Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Proton X50 2025 jadi model pertama Proton siap dengan tag RFID terus dari kilang

Proton mengumumkan kerjasama strategik dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd untuk mengintegrasikan teknologi RFID terus pada model SUV Proton X50 2025.

Di bawah perjanjian baharu ini, setiap Proton X50 baharu akan dipasang dengan tag RFID terus dari kilang untuk akses yang lebih lancar ke rangkaian lebuh raya berteknologi RFID di Malaysia.

Menurut Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, “Melalui kerjasama dengan Touch ‘n Go, Proton menambah satu lagi ciri baharu yang seiring dengan slogan model ini – Intelligence That Amazes.”

Selain X50, Proton juga bercadang untuk memperluaskan pemasangan tag RFID Touch ‘n Go pada model kenderaan lain.

Dilancarkan secara rasmi pada 24 Julai lalu, Proton X50 2025 menawarkan perubahan besar dari segi rekaan luaran dan dalaman, teknologi sambungan terkini serta nadi 1.5 liter turbo yang berkuasa.

Dalam masa tiga minggu selepas pelancaran, sebanyak 2,000 unit telah diserahkan kepada pemilik masing-masing.

Hab komponen iCaur Malaysia mula beroperasi, tempatkan lebih 10,000 alat ganti terpilih

iCaur Malaysia mengumumkan pembukaan rasmi Hab Komponen iCaur yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Shah Alam.

Fasiliti seluas 88,000 kaki persegi itu mampu menempatkan lebih 10,000 alat ganti dan komponen terpilih yang diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama oleh Omoda | Jaecoo Malaysia.

Dengan adanya kemudahan berpusat ini, ia bakal menyokong operasi selepas jualan iCaur dan memperkukuh kesediaan rangkaian menjelang pelancaran model pertama iCaur 03 pada suku ketiga tahun ini.

Menurut Naib Presiden iCaur Malaysia, Emily Lek berkata, “Gudang Chery Corporate Malaysia ini memainkan peranan penting untuk menyokong rangkaian pengedar iCaur yang semakin meluas.

“Ia akan merangkumi tidak kurang daripada 16 rakan pengedar tidak lama lagi dengan pengembangan selanjutnya dirancang pada tahun 2026.

“Falsafah ‘Born to Play’ iCaur bermaksud kami bersedia sejak mula lagi. Dengan membina portfolio alat ganti dan komponen secara beransur-ansur disokong oleh pemain automotif bertaraf dunia dengan rangkaian bekalan global yang kukuh, iCaur Malaysia bersedia untuk melangkah maju seiring rangkaian kami sambil mengukuhkan piawaian perkhidmatan selepas jualan yang diharapkan oleh para pelanggan kami,” ujarnya lagi.

iCaur Malaysia turut menjemput orang ramai untuk merasai pengalaman pemanduan berhalangan iCaur Experience di Karnival Omoda | Jaecoo Plaza Arkadia, Desa ParkCity dari 21-24 Ogos ini.

Di sana, iCaur Malaysia akan menyediakan model iCaur 03 versi pacuan dua roda (2WD) berkuasa 235 hp (harga anggaran dari RM145,000), serta varian iWD berkuasa 275 hp (harga anggaran dari RM155,000).

Selain pelbagai aktiviti interaktif yang telah disusun, pengunjung juga dijemput untuk menyertai cabaran ‘Teka Harga’ dan berpeluang menebus cenderahati eksklusif iCaur.

30 orang pelanggan pertama yang membuat tempahan model iCaur sepanjang tempoh acara tersebut berlangsung akan menerima model skala iCaur 03 edisi terhad (bernilai RM1,388).

Lotus Emeya 2025 dikemas kini – 5 varian, harga dari RM459,000

Lotus Cars Malaysia mengumumkan kemas kini terhadap penawaran hyper-GT Lotus Emeya, di mana ia kini menampilkan struktur nama baharu selaras dengan strategi global Lotus.

Untuk model tahun 2025, Lotus Emeya boleh didapati dalam lima varian utama, iaitu Emeya 600, Emeya 600 GT SE, Emeya 600 Sport SE, Emeya 900 Sport dan Emeya 900 Sport Carbon.

Secara standard, Lotus Emeya dibekalkan dengan tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda (AWD).

Untuk varian Emeya 600, unit pacuan tersebut berupaya menghasilkan 603 hp/710 Nm, sementara varian Emeya 900 pula mampu menghamburkan kuasa setinggi 905 hp dan 985 Nm.

Pek bateri 102 kWh NMC mampu membenarkan jarak pandu sejauh 610 km, atau sehingga 580 km untuk varian 900.

Dari segi kelengkapan, Emeya 600 hadir dengan rim bersaiz 20 inci, sementara Emeya 600 GT SE pula dilengkapi dengan rim aloi 21 inci, angkup brek enam omboh, bumbung kaca panorama dan pintu tailgate bebas tangan.

Varian Emeya 600 Sport SE pula tampil dengan pakej pengendalian Lotus, spoiler belakang aktif, diffuser belakang aktif, serta air dam hadapan aktif.

Masuk kepada varian Emeya 900 Sport, ia dibekalkan dengan spoiler belakang aktif, manakala varian Emeya 900 Sport Carbon pula mendapat kelengkapan ekstra seperti air dam hadapan aktif, diffuser belakang aktif, serta pakej karbon di bahagian luar.

Ruang kabin Emeya mendapat kelengkapan seperti sistem audio KEF Premium dengan 15 pembesar suara, skrin paparan HUD 29 inci, kawalan iklim empat zon, serta padanan fabrik LotusWear Performance.

Varian yang lebih tinggi mendapat sistem pencahayaan ambien, pakej tempat duduk berventilasi dan fungsi urut, serta pintu jenis tutup-lembut.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Lotus Emeya 600 – RM459,000
  • Lotus Emeya 600 GT SE – RM519,000
  • Lotus Emeya 600 Sport SE – RM599,000
  • Lotus Emeya 900 Sport – RM699,000
  • Lotus Emeya 900 Sport Carbon – RM729,000

Tempahan bagi model Emeya 2025 kini dibuka menerusi pusat pameran di Glenmarie, Pavilion Damansara Heights dan Pulau Pinang.

Penghantaran kumpulan pertama pula dijangka akan bermula pada September 2025.

Teksi Toyota GR Corolla memang wujud di Jepun!

Cuba perhatikan gambar di atas. Perasan kewujudannya? Jika anda perasan, syabas kerana mata anda tajam.

Ya, kami ingin kongsikan kepada anda tentang kewujudan sebuah teksi berprestasi tinggi Toyota GR Corolla yang wujud di Bandar Sendai, Jepun.

Kehadiran GR Corolla yang berkhidmat sebagai sebuah teksi merupakan satu pemandangan yang cukup unik kerana rata-rata teksi di sana menggunakan model seperti Toyota Crown Comfort, Toyota Prius dan model khas Toyota JPN Taxi

Berdasarkan carian ringkas di laman X (dulunya dikenali sebagai Twitter), teksi GR Corolla itu merupakan model bertransmisi automatik lapan kelajuan (GR-DAT).

 

Malah, hot hatch itu telah menjalani proses pemasangan meter dan pintu penumpang belakang berkuasa elektrik automatik yang dibuat oleh Futaba System.

Toyota GR Corolla merupakan sebuah hot hatch kompak yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris G16E-GTS, menghasilkan 304 PS dan 400 Nm.

 

Pada asalnya ia hanya ditawarkan dalam versi manual enam-kelajuan, namun menerusi pengenalan model facelift pada Ogos 2024, pembeli boleh mendapatkan GR Corolla versi Direct Automatic Transmission (DAT) lapan kelajuan yang lengkap dengan paddle shifter.

Sebagai peminat hot hatch, kami sendiri boleh bayangkan betapa terujanya para penumpang yang berjaya menggunakan perkhidmatan teksi Toyota GR Corolla ini di sana.

Selain Toyota GR Corolla, syarikat teksi Sendai itu turut mempunyai sebuah lagi model teksi unik, iaitu Subaru Levorg GT.

 

Garagisti GP1 – raksasa V12 analog 800 hp!

Anda mungkin sekali sudah bosan dengan barisan kereta elektrik yang ada di pasaran.

Ya, biarpun dengan prestasi yang mampu mengalahkan mana-mana supercar, namun kebanyakannya tidak mempunyai jiwa, bunyi dan pengalaman mekanikal yang sebenar.

Disinilah wujudnya sebuah jentera analog yang dapat mengisi kekosongan tersebut yang dihasilkan oleh firma kejuruteraan Britain, Garagisti & Co, iaitu GP1.

GP1 didatangkan dengan nadi bentangan V12 6.6 liter aspirasi semula jadi (NA) yang dibina sepenuhnya dari kosong oleh syarikat Itali Italtecnica.

Secara keseluruhan, GP1 berupaya menjana kuasa setinggi 800 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 700 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual Xtrac dan sistem pacuan roda belakang.

Selain itu, GP1 menampilkan casis monocoque carbon, sistem gantungan Ohlins, dan sistem brek Brembo.

Rekaan luaran yang cukup berseni ini dihasilkan oleh bekas pereka Bugatti dan Rimac, Angel Guerra di mana beliau banyak mengambil inspirasi daripada model ikonik seperti Lancia Stratos Zero dan Lamborghini Countach.

Bersesuaian dengan tema analog, ruang kabin GP1 tidak dicemari dengan kehadiran skrin sentuh saiz gergasi.

Sebaliknya, ia hanya dibekalkan dengan roda stereng, tuil transmisi manual tradisional, beberapa butang kawalan fizikal, dan konsol tengah yang agak tinggi memisahkan antara pemandu dan penumpang.

Hanya 25 unit sahaja GP1 yang akan diproduksikan, setiap satu dianggarkan bernilai £2.45 juta (RM13.94 juta) tidak termasuk cukai, kos penghantaran dan kos penyesuaian.

12 pembeli terawal akan diberikan penghormatan untuk menyertai program Open Door Garagisti yang menawarkan peluang bertemu dengan para jurutera dan pereka di sebalik GP1.

 

Perodua, Maybank Islamic lancar pelan pembiayaan Flexiplan patuh Syariah

Perodua berganding bahu dengan Maybank Islamic Berhad untuk menawarkan pelan pembiayaan Perodua Flexiplan patuh Syariah pertama di Malaysia.

Dikuasakan oleh Maybank Islamic myimpact Drive Financing-i, pelan pembiayaan ini membolehkan pelanggan menikmati manfaat berikut:

  • Tawaran Pembiayaan Kenderaan Murabahah Bertempoh yang sangat kompetitif, dengan bayaran bulanan lebih berpatutan untuk tempoh lima tahun pertama.
  • Tawaran beli semula kenderaan pada harga kompetitif berbanding nilai pasaran – tertakluk kepada terma dan syarat
  • Kebebasan pemilikan – pelanggan boleh menukar kenderaan mereka kepada model baharu atau mengekalkan kenderaan sedia ada dengan pelan bayaran yang disemak semula

 

Di bawah Perodua Flexiplan, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan model Myvi, Axia (tidak termasuk Axia E), Ativa dan juga Aruz.

Pada tahun kelima pelan ini, pelanggan mempunyai pilihan berikut:

  • Menukar kenderaan sedia ada kepada yang baharu, dengan nilai tukar beli terjamin digunakan untuk mengurangkan bayaran pendahuluan dan memulakan semula tempoh lima tahun tersebut
  • Pelanggan boleh memilih untuk mengekalkan kenderaan sedia ada dengan melunaskan baki tertunggak, atau melanjutkan pembiayaan sehingga empat tahun lagi di bawah pelan bayaran baharu.

 

Perodua berharap pelan baharu ini dapat meningkatkan akses kepada pemilikan kenderaan, dan memberikan pilihan kepada pelanggan untuk menukar kenderaan dengan mudah mengikut keperluan.

Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “Hari ini Perodua dan Maybank Islamic mencipta sejarah baharu bergabung tenaga menawarkan pakej pembiayaan terbaik bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat, terutama pelanggan kami yang dihargai.”

“Kami percaya dengan sokongan daripada bank terbesar di malaysia, digabungkan dengan kepercayaan yang telah kami bina daripada rakyat Malaysia, Perodua Flexiplan akan diterima dengan baik,” tambahnya.

Sementara itu, Syed Ahmad Taufik Albar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Komunit dan Kewangan, Maybank berkata, “Kami di Kumpulan Maybank sentiasa komited untuk memperkasa pelanggan dengan penyelesaian kewangan yang fleksibel, telus, inklusif dan mampan, dan Maybank Islamic myimpact Drive Financing-i adalah cerminan pendekatan berteraskan nilai kami.”

Pelan pemilikan kereta baharu ini turut memperkayakan ekosistem penyelesaian patuh Syariah untuk pemilik kenderaan Perodua, termasuklah perlindungan takaful komprehensif Perodua Total Protect Plus yang dilindungi oleh Etiqa, serta Takaful Perlindungan Baki Pinjaman (Credit Reducing Term Takaful) sebagai lapisan perlindungan tambahan untuk pelanggan.

Dengan pelan terbaharu ini, Perodua dan Maybank Islamic menyasarkan untuk menetapkan penanda aras baharu bagi pemilikan kenderaan di Malaysia.

Goodyear Malaysia lancar tayar Eagle F1 Asymmetric 6, Asymmetric 6 SUV – harga dari RM509

Goodyear Malaysia melancarkan produk tayar premium baharu Eagle F1 Asymmetric 6 dan Asymmetric 6 SUV bersempena dengan acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025, baru-baru ini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1980, siri Goodyear Eagle F1 telah menjadi produk sinonim dengan inovasi yang diinspirasikan daripada sukan permotoran.

Turut dinobatkan sebagai Tayar Rasmi TASKL 2025, Goodyear Malaysia percaya produk tayar Eagle Asymmetric 6 SUV terbaharu ini dapat memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan.

Eagle F1 Asymmetric SUV menawarkan empat teknologi utama iaitu:

  • Wet Braking Pro – pengendalian dan brek di jalan basah yang lebih baik
  • Dry Contact Plus – prestasi cemerlang di atas jalan kering
  • Quiet Performance – corak bunga yang mampu menjadikan pemanduan lebih senyap
  • Duraguard – menjadikan binaan tayar yang lebih kukuh daripada sebarang bahaya jalan raya yang tidak diduga

Tayar Goodyear Eagle F1 Asymmetric boleh didapati dalam pilihan saiz 17 inci hingga 21 inci, dengan harga jualan bermula serendah RM509.

Sementara Eagle F1 Asymmetric 6 SUV pula tersedia dalam pilihan saiz 18 hingga 20 inci, dengan harga bermula serendah RM793. Produk ini turut sesuai digunakan pada kenderaan elektrik (EV).

Goodyear Malaysia turut mengumumkan promosi istimewa di mana setiap pembelian tayar terpilih Goodyear saiz 17 inci dan ke atas akan mendapat kredit e-wallet Touch ’n Go sehingga RM200, sah sehingga 31 Ogos 2025.

 

Yadea Velax 2025 rasmi di Malaysia – harga RM4,699 selepas rebat MARiiCas

Yadea Malaysia mengumumkan penawaran skuter elektrik baharu Velax 2025 bersempena dengan pembukaan Mforce SmartShop yang ke-17 di Johor, tempoh hari.

Dijual pada harga asas RM7,099, skuter elektrik ini turut layak mendapat rebat RM2,400 di bawah program MARiiCas.

Ini bermakna, rakyat Malaysia boleh mendapatkan Velax pada harga serendah RM4,699 selepas rebat.

Dari segi kuasa, ia mendapat motor elektrik 2.68 hp (kuasa maksimum 4.3 hp) dan daya kilas 172 Nm, kelajuan maksimum sehingga 62 km/j dan dua mod tunggangan yang boleh dipilih, iaitu S (Sport) dan E (Eco).

Pek bateri LFP 72V 30Ah menawarkan jarak tunggangan sejauh 105 km untuk sekali cas penuh, selain memerlukan masa hanya enam jam dari 0-80 peratus.

Yadea Velax turut dilengkapi dengan penarafan kalis air IPX7 yang membolehkannya kekal beroperasi walaupun berada di dalam air sedalam 1 meter selama 30 minit.

Ciri lain termasuklah sistem brek cakera CBS depan dan belakang, fork teleskopik hadapan, penyerap hentak berkembar di belakang, rim 14 inci, dan fungsi gear undur.

Selain itu, terdapat juga sistem pencahayaan LED, lampu kecemasan, suis keselamatan tongkat sisi, ruang penyimpanan hadapan dan bawah pelana, paparan meter digital, serta sokongan sambungan kepada aplikasi mudah alih.

Berat keseluruhan dengan muatan bateri adalah sekitar 110 kg, sementara tinggi pelana pula 760 mm yang sesuai untuk pelbagai fizikal penunggang.

Datuk Remy Ishak dilantik Duta Jenama GAC Malaysia

GAC Malaysia mengalu-alukan pelakon dan personaliti terkenal Datuk Remy Ishak sebagai duta jenama terbaharunya.

Datuk Remy Ishak akan menyertai duta sedia ada Jack Lim untuk terus mewakili jenama GAC sebagai sebahagian daripada persiapan untuk menyambut kehadiran dua model baharu, iaitu GAC Emkoo dan GAC M8 PHEV.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng berkata, “sepanjang perjalanan permulaan GAC Malaysia, Jack Lim telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan jenama ini kepada khalayak baharu.

“Bermula dari mempromosi, menjual dan berkongsi pengalaman dengan GAC GS3 Emzoom, Jack telah menjadi lebih dari sekadar seorang duta, beliau telah menjadi seorang penyokong sejati.

“Kami kini teruja untuk mengalu-alukan Datuk Remy Ishak ke dalam keluarga GAC. Remy membawakan gabungan unik karisma, profesionalisme dan pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

GAC Malaysia turut mengumumkan kempen pra-jualan yang berlangsung untuk dua model baharunya.

GAC Emkoo merupakan sebuah SUV segmen C, dan model kedua yang dipasang secara CKD oleh GAC selepas model GS3 Emzoom.

Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan 270 Nm @ 1,400-5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

Terdapat dua varian yang bakal ditawarkan, iaitu Premium dengan harga anggaran dari RM120,000, serta Premium Pro bermula dari RM130,000.

Kumpulan pertama pemilik GAC Emkoo akan menerima unit masing-masing menjelang akhir September 2025, atau mungkin lebih awal.

Model kedua yang bakal dilancarkan oleh GAC Malaysia ialah MPV mewah GAC M8 PHEV.

Diimport sepenuhnya dari China, M8 PHEV dikuasakan oleh nadi 2.0 liter turbo (190 PS/300 Nm) yang dipadankan dengan transmisi hibrid dua-kelajuan, motor elektrik 182 PS/300 Nm dan pek bateri 25.57 kWh.
Secara keseluruhan, MPV ini mampu menjana kuasa setinggi 373 PS dan 630 Nm, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

Untuk setangki penuh minyak, GAC M8 PHEV mampu menawarkan jarak gerak sejauh 1,038 km.

Terdapat dua varian, iaitu M8 Premium dengan harga anggaran RM333,000, dan varian M8 Luxury berharga RM380,000.

 

QJMotor SRK250S rasmi di Malaysia – harga dari RM9,888

QJMotor Malaysia melancarkan sebuah lagi model baharu, QJMotor SRK250S bersempena dengan upacara pembukaan Mforce SmartShop Tat Kang Motor Sdn Bhd.

Motosikal sport naked tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 27.5 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 7,250 rpm.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan, klac basah berbilang plat dan sistem pacuan akhir rantai.

Suspensi jentera ini terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik, diikuti dengan penyerap hentak gegelung tunggal boleh laras serta redaman minyak di bahagian belakang.

Sistem brek pula menggunakan rotor bersaiz 300 mm di depan, dibantu dengan rotor bersaiz 240 mm dan sistem ABS dua saluran.

Ciri lain yang dimuatkan termasuklah sistem pencahayaan LED, lampu isyarat kecemasan, serta slot pengecasan USB Type-A.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan digital yang turut menyokong sambungan Bluetooth kepada peranti pintar.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 12.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 780 mm.

Terdapat dua pilihan warna iaitu hitam dan kelabu.

Untuk pasaran Malaysia, QJMotor SRK250S ini dijual pada harga bermula dari RM9,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Pusat 3S Lexus Subang Jaya rasmi dibuka

Lexus Malaysia secara rasmi melancarkan pembukaan Pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) Lexus Subang Jaya yang terletak di SS16.

Cawangan baharu ini dilihat amat strategik untuk memberikan perkhidmatan kepada pelbagai demografi pengguna, dan terletak bersebelahan dengan Pusat 3S Toyota Subang Jaya yang dikendalikan oleh PCM Motor.

Selain menawarkan perkhidmatan jualan, Pusat 3S Lexus Subang Jaya ini turut menyediakan kemudahan servis yang dilengkapi dengan perkakasan diagnostik terkini dan dikendalikan oleh juruteknik yang diperakui oleh Lexus.

Ia turut menampilkan ciri-ciri cekap tenaga seperti sistem pencahayaan LED dan penggunaan bahan yang lebih mesra alam, meneguhkan sokongan berterusan jenama ini ke arah masa depan yang lebih lestari.

Menurut Khoo Seng Kiong selaku Ketua Pegawai Operasi PCM Group, “Lexus Subang Jaya adalah komitmen berterusan kami untuk membawa kemewahan, inovasi dan perkhidmatan luar biasa kepada pelanggan kami.

“Kami melihat ini lebih daripada sekadar kemudahan baharu, ia adalah pelaburan dalam komuniti yang sedang berkembang dan langkah maju dalam memberikan pengalaman Lexus dengan kemudahan dan perhatian yang lebih tinggi.

Lima perkara anda perlu tahu pasal Proton e.MAS 5

Inilah dia SUV elektrik kedua yang bakal dilancarkan oleh Proton dalam tempoh beberapa bulan akan datang, iaitu Proton e.MAS 5.

Model ini pertama kali dipertontonkan pada acara Malaysia Autoshow 2025 pada bulan Mei yang lalu.

Apabila dilancarkan kelak, Proton e.MAS 5 bakal memberikan cabaran kepada model pesaing di dalam SUV segmen B, seperti BYD Atto 2, serta sebuah lagi SUV elektrik buatan Perodua.

Berikut merupakan lima perkara yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

Sebagai sebuah SUV segmen B, e.MAS 5 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,580 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.

Jarak kelegaan tanah pula adalah setinggi 160 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 375 liter dan boleh mencapai sehingga 1,320 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Terdapat ruang kargo hadapan sebesar 70 liter disediakan.

 

2. Bateri

Ada dua varian utama yang bakal ditawarkan kepada pengguna kelak.

e.MAS 5 varian Premium dilengkapi dengan pek bateri LFP CATL berkapasiti 40.16 kWh, menawarkan jarak pandu sejauh 325 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Bateri tersebut menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC 71 kW di mana pengecasan 30-80 peratus boleh dicapai dalam masa 21 minit sahaja.

Difahamkan, terdapat varian Prime yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 30.12 kWh dan jarak pandu sejauh 250 km (data WLTP), atau 310 km mengikut data CLTC.

 

3. Prestasi

Proton e.MAS 5 dibekalkan dengan unit pacuan 11-dalam-1 yang memacu roda belakang (RWD).

Ia menghasilkan kuasa setinggi 114 hp dan daya kilas 150 Nm.

Pecutan 0-50 km/j adalah sepantas 3.9 saat.

Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan, diikuti tetapan multi-link di belakang, serta sistem stereng elektrik.

 

4. Kelengkapan

Di bahagian luar, Proton e.MAS 5 dilengkapi dengan unit lampu LED, rim bersaiz 16 inci aerodinamik, skema warna dua tona dengan bumbung hitam, serta pemegang pintu tertanam kemas.

Antara kelengkapan ruang kabin e.MAS 5 termasuklah roda stereng dua jejari (kemasan dua tona), tuil penukaran gear di tengah, skrin digital 8.8 inci, serta tempat duduk balutan kulit palsu.

Skrin utama adalah sebesar 14.6 inci dengan sistem operasi ATLAS Auto, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, sistem pemetaan dengan lokasi jaringan pengecasan terbina serta sokongan arahan suara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

 

5. Keselamatan

Proton e.MAS 5 hadir dengan enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), kamera 360 darjah, penderia parkir belakang serta fungsi ADAS seperti berikut:

– Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
– Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
– Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
– Amaran Keluar Lorong (LDW)
– Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
– Peringatan Pergerakan Kenderaan Hadapan (FVD)
– Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
– Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
– Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
– Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
– Amaran Bukaan Pintu (DOW)

Buat masa ini, pihak Proton masih lagi merahsiakan harga jualan sebenar e.MAS 5.

Proton, RCM turun padang bersihkan Pantai Morib

Proton bekerjasama dengan Reef Check Malaysia (RCM) dengan mengadakan kempen pembersihan Pantai Morib sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Usaha ini menandakan tahun kedua berturut-turut Proton kembali ke kawasan pesisir pantai yang terkenal dengan ekosistem marin dan bakau yang berharga.

Kempen terbaharu ini mengumpulkan seramai 157 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan Proton, vendor, pengedar dan pihak bank.

Fokus utama tertumpu kepada kawasan tumpuan pengunjung di mana sebanyak 468.27 kg sisa buangan telah berjaya dikumpulkan termasuklah tin/logam, plastik dan kaca

Aktiviti pembersihan turut menyingkirkan sisa penyedut minuman plastik dan puntung rokok yang memberikan kesan ketara kepada keindahan semula jadi pantai.

Selain meningkatkan kualiti pantai yang lebih baik, aktiviti ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan pesisir pantai serta peranan ekosistem bakau dalam pemuliharaan alam sekitar.

Ia juga dapat memberikan pendedahan kepada para peserta tentang tindakan peribadi yang boleh diambil untuk mengurangkan sisa buangan.

Ainol Azmil selaku Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “usaha kerjasama di Pantai Morib ini benar-benar mencerminkan semangat Proton.

“Dengan mengambil bahagian dalam kerja komuniti, kami bukan sahaja menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama dan tanggungjawab kami. Pada saat-saat seperti inilah nilai-nilai teras kami — Teamwork, Achiever, Respect, dan Integrity (TARI) menjadi nyata.”

Lexus LBX Morizo RR Original Edition – 100 unit sahaja khusus untuk pasaran Jepun

Lexus LBX merupakan antara produk mewah yang cukup unik – ia bukannya direka untuk memenuhi keperluan praktikaliti suri rumah.

Sebaliknya, ia direka sebagai ‘sepasang kasut kegemaran’ yang sangat sesuai untuk mereka yang mahu menikmati keseronokan pemanduan di hujung minggu.

Jika versi hibrid biasa pun sudah cukup mengujakan, mereka yang lebih berkemampuan pastinya mahukan ekstra – Lexus LBX Morizo RR yang dilengkapi dengan nadi 300 hp daripada GR Yaris.

Hasilnya, sebuah crossover yang cukup lincah, pantas dan bertenaga, apatah lagi bila dapat versi transmisi manual.

Tidak cukup dengan itu, Lexus kini memperkenalkan LBX Morizo RR Original Edition yang lebih mirip kepada spesifikasi model konsep LBX Morizo yang muncul pada Januari 2024.

Bahagian luar jentera ini dihiasi dengan kemasan cat Sonic Chrome, diikuti dengan warna kuning Morizo pada angkup brek serta kemasan pada bahagian atas jeriji.

Untuk ruang kabin pula terdapat tali pinggang keledar berwarna kuning, diikuti dengan kemasan Ochre yang sama digunakan pada Lexus LC 500.

Lexus LBX Morizo RR boleh didapati dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan, atau kotak gear automatik lapan-kelajuan – sama seperti GR Yaris dan GR Corolla.

Di Jepun, Lexus mengehadkan jualan model LBX Morizo RR Original Edition ini kepada 100 orang pembeli sahaja.

ASTRA keluaran Bateriku terima pensijilan SIRIM

Bateriku (M) Sdn Bhd mencatatkan satu pencapaian penting menerusi pelancaran rasmi produk bateri automotif ASTRA yang diiktiraf oleh SIRIM bagi kesemua 28 SKU produknya.

Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, bateri ASTRA telah terjual lebih satu juta unit hasil daripada kekuatan ekosistem Bateriku merangkumi 225 pitstop fizikal.

Selain itu, Bateriku disokong lebih 1,500 juruteknik gig bergerak yang dilatih oleh Akademi Bateriku.

Pengiktirafan SIRIM melalui pensijilan IEC 60095 memenuhi standard antarabangsa dari segi piawaian keselaman dan kualiti.

Ini sekaligus meletakkan ASTRA sebagai satu-satunya jenama bateri automotif yang mendapat pensijilan untuk semua 28 SKU produk termasuklah bateri MF, bateri EFB dan bateri AGM.

 

Menariknya, Bateriku turut menawarkan Perlindungan Kumpulan Insurans Takaful Kemalangan Diri (GPA) percuma sehingga RM7,000 bagi setiap pembelian bateri ASTRA- inisiatif pertama dalam industri bateri Malaysia.

