fbpx

MINI Recharged tukar jentera klasik jadi kenderaan EV

mini classic recharge 02

EMPAT tahun yang lalu, MINI pernah memperlihatkan model konsep Classic Mini Electric pada acara New York Auto Show. Maklum balas yang diberikan sangat positif, sekaligus mendorong syarikat itu untuk mewujudkan program MINI Recharged yang membolehkan pemilik model Mini klasik menukarkan kereta mereka kepada sebuah EV.

Bagaimanapun, buat masa ini, program Recharged hanya ditawarkan di United Kingdom dan terbuka kepada pemilik Mini klasik pelbagai generasi yang dikeluarkan dari tahun 1959 hingga 2000. Segala kerja modifikasi akan dilakukan oleh sebuah pasukan dari kilang MINI di Oxford.

Di bawah program ini, pemilik perlu menghantar kereta mereka ke kilang tersebut, di mana enjin yang asal akan dikeluarkan dan digantikan dengan sebuah motor elektrik dan pek bateri berkapasiti 6.6kW.

‘Nadi’ elektrik yang baharu ini menghasilkan 122PS (90kW), membolehkan kereta kecil itu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam sembilan saat. Jarak pemanduan pula adalah sekitar 160km untuk satu cas penuh. Sudah tentu, ia bergantung kepada faktor-faktor seperti gaya pemanduan, cuaca dan sebagainya.

Setiap Mini klasik yang menyertai program Recharged akan dilengkapi dengan kluster instrumen yang telah diubah suai. Ia memaparkan maklumat seperti suhu, kedudukan gear, baki jarak pemanduan dan juga kelajuan. Selain itu, setiap unit juga akan mendapat nombor individu, menjadikannya lebih unik.

Bagaimana pula sekiranya pemilik ingin menggunakan enjin yang asal? Itu tidak menjadi masalah kerana enjin dan juga komponen-komponen lain akan ditanda dan disimpan bagi tujuan ini.

Selain dapat menikmati pengalaman pemanduan yang lebih mesra alam, pemilik Mini elektrik juga boleh memandu kereta mereka di dalam zon emisi rendah di bandar-bandar besar seperti Oxford Street atau Piccadilly Circuis di London tanpa perlu membayar cukai alam sekitar.

Bukan itu sahaja, mereka juga tidak perlu membuat sebarang pendaftaran baharu untuk penukaran ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved