Honda Civic Type R EK9 untuk dijual tapi harga FL5, sanggup beli?


Sekiranya anda diberikan duit yang mencukupi untuk membeli sebuah Honda Civic Type R FL5, adakah anda akan memilih model tersebut?
Atau anda sebenarnya lebih cenderung untuk mendapatkan model Type R yang lebih klasik – seperti Civic Type R EK9 ini?
Laman Bring A Trailer menyenaraikan sebuah hatchback Honda Civic Type R generasi EK9 yang diimport masuk ke pasaran Amerika Syarikat pada tahun lepas.
Ia membawakan warna ikonik Championship White dan hanya mempunyai jarak perbatuan sekitar 53,000 km sahaja!
Tidak seperti kebanyakan pemilik, Civic Type R EK9 ini mempunyai spesifikasi asal sebagaimana ia keluar dari kilang pada tahun 1998.
Rim asal bersaiz 15 inci juga masih lagi wujud, cuma ia kini dibaluti dengan tayar Hankook Ventus V2 Concept2.
Ruang kabin juga masih lagi mengekalkan tempat duduk sports Recaro yang dibaluti fabrik dan mikrofiber berwarna merah, diikuti dengan karpet merah dan roda stereng Momo.
Ketika masih baharu, enjin asal empat silinder sebaris B16B 1.6 liter aspirasi semula jadi itu mampu menjana kuasa setinggi 182 hp dan 160 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan dan pembeza gelincir terhad.
Setakat artikel ini ditulis, harga bidaan untuk EK9 ini sudah pun mencecah US$42,000 (RM189k), hampir menyamai harga jualan Civic Type R FL5 di Amerika Syarikat yang bermula dari US$46,690 (RM210,152).
Anda mahukan deruman VTEC yang asli ataupun hamburan kuasa daripada VTEC turbo yang jauh lebih moden dan lebih bertenaga?
Tepuk dada tanyalah selera masing-masing.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.