Pengguna akan menikmati perkhidmatan jaminan nasional termasuk bantuan lokasi di mana sahaja di Malaysia.

Dalam majlis yang sama, Bateriku turut melancarkan Makmal Kualiti, iaitu fasiliti khas untuk pengujian prestasi, ketahanan dan keselamatan setiap bateri yang dibekalkan.

Penubuhan Makmal Kualiti Bateriku di bawah Makmal Hijau Sdn Bhd bakal memperkukuhkan kawalan mutu dalaman serta memastikan setiap bateri ASTRA menepati piawaian standard kualiti yang telah ditetapkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Tuan Haji Azarol Faizi bin Zakaria Ansari berkata, “ASTRA bukan sekadar bateri – ia adalah janji terhadap kualiti, sokongan selepas jualan dan ketenangan fikiran untuk setiap pengguna di Malaysia.

“Astra merupakan bateri pilihan mekanik kerana mereka tidak perlu lagi melayan tuntutan jaminan pelanggan mereka.

‘
“Pelanggan bengkel boleh pergi ke mana-mana 225 Pitstop Bateriku di seluruh negara atau dengan menghubungi talian Hotline 24 jam Bateriku.

Malaysia pasaran no. 1 MG Cyberster di Asia & Oceania

Tahukah anda, Malaysia merupakan pasaran nombor satu bagi model MG Cyberster bagi rantau Asia dan Oceania.

Prestasi membanggakan tersebut diumumkan oleh MG Motor Malaysia, menandakan kejayaan luar biasa sejak pelancaran rasminya pada Disember 2024 dengan lebih 90 tempahan telah diterima.

MG Cyberster merupakan sebuah roadster berkuasa elektrik yang boleh didapati dalam dua varian utama.

Ketika ia dilancarkan secara rasmi, MG Cyberster hadir dalam varian AWD dengan dua motor elektrik berkuasa 503 PS dan 725 Nm, dan kemampuan bergerak sejauh 446 km untuk sekali cas penuh.

Varian RWD pula diperkenalkan pada bulan lepas, membawakan tetapan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 340 PS dan 475 Nm, dan mampu mencecah jarak 508 km dengan pek bateri 77 kWh yang sama.

Harga jualan bermula dari RM299,900 untuk varian RWD, dan RM319,900 untuk varian AWD.

MG Motor Malaysia akan menganjurkan siri acara pandu uji eksklusif di lokasi terpilih di seluruh negara:
• MG Motor Plentong (6-7 Ogos)
• MG Motor Muar (9-10 Ogos)
• MG Motor Seri Kembangan (9-10 Ogos)
• MG Motor Juru (13-14 Ogos)
• MG Motor Klang (16-17 Ogos)
• MG Motor Bandar Rimbayu (23-24 Ogos)
• MG Motor Tebrau (30-31 Ogos)
• MG Motor Ipoh (20-21 September)
• MG Motor Damansara (27-28 September)
• MG Motor Skudai (4-5 Oktober)

Pelanggan yang membuat tempahan semaca acara ini akan menerima pakej istimewa termasuk pengecasan tanpa had setahun percuma (JomCharge), pengecas dinding AC 7kW, model diecast MG Cyberster dan hadiah eksklusif lain.

Vios Challenge: Pusingan ketiga hujung minggu ini akan jadi penentu

Pusingan ketiga Vios Challenge akan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) pada 8-10 Ogos ini.

Berlangsung serentak dengan Malaysian Touring Car Championship 2025, perlumbaan ini akan menjadi penentu keputusan akhir Vios Challenge merentas tiga kategori, iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie.

Setakat ini, kedudukan mata keseluruhan kekal rapat antara satu sama lain untuk tiga pelumba teratas di setiap kelas.

Kelas Super Sporting bakal menyaksikan persaingan sengit antara bekas juara 2023, Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan) di tangga pertama (83 mata) dengan Freddie Ang (Telagamas Toyota) dengan 81 mata dan Ady Rahimy (Laser Motor Racing) dengan 72 mata.

Dalam kategori Sporting, Jwan Hii (Hong Kuat X Armada KK Racing) berada di kedudukan selesa dengan 85 mata mendahului Elson Lew (BAE Racing) dengan jumlah mata 76 mata dan Varunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC) dengan 62 mata.

Kelas Rookie pula memperlihatkan persaingan sengit antara Aydan Khaliq dan Rahul Dev masing-masing berada di tangga teratas dengan kutipan 94 dan 93 mata.

Tempat ketiga disandang oleh Harkiesh Geeva dengan 72 mata, diikuti Ian James (71 mata) dan satu-satunya pelumba wanita dalam kategori tersebut, Genevieve Ooi dengan 66 mata.

Sama seperti pusingan kedua, ketiga-tiga kelas perlumbaan Vios Challenge akan disatukan dalam satu perlumbaan semi-endurans selama satu-jam mengelilingi litar penuh sepanjang 5.543 km.

