan kepada program yang dijalankan di peringkat global.
Dalam siri ujian tersebut, sistem bateri Chery diuji di bawah pelbagai senario ekstrem, seperti contoh:
- China – ujian pelanggaran hadapan dan ujian guling spiral
- Indonesia – ujian rendaman air laut selama 53 jam
- Afrika Selatan – ujian pelanggaran hadapan beralih pada kelajuan 50 km/j
- Ecuador – ujian enam das tembakan untuk membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri
- Timur Tengah – ujian rendaman air laut suhu 60 darjah Celcius selama 48 jam, dan ditanam dalam pasir gurun Kuwait selama 48 jam
- Mexico – ujian geseran bawah kenderaan
Prestasi keselamatan terbukti
Selain Cabaran Keselamatan, Chery Malaysia turut menonjolkan pencapaian keselamatan kukuh bagi rangkaian kenderaan elektrik hibridnya.
Chery TIGGO 7 PHEV telah memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP dengan skor tertinggi 94.68 sepanjang masa.
Chery Malaysia turut menawarkan jaminan bateri lanjutan sehingga 10 tahun atau 200,000 kilometer merangkumi pek bateri, motor pemacu, dan unit kawalan kenderaan.
Perlindungan menyeluruh ini direka untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggan, menyokong keyakinan pemilikan jangka panjang serta mengukuhkan fokus Chery terhadap teknologi hibrid yang boleh dipercayai.
Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia menjelaskan penawaran model PHEV mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap aspek keselamatan serta keyakinan pemilikan.
“Daripada menjalankan ujian keselamatan yang ketat dan ekstrem, menyediakan sokongan jaminan bateri jangka panjang, hinggalah pencapaian skor 5-Bintang ASEAN NCAP, setiap elemen ini dibina atas komitmen jangka panjang kami untuk melindungi pelanggan.
“Pencapaian ini adalah tentang menyampaikan model PHEV yang lengkap menggabungkan prestasi keselamatan terbukti, teknologi yang boleh diharap, serta jaminan sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” ujarnya lagi.
