Volvo Car Malaysia membuka pendaftaran minat bagi model sedan elektrik Volvo ES90 yang bakal dilancarkan pada bulan ini.
Sedan tersebut bakal ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) menyertai barisan model CKD Volvo sedia ada di Malaysia.
Menurut Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw berkata, “tahun ini amat bermakna buat kami kerana Volvo menyambut ulang tahun ke-60 di Malaysia.
“Lebih istimewa, pencapaian ini diraikan dengan Volvo ES90 CKD, sedan elektrik penuh pertama kami.”
Volvo ES90 berkongsi platform SPA2 (Scalable Product Architecture) yang sama dengan Volvo EX90, menampilkan ciri-ciri berikut:
senibina elektrik 800V
pengecasan pantas DC sehingga 350 kW (10-80 peratus SoC dalam 22 minit)
Volvo Car Malaysia turut mengumumkan insentif awal sebanyak 2 peratus bagi setiap pembelian ES90, terhad kepada 100 unit pertama yang ditempah sehingga 31 Mac 2026.
Lampu pop-up (ataupun lampu yang boleh disorokkan) merupakan antara ciri yang mampu membuatkan sesebuah kereta era 80-an dan 90-an nampak cool di atas jalan raya.
Namun disebabkan undang-undang keselamatan yang lebih ketat, kereta yang dilengkapi dengan lampu jenis itu akhirnya beransur-ansur lenyap dari pasaran.
Untuk mereka yang rindu dengan ciri tersebut, syarikat Jepun ini ada jawapannya.
Kit badan Neo86 mengubah muka hadapan Toyota GT86 dengan bampar bersegi gaya retro, hud enjin yang lebih ringkas dan paling penting: lampu pop-up yang berfungsi sepenuhnya!
Selain itu, terdapat juga lampu isyarat membelok berasingan, serta lampu kabus kuning yang menjadi aksesori wajib untuk kereta AE86 kedai tofu.
Melengkapkan lagi imej retro GT86 ini ialah padanan fender lebar, spoiler ekor itik, lampu belakang LED aftermarket, serta rim hitam Watanabe.
Kit Neo86 ini akan dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026, dan dalam masa yang sama sesi pra-tempahan akan dibuka.
Berita baik, pihak Result Japan akan turut menawarkan kit Neo86 ini bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah ia akan turut diperluaskan ke serata dunia.
UMW Toyota Motor (UMWT) menutup tirai tahun 2025 dengan merekodkan jualan 14,284 unit sepanjang bulan Disember.
Ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan tahunannya mencapai 102,417 unit, sekaligus menandakan empat tahun berturut-turut Toyota melepasi paras 100,000 unit.
Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Toyota sebagai jenama automotif bukan nasional pertama dan satu‑satunya di Malaysia yang berjaya melepasi jualan 100,000 unit selama empat tahun berturut‑turut — satu rekod yang belum pernah dicapai mana‑mana jenama bukan nasional sebelum ini.
Biarpun pasaran automotif tempatan semakin sengit dengan kemasukan jenama baharu dan peralihan ke arah mobiliti elektrik, prestasi cemerlang UMWT ini mencerminkan kepercayaan serta kesetiaan pelanggan Malaysia terhadap jenama Toyota.
Kejayaan ini diperkukuh dengan pendekatan berbilang jalan (Multi-Pathway) yang mengiktiraf keperluan mobiliti berbeza berdasarkan komuniti, corak penggunaan, dan tahap kesediaan infrastruktur.
Dengan gabungan enjin pembakaran dalaman cekap, teknologi hibrid, serta mobiliti masa depan, Toyota komited terhadap misi “Mobility for All” — memastikan kemajuan yang inklusif mengikut realiti pasaran tempatan.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Melepasi jualan 100,000 unit selama empat tahun berturut‑turut merupakan pencapaian bermakna dan satu penghargaan kepada kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Toyota. Dalam pasaran yang sentiasa berubah, prestasi ini membuktikan kekuatan strategi jangka panjang kami, pelaburan dalam keupayaan tempatan, serta pemahaman mendalam tentang cara rakyat Malaysia menggunakan kenderaan mereka.
“Berpandukan falsafah ‘Best in Town’ dan prinsip ‘Customer First’, kami kekal komited menyediakan penyelesaian mobiliti yang praktikal, inklusif dan boleh diharap — bukan sahaja hari ini, tetapi untuk generasi seterusnya.”
Dalam pada itu, UMWT telah memperkenalkan Toyota Extend Plan bermula 1 Disember 2025 membolehkan pelanggan yang layak melanjutkan tempoh jaminan asal lima-tahun kepada lapan-tahun, bergantung kepada model (Vios, Yaris, Corolla dan Corolla Cross) serta pakej yang dipilih (Asas atau Premium).
Mforce Bike Holdings memperkenalkan satu lagi jenama motosikal baharu untuk pasaran tempatan, iaitu EZI.
Untuk makluman, EZI merupakan sebuah jenama skuter elektrik dibawah Kumpulan Keeway.
Model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah EZI TS1, ditawarkan pada harga RM4,288 (atas jalan tidak termasuk pendaftaran dan insurans).
Dari segi spesifikasi, EZI TS1 menawarkan motor elektrik yang dipasang pada hab roda, menghasilkan kuasa 2.68 hp yang digandingkan dengan bateri Graphene 72V 32Ah.
EZI TS1 mengambil masa kira-kira 8 jam 30 minit untuk pengecasan penuh 0-100 peratus SoC.
Ia mampu bergerak sejauh 100 km (tunggangan 25 km/j), dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 65 km/j.
TS1 turut dilengkapi dengan sistem brek gabungan (CBS), rim 12 inci, skrin paparan meter LED tujuh inci, sistem pencahayaan LED, sistem tanpa kunci NFC, dan port pengecasan USB Type-A.
Terdapat tiga mod tunggangan disediakan, diikuti dengan fungsi Auto Cruise, Walk Assist Function, serta suis keselamatan topang sisi.
TS1 menawarkan pelana setinggi 755 mm, berat bersih sekitar 82 kg (tanpa bateri), serta beberapa ruang storan tersedia termasuklah di bawah tempat duduk.
Bersempena dengan tahun baru, SYM Malaysia mengumumkan empat warna baharu untuk skuter SYM Husky 150 SE.
Empat warna yang dimaksudkan itu ialah Indigo Blue, White, Matt Grey dan Glossy Green.
Skuter ini boleh didapati di semuap pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia pada harga RM10,598 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
SYM Husky 150 SE dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 14.5 Nm @ 6,000 rpm dengan padanan transmisi CVT.
Antara ciri yang ada pada Husky 150 SE ialah:
fork teleskopik depan/penyerap hentak tunggal belakang
Permainan mudah alih paling popular di dunia PUBG Mobile mengumumkan kerjasama global akan datang bersama Scuderia Ferrari HP.
Kerjasama ini bakal membawa prestasi ikonik Ferrari ke dalam PUBG MOBILE pada tahun 2026, sekali gus menandakan kemunculan sulung legasi jenama tersebut dalam permainan.
Kerjasama sulung ini akan memperkenalkan rangkaian kandungan eksklusif bertemakan Ferrari dan Scuderia Ferrari HP ke dalam PUBG MOBILE.
“Kami berbangga untuk mengumumkan kerjasama pertama PUBG MOBILE bersama Scuderia Ferrari HP,” kata Vincent Wang, Ketua Penerbitan PUBG MOBILE di Tencent Games.
“Kerjasama ini membawa ketepatan serta semangat berprestasi tinggi yang menjadi identiti Ferrari ke dalam PUBG MOBILE, sekali gus memberi peluang kepada pemain di seluruh dunia untuk merasai intipati kecemerlangan dalam permainan pada tahun 2026.”
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PUBG MOBILE dalam kolaborasi yang menyatukan dua jenama yang didorong oleh prestasi, inovasi dan sikap tidak pernah berpuas hati,” kata Lorenzo Giorgetti, Ketua Hasil Perlumbaan di Ferrari.
“Menerusi kerjasama ini, pemain dapat merasai dedikasi Ferrari terhadap keunggulan kejuruteraan dalam persekitaran yang sepenuhnya baharu dan interaktif.”
Maklumat lanjut mengenai kerjasama PUBG MOBILE bersama Ferrari dan pasukan Formula 1 Scuderia Ferrari HP akan diumumkan tidak lama lagi, jadi nantikan perkembangan seterusnya.
Malaysia kini mempunyai sebuah lagi jenama motosikal baharu, iaitu AFAZ yang merupakan kerjasama antara pihak AFY Mobility Industries dan Suzuki.
Model pertama yang dilancarkan untuk tahun ini ialah AFAZ Kencana Sport 115, sebuah kapcai bersesaran 115 cc dengan harga jualan RM5,799.
Ia hadir dengan enjin silinder tunggal SOHC piawaian Euro4 yang mampu menjana kuasa setinggi 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 9.0 Nm @ 6,500 rpm yang dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan.
Enjin itu tadi turut mendapat sistem sejukan minyak Suzuki (SOCS).
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik depan diikuti penyerap hentak berkembar KYB di belakang.
Brek pula menggunakan rotor tunggal bersaiz 220 mm di depan, dibantu dengan brek gelendong di belakang.
Antara ciri yang tersedia termasuklah unit lampu LED depan belakang, paparan meter analog yang mudah untuk dibaca, tangki bahan api sebesar 4.2 liter dan tinggi pelana 760 mm.
Dua warna menarik ditawarkan iaitu Delima Red dan Laguna Blue.
Undian bagi Malaysia Car of the Year 2025 kini telah dibuka, dan penganjur mengumumkan bahawa semua pengundi secara automatik layak menyertai cabutan bertuah untuk memenangi jemputan eksklusif ke Malaysia Car of the Year Awards Gala Dinner 2026 yang akan berlangsung pada 22 Januari 2026 di Dewan Perdana, Menara MITI.
Dua pemenang bertuah akan dipilih melalui cabutan rasmi dan akan menerima jemputan yang tidak dijual kepada umum. Jemputan rasmi akan dihantar melalui e‑mel selewat‑lewatnya pada 15 Januari 2026.
Untuk makluman, acara berprestij ini merupakan malam kemuncak industri automotif negara, menghimpunkan pemimpin industri, inovator, wakil media dan tetamu kehormat bagi meraikan kecemerlangan dalam kejuruteraan, reka bentuk dan inovasi automotif.
Majlis gala ini turut menampilkan ketibaan karpet merah, majlis penganugerahan Malaysia Car of the Year, serta sesi rangkaian eksklusif bersama tokoh utama industri.
Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM) memulakan operasinya di Malaysia dengan mengumumkan penstrukturan semula harga bagi portfolio produk sedia ada.
Berkuat kuasa 1 Januari 2026, rakyat Malaysia boleh mendapatkan model Kia pada harga baharu seperti berikut:
Kia Sportage
2.0G 2WD – RM128,800
2.0G 2WD Hi – RM138,800
1.6T 2WD Hi – RM158,800
1.6T 4WD Hi – RM178,800
Kia Carnival
2.2D 8-Seater – RM193,000
2.2D 7-Seater – RM218,000
Kia EV9
GT-Line AWD 7-Seater – RM368,888
GT-Line AWD 6-Seater – RM373,888
Kesemua kenderaan baharu Kia di Malaysia dilindungi jaminan sah selama lima tahun atau had perbatuan 150,000 km yang mana tiba dahulu.
Untuk meningkatkan keyakinan pemilik, KSM turut melaksanakan perkara berikut:
mengurangkan harga purata alat ganti tulen Kia sebanyak 15 peratus
mendirikan gudang alat ganti khusus di Shah Alam
Selain itu, KSM memperkenalkan program kesetiaan pelanggan Kia Circle yang menawarkan rebat tunai RM6,000 kepada pemilik Kia sedia ada untuk menaik taraf kepada kenderaan Kia baharu.
Program ini turut diperluas kepada ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa, pasangan dan anak-anak.
Terdapat juga program fleet korporat dan profesional Kia Professional yang menawarkan konsesi eksklusif sehingga 3 peratus kepada ahli badan profesional dan syarikat utama bagi pembelian kenderaan individu, serta insentif tersuai bagi pembelian armada yang lebih besar.
Sebagai pelengkap, KSM menawarkan perlindungan menyeluruh Kia Cares, sebuah program insurans yang dijamin oleh Berjaya Sompo, Zurich dan Zurich Takaful.
Ada beberapa projek kit badan baharu yang akan dipamerkan oleh pengeluar kit badan terkemuka DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 pada bulan ini.
Salah satu yang mencuri tumpuan kami ialah kit badan Renonator yang mampu mengubah minivan Honda Stepwgn menjadi sebuah van gaya Amerika.
Imej asli Stepwgn yang minimalis itu telah digantikan dengan muka depan yang lebih bergaya, dimulakan dengan menggantikan lampu utama kepada lampu halogen empat segi bertindih, serta lampu membelok yang diasingkan.
Struktur jeriji juga lebih besar, diikuti dengan penutup hud yang lebih rata dan struktur tambahan bampar depan yang sengaja tidak dicat.
Unsur retro pada Renonator ini dikuatkan lagi dengan kehadiran decal kayu pada bahagian sisi, rim cakera krom Dean Cross Country serta lampu posisi amber pada bahagian bumbung.
Keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan dengan tayar Toyo Tires Open Country A/T.
Menariknya, DAMD mendakwa kit ini boleh dipasang tanpa pengubahsuaian yang besar, dan masih mengekalkan emblem asal Honda yang lengkap dengan penderia ADAS.
Anda juga boleh melihat minivan gaya Amerika ini dengan lebih dekat di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 yang bakal berlangsung pada bulan ini.
Kei car kebiasaannya mempunyai rekaan yang lebih comel, sesuai dengan fizikalnya yang kecil.
Namun syarikat pengeluar kit badan terkemuka DAMD mempunyai idea untuk menjadikan penampilan kei car yang lebih agresif, lasak dan bergaya.
Seperti contoh, kit badan “Dali” (yang dipendekkan daripada Dakar Rally) berjaya mengubah rupa sebenar Mitsubishi Delica Mini yang comel menjadi sebuah jentera retro yang diinspirasikan daripada model Pajero era 80-an.
Jika anda perasan, lampu depan serba baharu itu lebih mirip kepada rekaan lampu yang wujud pada model Pajero generasi pertama.
Selain itu, ia turut hadir dengan struktur jeriji bersegi, lengkap dengan emblem asli Mitsubishi yang turut menempatkan pelbagai penderia ADAS disediakan.
Struktur bampar depan asal Delica Mini masih dikekalkan termasuklah perkataan “DELICA” dan liang pengudaraan asal, namun diperkemaskan dengan tambahan hiasan istimewa yang diakhiri dengan kemasan hitam berkilat.
Apa yang penting, segala penambahan tersebut tidak menjejaskan ukuran asal Delica Mini dan masih lagi mematuhi peraturan kei car yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun.
DAMD turut menawarkan set decal sisi kustom, rim aloi Cantabile 15 inci yang dibaluti tayar Toyo Tires Open Country R/T, serta tidak ketinggalan rak bumbung.
Aksesori untuk ruang kabin pula masih lagi dalam peringkat fasa pembangunan. Harga pakej lengkap juga akan diumumkan kelak.
Model ini akan dipamerkan secara rasmi di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 berlangsung pada bulan ini.
Anda masih rindu dengan Honda Jazz yang sudah tidak lagi ditawarkan di sini?
Untuk makluman, generasi keempat Honda Jazz (atau Fit) telah pun wujud di pasaran Eropah dan Jepun sejak tahun 2020 lagi.
Ia membawakan imej yang lebih comel, namun dengan ukuran dimensi yang lebih kecil jika dibandingkan dengan City Hatchback.
Setelah versi facelift diperkenalkan pada tahun 2022, Honda Fit dijangka akan menerima kemas kini facelift yang kedua untuk model tahun 2026.
Berdasarkan imej daripada laman Autohome, Fit facelift kini menampilkan muka depan yang mengingatkan kita pada model buatan Vinfast.
Selain daripada unit lampu utama terpisah, ia juga menampilkan strukrut jeriji yang lebih nipis serta liang kemasukan udara yang agak kecil.
Untuk bahagian belakang, rekaan lampu masih lagi dikekalkan, kecuali bahagian bampar yang mempunyai tambahan struktur seakan diffuser yang menjadikan dimensi Fit bertambah panjang.
Laman Autohome juga melaporkan Fit facelift akan mendapat skrin infohibur 10.1 inci yang lebih besar, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay, Huawei Hicar dan Carlife.
Honda Fit 2026 facelift ini dijangka kekal dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC menghasilkan 124 PS dan 145 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.
Generasi keenam minivan Nissan Serena (kod C28) telah pun berada di pasaran (kecuali Malaysia) sejak tahun 2022 lagi.
Ini bermakna, sudah tiga tahun berlalu dan tiba masanya untuk Nissan mengemas kini penawaran model tersebut, serentak dengan ulang tahun ke-35 Serena yang bakal disambut tahun depan.
Ada beberapa perubahan dibawakan pada Nissan Serena versi facelift ini:
Luaran
Berbanding model pra-facelift, Nissan Serena facelift menampilkan jeriji hadapan baharu dengan rekaan corak V yang tidak simetri, diikuti dengan padanan rim aloi baharu.
Tidak ketinggalan, tiga warna baharu ditawarkan iaitu Moonbow Blue, Aqua Mint dan Deep Ocean Blue.
Infohibur dikuasakan oleh Google
Buat pertama kalinya Serena ditawarkan dengan sistem infohibur NissanConnect yang dikuasakan oleh Google.
Sistem ini menyokong aplikasi Google Maps, Google Assistant dan juga kedai aplikasi Google Play Store.
Sebagai respons kepada permintaan pelanggan, Nissan turut menambah fungsi memori untuk ciri e-Pedal di mana sistem akan mengingati tetapan mod operasi yang telah dibuat sebelum kenderaan dimatikan.
Keselamatan
Aspek keselamatan turut ditambah baik, terutama pada sistem pemantauan keliling pintar (IAVM) dengan fungsi pemandangan 3D, pemandangan hadapan lebar dan pemandangan sisi berkembar ketika cermin sisi dilipat.
Nissan Serena turut menyertakan fungsi peringatan sekiranya pemandu terlupa untuk mengunci pintu, menutup lampu kecemasan, menutup tingkap atau memeriksa tempat duduk belakang.
Varian Autech Line lebih premium
Nissan turut menyediakan pilihan varian Autech Line yang menampilkan ciri berikut:
kemasan metalik pada perumah cermin sisi
rim aluminium 16 inci kemasan dark metallic silver
kemasan krom gelap pada jeriji depan
upholsteri Tailor Fit yang lebih lembut dan selesa
Varian Multi Box untuk peminat outdoor
Selain varian tujuh dan lapan tempat duduk, Nissan Serena juga boleh didapati dalam varian Multi Box.
Ia menampilkan susunan tempat duduk yang boleh memuatkan lima orang pada satu-satu masa, dan tempat duduk baris ketiga yang digantikan dengan kotak storan berkapasiti besar.
Kotak storan itu boleh digunakan sebagai ruang penyimpanan barang, bangku dan juga meja boleh lipat.
Ruang itu juga boleh dijadikan sebagai tempat tidur, di mana pengguna boleh membentangkan alas tilam yang diperbuat daripada bahan Cordura kalis air.
Pilihan enjin 2.0L NA atau 1.5L e-Power
Di Jepun, Nissan Serena hadir dengan pilihan enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi (NA) dengan kuasa 150 PS dan 200 Nm.
Terdapat juga pilihan nadi e-Power yang terdiri daripada enjin tiga silinder 1.5 liter bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk motor elektrik 163 PS dan 315 Nm.
Nissan Serena facelift dijual pada harga dari 2,856,700 yen (RM74,161).
The Serena has a 2-2-2 seat layout, with zero gravity-inspired seats fitted to the first and second rows (latter has ISOFIX child seat anchors).
Honda Motor merancang untuk memperkenalkan kei car N-Box versi elektrik (EV) sekitar tahun 2027 untuk bersaing dengan kei car buatan BYD, lapor Nikkei Asia.
Honda N-Box mula dilancarkan di Jepun pada tahun 2011, dan kini sudah tiga generasi terjual di pasaran negara matahari terbit.
Ia merupakan salah satu kenderaan yang paling laris terjual di sana untuk tiga tahun berturut-turut, di mana lebih 200,000 unit terjual pada tahun 2024.
Honda masih lagi belum memutuskan spesifikasi serta harga jualan untuk model N-Box versi EV.
Apa yang pasti, N-Box EV tidak akan menggantikan terus peranan N-Box versi enjin pembakaran dalaman (ICE).
Untuk makluman, Honda Jepun mempunyai sebuah produk kei car yang hampir serupa, iaitu N-Van e: untuk kegunaan komersial dan mula dijual sejak tahun 2024.
Ia membawakan spesifikasi motor elektrik tunggal dengan kuasa mencecah 64 PS dan 152 Nm, dan jarak gerak sejauh 245 km untuk sekali cas penuh (data WLTC).
Di Jepun, jualan EV baharu hanya merangkumi 2 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan sepanjang tahun 2024.
Daripada jumlah tersebut, lebih 40 peratus dikuasai oleh model kei car kembar Nissan Sakura EV dan Mitsubishi eK X EV.
Kedua-dua model EV tersebut berkongsi spesifikasi seperti motor elektrik 64 PS/195 Nm, bateri lithium-ion 20 kWh dan jarak pandu mencecah 180 km (data WLTC).
Nissan Sakura EV & Mitsubishi eK X EV
Selain Honda, Suzuki Motor juga turut merancang untuk memperkenalkan kei car EV menjelang tahun 2026.
BYD Racco merupakan kei car yang dibangunkan khas oleh BYD untuk pasaran Jepun.
Dipertontonkan buat kali pertama di Japan Mobility Show 2025, BYD Racco membawakan ciri-ciri berikut:
Dimensi 3,395 mm x 1,475 mm x 1,800 mm
Pintu gelangsar kiri dan kanan
Pek bateri LFP 20 kWh
Jarak pandu sejauh 180 km (data WLTC)
Kehadiran BYD Racco jelas membuktikan jenama besar China itu serius untuk menghasilkan sebuah produk yang mematuhi peraturan dimensi yang dikenakan untuk segmen kei car di sana.
Tahukah anda, generasi pertama minivan Honda Stepwgn diperkenalkan secara rasmi pada Mei 1996 dengan reka bentuk yang ringkas bertujuan untuk memaksimumkan praktikaliti.
Setelah lima generasi, generasi keenam Stepwgn akhirnya kembali mengguna pakai konfigurasi rekaan dua-kotak dengan rekaan yang lebih minimalis dan ruang kabin paling luas.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun Stepwgn yang ke-30 pada tahun depan, Honda Jepun mengumumkan model Stepwgn edisi istimewa yang boleh didapati dalam dua varian, iaitu AIR EX dan SPADA.
Kedua-dua varian AIR EX dan SPADA mendapat ciri seperti:
sistem kamera pelbagai pandangan
sistem sokongan keluar
lampu kabin LED
ciri pemanas tempat duduk baris kedua
bantuan suluhan adaptif
tag ulang tahun ke-30 Stepwgn
emblem ulang tahun ke-30
Perbezaan antara kedua-dua varian adalah seperti berikut:
AIR EX
upholsteri fabrik dengan warna lebih cerah
pilihan warna Fjord Mist Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Seabed Blue Pearl
harga dari 4,098,600 yen (RM106,678)
SPADA
upholsteri kulit
pilihan warna Twilight Mist Black Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Premium Crystal Garnet Metallic
harga dari 4,159,100 yen (RM108,253)
Dari segi kuasa, Honda Stepwgn 2026 ini dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang terdiri daripada enjin 2.0L i-VTEC (143 hp/175 Nm) dipadankan dengan dua motor elektrik (181 hp/315 Nm).
Kuasa keseluruhan mencecah 212 hp dan 315 Nm, dipadankan dengan transmisi e-CVT dan sistem pacuan roda depan.
Untuk info, Honda Stepwgn e:HEV sudah pun memasuki pasaran negara jiran Thailand dengan harga anggaran bermula dari 1.7 juta Baht (RM222 ribu).
Zeekr Intelligent Technology Malaysia mengumumkan pencapaian terbaharu di mana sebanyak 2,000 unit kenderaan elektrik telah diserahkan dalam tempoh setahun.
Sebanyak 50 unit Zeekr 7X telah diserahkan kepada pemilik masing-masing dalam satu acara yang berlangsung hujung minggu lalu.
Unit yang ke-2000 telah diserahkan kepada pemiliknya, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Menurut Eddy Lu selaku Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia berkata, “Untuk mencapai 2,000 orang pemilik dalam masa setahun bukanlah sesuatu yang mudah, dan ia mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Zeekr.
“Kami akan terus meningkatkan mutu jualan dan perkhidmatan selepas jualan bagi memastikan setiap perjalanan bersama Zeekr sinonim dengan kemewahan dan ketenangan minda.
Zeekr Malaysia turut berusaha untuk mengembangkan lagi kehadiran jenama itu di seluruh negara.
Bermula Januari 2026, Zeekr akan membuka cawangan pengedar baharu di Johor Bahru, Melaka, Ampang dan Ipoh.
Menjelang akhir 2026, Zeekr akan mempunyai jaringan pengedar yang terdiri daripada 18 buah bilik pameran termasuklah lebih 10 Pusat Badan & Cat di seluruh negara.
Zeekr Malaysia turut menjalankan kempen bersempena musim perayaan Krismas di mana setiap model Zeekr yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2025 layak menerima barangan eksklusif TRAPO bernilai sehingga RM1,000.
Perodua meluaskan jumlah cawangan jualan yang menerima tempahan kenderaan elektriknya, QV-E kepada 34 cawangan terpilih di Semenanjung Malaysia.
Sebelum ini, pelanggan hanya perlu berkunjung ke sembilan buah cawangan sahaja sekiranya berminat untuk memiliki EV pertama Perodua.
Menurut Dato’ Sri Zainal selaku Presiden & CEO Perodua, “Kami menerima maklum balas yang baik daripada pelanggan dari seluruh negara dan kami kini meluaskan jangkauan kami dengan menambah beberapa lokasi lagi supaya pelanggan boleh membuat pandu uji dan menempah Perodua QV-E.
Beliau berkata Perodua kini juga membuka tempahan secara manual untuk memudahkan proses berkenaan bagi pelanggannya.
“Sebelum ini, kami meminta pelanggan membuat tempahan menerusi super-app kami, P-Circle, tetapi menerusi maklum balas yang kami terima, pelanggan meminta untuk pilihan tempahan secara manual,” katanya lagi.
Terma dan syarat program sewaan bateri dikemas kini
Dalam masa yang sama, Perodua kini meringkaskan terma dan syarat bagi program sewaan baterinya.
Battery-as-a-service (BAAS) merupakan perkhidmatan bebas bertujuan untuk melindungi pelanggan dan alam sekitar dengan yuran langganan sebanyak RM275/bulan untuk tempoh 9 tahun (108 bulan).
Harga siling tersebut ditetapkan bagi memastikan pelanggan dilindungi daripada kenaikan harga pada masa depan.
Selepas tempoh sembilan tahun, bateri tersebut akan turut diselenggara sepenuhnya oleh Perodua untuk memberikan ketenangan minda kepada pemilik.
Bagi pemilik yang mahu menjual QV-E, mereka perlu memaklumkan kepada Jabatan Pre-Owned Vehicle Perodua untuk mengeluarkan nama daripada senarai langganan berkenaan dan mendaftar nama pemilik baharu.
Bayaran langganan selama 108 bulan itu juga boleh dipindahmilik, yang mana jika pemilik sedia ada sudah membuat bayaran selama 50 bulan, pemilik baharu hanya perlu meneruskan langganan selama 58 bulan di bawah pelan yang sama.
Tambah Dato’ Sri Zainal lagi, program BAAS adalah komitmen Perodua dalam menyediakan keselesaan kepada penggunanya, dan dalam masa yang sama membantu memelihara alam sekitar dengan mengambil tanggungjawab untuk mengendalikan bateri kenderaan EV.
Honda Malaysia mengumumkan dua pemenang hadiah cabutan bertuah bulan November bagi kempen ‘Because of You’ yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-25.
Dua orang pemenang yang dimaksudkan itu ialah Zulkeffli bin Abdul Rahman dari Negeri Sembilan yang membawa pulang sebuah Civic RS, serta Mohamad Farees Rahimi bin Ab Kadir dari Johor yang memenangi CR-V e:HEV RS.
Zulkeffli yang baru sahaja membeli sebuah HR-V 1.5T V sebagai kereta kedua untuk keluarganya berasa amat gembira apabila diumumkan sebagai pemenang.
Beliau tidak dapat menghadiri acara penyampaian hadiah tersebut dan diwakili oleh anaknya, iaitu Nuramirah binti Zulkeffli dan Nuratikah binti Zulkeffli untuk menerima hadiah tersebut bagi pihaknya.
“Honda benar-benar memberi ganjaran kepada pelanggan mereka. Sebagai pemilik Honda sedia ada, saya sudah tahu kereta Honda selamat dan boleh dipercayai, ditambah pula dengan kehadiran pusat servis sah di mana-mana.
“Saya sentiasa mempercayai jenama Honda, jadi ia merupakan plilihan pertama automatik bagi saya untuk mencari kereta keluarga kedua.
Sementara itu, Mohamad Farees Rahimi yang baru sahaja membeli sebuah City Hatchback RS melahirkan rasa terkejut apabila terpilih sebagai pemenang bagi bulan November 2025.
“Dapat menang sebuah CR-V e:HEV RS ini benar-benar di luar jangkaan saya. Saya pernah terfikir akan naik taraf kepada SUV satu hari nanti.
“CR-V luas, selesa dan hadir dengan pelbagai ciri yang dapat memenuhi keperluan saya. Kini saya mempunyai pilihan untuk menikmati pemanduan hot hatch yang sporti atau SUV premium bersama keluarga saya,” ujarnya lagi.
Honda Malaysia sebelum ini mengumumkan dua orang pemenang pertama kempen ‘Because of You’ yang membawa pulang City Hatchback RS dan WR-V RS.
Ada dua lagi pemenang hadiah utama yang bakal diumumkan oleh Honda dalam masa terdekat.
Perlumbaan endurans Sepang 1000KM yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 28-29 November lalu turut dimeriahkan dengan penganjuran perlumbaan maya Virtual Sepang 1000km powered by Castrol.
Apa yang anda perlu tahu tentang Virtual Sepang 1000km?
1. Sebanyak 10 pasukan bertanding untuk merebut hadiah trofi dan wang tunai bernilai RM3,000 untuk tempat pertama, RM2,000 untuk tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga.
2. Setiap pasukan boleh mendaftarkan tiga atau empat orang pelumba, berusia sekurang-kurangnya 16 tahun dan memegang lesen sah MAM Esports Competition.
Pemandu antarabangsa perlu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh ASN yang diiktiraf FIA serta kelulusan MAM.
3. Virtual Sepang 1000km powered by Castrol ini menampilkan format perlumbaan simulasi tujuh jam mirip kepada perlumbaan ketahanan kereta touring 1000 km.
4. Dengan menggunakan platform RaceRoom Evo, setiap pelumba diberikan peluang mengendalikan sebuah jentera WTCC Honda Civic.
Untuk memastikan persaingan yang lebih adil, setiap jentera lumba menggunakan tetapan yang serupa, bantuan yang terhad, kawalan kestabilan yang dimatikan, serta mod kerosakan penuh diaktifkan.
5. Setiap pelumba perlu mematuhi peraturan had masa selama 75 minit maksimum, masa rehat sekurang-kurangnya 2/3 daripada tempoh stint terdahulu dan mengambil bahagian melainkan sekiranya dikecualikan oleh pihak Stewards.
6. Acara ini diiktiraf sebagai pertandingan esports peringkat kebangsaan dengan penyertaan dari seluruh ASEAN.
Untuk makluman, acara ini turut disahkan oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) di bawah Kod Sukan Antarabangsa FIA, Peraturan Pertandingan Kebangsaan MAM dan juga Peraturan Sukan bagi acara ini.
Kesemua aspek perlumbaan dipantau sepenuhnya mengikut peraturan rasmi MAM.
Dengan menganjurkan Virtual S1K serentak dengan Sepang 1000KM, Castrol dapat menghubungkan peserta dan peminat perlumbaan simulasi secara langsung dengan salah satu acara perlumbaan ketahanan utama Malaysia.
Castrol sebelum ini menyokong Unleashed Youth Simracing Championship melibatkan lebih 400 peserta muda dan lebih 2,000 pelajar dalam program perlumbaan simulasi berstruktur.
Perlumbaan Virtual S1K ini dapat memberikan peluang kepada komuniti tersebut untuk merasai sendiri format perlumbaan ketahanan selari dengan acara sebenar di Litar Antarabangsa Sepang.
Tahukah anda, enjin lima silinder pertama buatan Audi debut pada tahun 1976 menerusi model Audi 100.
Bersempena dengan ulang tahun yang ke-50 dijangka pada tahun depan, sekumpulan perantis Audi dari Neckarsulm, Jerman menghasilkan sebuah projek yang cukup istimewa dinamakan sebagai Audi GT50.
Projek ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan di bawah pengawasan tenaga pengajar dan turut dipantau sendiri oleh Timo Engler selaku Ketua unit Teknologi Automotif, Logistik dan Latihan Pengurusan Perniagaan.
Sekali imbas, Audi GT50 banyak mengambil inspirasi rekaan daripada sejarah warisan perlumbaan Audi seperti Audi 90 Quattro IMSA GTO.
Disebalik imej yang futuristik itu, Audi GT50 sebenarnya bermula sebagai sebuah sedan RS3 sebelum keseluruhan panel luaran dibuka untuk memberikan laluan kepada panel badan yang diperbuat daripada plastik bertetulang gentian kaca ringan.
Bahagian belakang pula menampilkan struktur diffuser dan spoiler yang besar untuk tujuan aerodinamik.
Bumbung pula diambil daripada sebuah Audi 80 yang sebenar.
Untuk ruang kabin, mereka telah membuang segala kelengkapan RS3 yang asal dan menggantikannya dengan kelengkapan perlumbaan yang sebenar.
Malah, mereka turut menghasilkan sendiri struktur bar oleng yang memakan masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.
Dengan bantuan enjin lima silinder 2.5 liter TFSI, jentera ini berupaya menjana kuasa setinggi 394 hp dan 500 Nm.
Selain daripada Audi GT50, kumpulan perantis dari fasiliti Audi Neckarsulm pernah menghasilkan model konsep yang cukup unik seperti Audi RS6 GTO dan NSU Prinz.