Kapal pengangkut BYD tiba di Pelabuhan Klang, kapasiti 7,000 unit

Sebuah kapal pengangkut BYD Zhengzhou tiba di Pelabuhan Klang pada 5 Ogos yang lepas.

Kapal roll-on/roll-off (RORO) tersebut mempunyai kapasiti sehingga 7,000 unit kenderaan, dan telah memulakan pelayaran sulungnya menuju ke destinasi di Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia dan Singapura.

Selepas Pelabuhan Klang, kapal tersebut meneruskan perjalanan ke hentian terakhir di Thailand sebelum kembali semula ke China.

BYD Zhengzhou merupakan kapal ketujuh dalam armada kapal pengangkut khas milik BYD, membuktikan keupayaan rantaian bekalan dan logistik syarikat yang kukuh dalam usaha memenuhi permintaan terhadap EV yang semakin meningkat.

Kenderaan yang siap dipasang akan dipandu masuk dan keluar dari kapal, menawarkan manfaat dari segi masa dan kos berbanding penghantaran menggunakan kontena secara tradisional.

Dengan mengendalikan armada penghantarannya sendiri, BYD mempunyai kawalan yang lebih besar terhadap aspek penting dalam rantaian bekalan EV.

Menurut Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata, “kapal pengangkut ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi global BYD dan mengukuhkan lagi hubungan kami dengan Malaysia, yang kamilihat sebagai pasaran utama bagi pertumbuhan kami di Asia Pasifik.

“BYD Zhengzhou membolehkan penghantaran yang lebih pantas dan boleh dipercayai terus kepada pelanggan kami di sini.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara berkata, “Dengan pengkukuhan rantaian bekalan serantau melalui kapal pengangkut BYD, kami dapat menjamin masa penghantaran yang lebih singkat, sekaligus mempertingkatkan keupayaan kami untuk memberikan kepuasan pelanggan yang lebih baik.”

BYD Malaysia dan Sime Motors terus memperkukuh kerjasama mereka untuk menyediakan EV kepada rakyat Malaysia dengan lebih pantas dan boleh dipercayai.

Inisiatif ini disokong oleh lebih 35 pusat jualan BYD di seluruh negara, dengan sasaran untuk mencapai 60 pusat jualan menjelang akhir tahun 2026.

MG Malaysia adakan pameran sulung di Johor Bahru 6-10 Ogos ini

MG Motor Malaysia akan mengadakan pameran sulungnya di wilayah selatan bermula 6 hingga 10 Ogos ini bertempat di Mid Valley Southkey, Johor Bahru.

Pameran “Dare to Love” ini akan membariskan model-model MG terkini termasuklah MG5, SUV elektrik MG S5 EV, serta roadster elektrik MG Cyberster.

Pengunjung juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan model MG5, MG4, MG HS, MG S5 EV serba baharu serta MG Cyberster.

Pelanggan yang membuat tempahan bagi model MG Cyberster sepanjang acara berlangsung akan menerima pakej pengecasan tanpa had setahun menerusi JomCharge lengkap dengan fungsi AutoCharge, pengecas dinding AC 7 kW percuma, serta model diecast MG Cyberster edisi eksklusif.

Berikut merupakan senarai harga istimewa yang ditawarkan oleh MG Motor Malaysia:
MG S5 EV varian Com – RM109,900
MG S5 EV varian Com Long Range – RM119,900
MG5 – rebat sehingga RM7,000
MG4 – ansuran bulanan serendah RM974

Proton umum Jelajah MISI 5 untuk promosi EV e.MAS 5 di seluruh negara

Proton New Energy Technology (Pro-NET) mengumumkan jelajah MISI 5 ke seluruh negara bermula Ogos hingga Oktober 2025.

Jelajah MISI 5 ini bertujuan untuk memperkenalkan model kedua EV Proton e.MAS 5 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Berikut merupakan senarai lokasi yang telah dijadualkan bermula 9 Ogos hingga 17 Ogos di sekitar Lembah Klang:

• 9 Ogos: SG Car (Shah Alam), Wheelcorp (Setia Alam), EON (Glenmarie) dan AJG (Puchong)
• 10 Ogos: AJG (Sri Kembangan), Jawira (Balakong), ProAuto (Kajang) dan Jewel Sonic (Putrajaya)
• 16 Ogos: Able Mobility (Cheras), MBF EV (Jalan Tun Razak), Cahaya (Segambut) dan Igreen (Setapak)
• 17 Ogos: Pantai Bharu (Rawang), EON (Damansara), Regal Motor (Petaling Jaya) dan Peringgit (Jalan Klang Lama)

Kemudian, Jelajah MISI 5 akan menghala ke Utara pada 21-25 Ogos, diikuti Pantai Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan) pada 4-8 September, Johor (13-15 September), Negeri Sembilan dan Melaka (20-21 September), Sarawak (25-28 September) dan akhir sekali Sabah (3-5 Oktober).

Menerusi jelajah ini, orang ramai berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat e.MAS 5, selain mempelajari bagaimana EV kedua Proton ini boleh disesuaikan dengan gaya hidup rakyat Malaysia.