Honda Super-One (2026) didedahkan — EV FWD dengan Boost Mode, ada Active Sound Control

Lebih banyak maklumat mengenai Honda Super-One telah didedahkan, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas tentang kei car elektrik itu menjelang pelancarannya di Jepun.

Model ini diinspirasikan daripada legenda 80-an iaitu Honda City Turbo II.

Luaran

Dari segi luaran, Super-One tampil jauh lebih agresif berbanding Honda N-One e: biasa.

Ia menerima bampar baharu dengan saluran udara berfungsi, fender yang lebih menonjol bagi menjadikan stance lebih lebar, serta spoiler bumbung.

Melengkapkan imej rangginya adalah rim aloi 15 inci dalam kemasan matte Berlina Black yang dipadankan bersama tayar Yokohama, serta warna eksklusif Boost Violet Pearl.

Dari segi saiz, Super-One berukuran 3,589 mm panjang, 1,573 mm lebar dan 1,616 mm tinggi.

Bermakna ia lebih besar berbanding N-One e:, walaupun masih mengekalkan jarak roda 2,520 mm yang sama.

Dalaman

Masuk ke ruang kabin, susun atur asas masih sama seperti N-One e:.

Tetapi Super-One diberikan sentuhan lebih sporty menerusi tempat duduk dengan sokongan sisi lebih tebal, kemasan aksen ungu, serta paparan kluster digital 7 inci dengan grafik khas.

Bagi menjadikan pemanduan lebih mengujakan, paparan berkenaan akan bertukar kepada rekaan seakan takometer apabila Boost Mode diaktifkan.

Sistem Active Sound Control pula menghasilkan bunyi enjin dan simulasi pertukaran gear menerusi sistem audio Bose lapan pembesar suara.

Selain itu, ciri-ciri seperti skrin infotainmen 9 inci, tempat duduk dan stereng pemanas, serta pakej penuh sistem bantuan pemandu turut ditawarkan sebagai standard.

Trenkuasa

Super-One dipacu oleh motor elektrik tunggal di gandar hadapan.

Angka kuasa rasmi masih belum diumumkan, namun berdasarkan maklumat yang sempat dipaparkan di laman web Honda Singapura baru-baru ini, model ini dikatakan menghasilkan 95 PS iaitu 31 PS lebih tinggi berbanding N-One e:.