Team Porsche Malaysia bakal menampilkan bakat tempatan Naquib Azlan untuk perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia 2026 dalam kategori PRO.
Juara Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 kategori Driven Dreamers itu akan memandu jentera Porsche 911 Cup (992.2) #17.
Penyertaan Naquib Azlan turut mendapat kerjasama daripada Earl Bamber Motorsport (EBM) dan Axle Motorsports.
Daripada sim racing ke litar sebenar
Pelumba berusia 26 tahun itu memulakan karier menerusi perlumbaan simulasi pada tahun 2020.
Beliau kemudian beralih ke perlumbaan kereta sebenar menerusi program anjuran Toyota Gazoo Racing Malaysia.
Setelah dinobatkan sebagai juara kategori Driven Dreamers tahun lepas, Naquib terpilih untuk menyertai program Porsche Carrera Cup Asia Talent Pool.
Lebih membanggakan apabila Naquib berjaya mencatatkan rekod pusingan terpantas (1:35.391) di Litar Antarabangsa Zhuhai semasa sesi ujian rasmi PCCA 2026 (28 Februari-1 Mac).
“Pengenalan pertama terhadap sukan permotoran adalah menerusi perlumbaan simulasi, dan saya terus tertarik dari mula.
“Berlumba di dalam Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia membuka peluang yang saya tidak pernah bayangkan.
“Kini berlumba dengan Porsche Malaysia yang mempunyai warisan perlumbaan yang kuat merupakan satu penghormatan mutlak.
“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan daripada Porsche Malaysia serta bimbingan Axle Motorsports sepanjang perjalanan ini, dan berharap agar dapat mewakili Malaysia dan Porsche di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Liveri baharu Team Porsche Malaysia
Jentera 911 GT3 Cup (992.2) yang bakal dipandu Naquib tahun ini menampilkan layangan liveri baharu yang melambangkan jenama Sime Motors.
Bumbung kereta ini turut dihiasi layout rasmi Porsche Experience Centre Singapura yang bakal dibuka tahun 2027.
Fasiliti yang pertama di Asia Tenggara itu menjanjikan pengalaman dalam litar yang menyeluruh untuk pelanggan dan peminat.
Ia dilihat dapat mengukuhkan lagi kehadiran jenama Porsche serta budaya sukan pemotoran di rantau ini.
Pusingan pembukaan PCCA di Shanghai
Pusingan pertama Porsche Carrera Cup Asia 2026 akan berlangsung di Shanghai, China pada 14-15 Mac ini.
Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi tuan rumah bagi pusingan ke-9, 10 dan 11 yang menampilkan dua perlumbaan sprint dan satu perlumbaan format endurans.
