102 unit Rolls-Royce Cullinan (tahun 2019–2025) kena recall gara-gara bolt longgar

Apabila pembeli membelanjakan jutaan ringgit untuk sebuah kereta mewah, sudah tentu mereka mengharapkan tahap kesempurnaan yang tinggi. Namun realitinya, model paling eksklusif sekalipun tidak terkecuali daripada isu kualiti, malah perkara sekecil bolt pun boleh membawa kepada panggilan semula.

SUV ultra mewah pun kena recall

Rolls-Royce kini mengeluarkan arahan kepada pemilik Rolls-Royce Cullinan supaya tidak menggunakan tempat duduk belakang dan ruang but buat sementara waktu. Puncanya ialah komponen tali pinggang keledar di bahagian belakang yang didapati mungkin tidak diketatkan dengan betul semasa pemasangan di kilang.

Bermula dengan bunyi kecil

Menariknya, isu ini bukan berpunca daripada kemalangan. Sebaliknya, ia bermula daripada bunyi pelik yang dikesan ketika ujian di jalan. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat bolt pada retractor tali pinggang keledar yang longgar.

Perkara itu mencetuskan siasatan teknikal, dan hasil siasatan mendapati unit yang dihasilkan sejak 27 November 2019 berkemungkinan mempunyai masalah sama.

102 unit Cullinan terjejas

Sebanyak 102 unit Cullinan yang dihasilkan antara tarikh tersebut hingga 19 November 2025 terlibat dalam recall ini. Juruteknik akan memeriksa dan mengetatkan bolt mengikut spesifikasi ditetapkan.

Walaupun jumlahnya kecil, risikonya tidak boleh dipandang ringan. Jika bolt longgar, tali pinggang keledar mungkin tidak berfungsi dengan optimum ketika pelanggaran. Dalam situasi tertentu, tempat duduk belakang juga boleh bergerak jika barang dalam but beralih, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan.

Langkah berjaga-jaga

Buat masa ini, pemilik dinasihatkan untuk tidak menggunakan tempat duduk belakang atau membawa barang di ruang but sehingga pemeriksaan dilakukan.

Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan setakat ini dan semua kerja pembaikan akan dilakukan secara percuma. Notis kepada pemilik dijangka dikeluarkan bermula Mei 2026.