Nissan mahu jual GT-R R35 untuk tempoh 17 tahun lagi
Tahukah anda, usia Nissan GT-R generasi R35 kini sudah pun menjejak 17 tahun?
Jika dibandingkan, Nissan GT-R memang sudah agak berusia, namun Nissan sebenarnya masih lagi mahu tetap meneruskan produksi R35 untuk tempoh 17 tahun lagi.
Dalam satu temubual bersama Top Gear, ketua produk global Nissan Pierre Loing berkata, “(Nissan GT-R) telah pun dijual untuk tempoh 17 tahun, dan kami ingin meneruskannya untuk tempoh 17 tahun lagi, namun pelaksana undang-undang memberikan kami masalah.”
Untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Nissan berdepan dengan cabaran untuk meneruskan jualan model GT-R.
Di Eropah, model supercar itu telah dihentikan penjualannya pada Julai 2021 disebabkan peraturan bunyi bising baharu yang dilaksanakan.
Ia juga telah ditarik keluar dari pasaran Australia kerana gagal untuk mematuhi regulasi ujian pelanggaran impak sisi yang lebih ketat.
Kebiasaannya, sesebuah pengeluar akan menyediakan model pengganti saat produksi model sedia ada dihentikan.
Namun tidak bagi GT-R.
Selepas produksi GT-R ditamatkan pada tahun 2025, akan wujud satu kekosongan untuk tempoh masa yang panjang sebelum model pengganti (Hyper Force) muncul pada tahun 2030.
Loing menambah, “jika anda lihat kembali sejarah lencana GT-R, kami mempunyai tempoh jurang masa antara generasi GT-R sebelum ini.
“Kami memperlihatkan konsep GT-R pada tahun 2001, menamatkan produksi Skyline GT-R R34 pada tahun 2002, dan kemudian R35 hanya dilancarkan pada tahun 2007.
“Tempoh jurang masa antara Skyline GT-R Kenmeri yang berakhir pada tahun 1975 dan Skyline GT-R R32 yang bermula tahun 1989 adalah jauh lebih besar.
“Untuk memasuki dunia berelektrik, berlaku banyak perdebatan tentang ‘apa itu GT-R dalam era elektrifikasi?’ Kami tidak mempunyai semua jawapan untuk itu. Kami masih lagi sedang melakukan perbincangan tersebut.”
Besar kemungkinan apabila Nissan GT-R generasi baharu muncul dalam tempoh beberapa tahun akan datang, ia akan diposisikan sebagai model yang lebih tinggi berbanding Z serta Silvia baharu yang bakal diperkenalkan kelak.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.