fbpx

Toyota GRMN Yaris versi yang lebih hardcore, sedia untuk tawan litar dan rali

toyota grmn yaris 2022 06

TOYOTA memulakan Tokyo Auto Salon 2022 (TAS2022) hari ini dengan pelancaran GRMN Yaris iaitu versi yang lebih hardcore untuk hot hatch popular itu.

Secara umumnya, Toyota GRMN Yaris ini sedia dibawa berlumba di litar-litar atau rally stage sebaik sahaja keluar dari kilang. GR Yaris yang ‘biasa’ pun sebenarnya sudah cukup bersedia untuk masuk litar, cuma GRMN ini versi yang lebih ringan dan fokus.

Pertamanya, tiada perubahan pada enjin 1.6-liter 3-silinder turbo yang diklasifikasikan paling berkuasa di dunia dalam kelasnya itu. Ia masih menjana 268hp dengan pilihan kotak gear manual 6-kelajuan dan pacuan semua-roda GR-Four.

Tetapi perubahan yang membezakan GRMN dengan versi biasa lebih kepada bahagian ‘bawah kulitnya’. Ia kini 20kg lebih ringan, jadi berat keseluruhan kini pada 1,260kg.

Diet ini adalah hasil penggunaan komponen gentian karbon pada hud, bumbung dan spoiler. Tempat duduk belakang juga telah ‘dibuang’, selain mendapat tempat duduk depan Recaro serta roll-cage.

Kerangkanya juga kini lebih kukuh. Kemudian, GRMN Yaris ini lebih lebar sebanyak 20mm, dan ia direndahkan 10mm untuk aerodinamik lebih baik.

Seterusnya, kotak gear 6-kelajuan itu telah ditala dengan nisbah lebih rapat, jadi ini sepatutnya memberikan pecutan lebih baik. LSD (limited-slip differential) mekanikal juga diberikan standard, berbanding LSD Torsen pada GR Yaris biasa.

Untuk yang mahu lebih prestasi, anda boleh pilih Circuit Package yang memberikan kelengkapan seperti penyerap hentak boleh-laras Bilstein, brek lebih besar, rim 18-inci BBS dengan tayar Yokohama Advan A052, dan tambahan skirt tepi dan lip depan lebih agresif.

Walaubagaimanapun hanya 50 unit akan dihasilkan, dan khas untuk pasaran Jepun sahaja bagi Circuit Package. Rally Package pula akan mendapat penyerap hentak GR, set bar anti-oleng lebih pendek, set pelindung bawah GR dan roll bar GR.

Jika anda sudah pun mempunyai GR Yaris, Toyota dikatakan bakal menawarkan komponen-komponen GRMN ini untuk anda beli.

Toyota GRMN Yaris dijual pada harga bermula 7.317 juta Yen (kira-kira RM269k).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved