Toyota hasilkan semula panel instrumen Supra A80, projek GR Heritage Parts kini fokus pada dalaman

Toyota melalui divisyen prestasinya iaitu Gazoo Racing (GR) mengumumkan bahawa ia akan menghasilkan semula panel instrumen bagi Supra A80 menerusi projek GR Heritage Parts.

Inisiatif ini bertujuan membantu pemilik mengekalkan model klasik Toyota mereka dalam keadaan terbaik. Setakat ini, lebih 300 komponen untuk lapan model telah dihasilkan semula di bawah projek ini.

Sebelum ini, fokus utama lebih tertumpu kepada komponen mekanikal yang melibatkan aspek pemanduan dan pengendalian. Namun kali ini, GR mula memberi perhatian kepada permintaan pemilik yang mahu memulihkan bahagian dalaman dan luaran.

Komponen dashboard yang penting

Panel instrumen yang diumumkan ini merupakan sebahagian besar daripada dashboard A80 Supra, meliputi kawasan dari bahagian atas stereng hingga ke penumpang hadapan. Ia menjadi pelengkap kepada panel kluster meter yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Material moden namun ‘feel’ asal dikekalkan

Seperti yang kita tahu, dashboard kereta mudah terjejas akibat pendedahan cahaya matahari berpanjangan yang boleh menyebabkan rekahan atau kerosakan pada bahagian permukaan.

Untuk itu, GR menggunakan material moden bagi meningkatkan ketahanan, tetapi dalam masa sama mengekalkan reka bentuk asal. Malah, kemasan tekstur (grain) turut dihasilkan semula dengan teliti supaya nampak asli bila dipasang.

Jangkaan pelancaran

Panel instrumen Supra A80 ini masih dalam pembangunan dan dijangka dilancarkan sekitar musim luruh 2026. Di Jepun, ia akan ditawarkan melalui rangkaian GR Garage, pengedar Toyota, serta outlet JMS, lengkap dengan servis pemasangan.

Akan dipamerkan tidak lama lagi

Komponen ini bakal dipertontonkan kepada umum di Automobile Council 2026 di Chiba, bersama sebuah Supra A80 yang telah dipulihkan menggunakan komponen GR Heritage Parts.