BYD perkenal sistem pengecasan FLASH bersepadu, gabung tenaga solar dan robotik

Gambar Sistem Bersepadu Tenaga Solar, Penyimpanan Tenaga, Pengecasan FLASH dan Pengecasan Robotik BYD di Abu Dhabi.

BYD memperkenalkan sistem pengecasan bersepadu pertama dunia di gurun Abu Dhabi.

Sistem ini menggabungkan tenaga solar, penyimpanan tenaga, pengecasan pantas FLASH Charging dan teknologi pengecasan robotik.

Teknologi tersebut menyatukan tenaga boleh diperbaharui dengan pengecasan ultra pantas.

Ia turut menggunakan automasi kenderaan untuk menawarkan pengalaman pengecasan yang lebih mudah dan pintar.

FLASH Charging: 10-70 peratus dalam lima minit

Keupayaan BYD Flash Charging

Teknologi FLASH Charging BYD menawarkan masa pengecasan yang hampir menyamai tempoh mengisi bahan api kenderaan konvensional.

Sistem ini boleh mengecas bateri kenderaan daripada 10 hingga 70 peratus dalam masa lima minit.

Pengecasan daripada 10 hingga 97 peratus pula mengambil masa sembilan minit.

Kini, BYD menggabungkan FLASH Charging dengan penjanaan tenaga solar, penyimpanan tenaga dan pengecasan robotik.

Gabungan ini bukan sekadar meningkatkan kelajuan pengecasan. Ia turut mengubah cara tenaga dijana, disimpan dan disalurkan kepada kenderaan elektrik (EV).

BYD Flash Charging

Sistem SSC gabungkan tenaga solar dan pengecasan

BYD Solar mempunyai pengalaman lebih 16 tahun dalam industri solar. Portfolio BYD Solar merangkumi sel solar, modul dan sistem solar.

Syarikat itu kini menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di lebih 100 negara dan wilayah.

Pemasangan di Abu Dhabi menggunakan sistem Solar-Storage-Charging (SSC) BYD yang menggabungkan penjanaan tenaga solar, penyimpanan bateri dan FLASH Charging.

Teknologi tersebut membolehkan tenaga solar dikumpulkan dan disimpan dan boleh digunakan untuk mengecas kenderaan apabila diperlukan.

Sistem SSC juga boleh beroperasi tanpa bergantung kepada grid elektrik dan dicapai melalui gabungan penjanaan tenaga solar dan penyimpanan bateri.

Ia mengurangkan kebergantungan kepada infrastruktur bekalan elektrik sedia ada.

Pada masa sama, sistem ini boleh digunakan di lokasi yang mempunyai akses grid terhad.

Pemasangan di gurun Abu Dhabi turut menunjukkan keupayaan sistem dalam persekitaran cahaya matahari terik selain suhu tinggi dan taburan hujan yang rendah.

Pengecasan robotik digabungkan dengan Automated Valet Parking

Gambar Sistem Bersepadu Tenaga Solar, Penyimpanan Tenaga, Pengecasan FLASH dan Pengecasan Robotik BYD di Abu Dhabi.

Sistem ini turut dilengkapi lengan robotik yang menguruskan sambungan pengecasan kenderaan secara automatik.

Lengan tersebut boleh mengesan kedudukan port pengecasan, membuka penutupnya dan memasukkan penyambung pengecas.

Teknologi panduan visual dan maklum balas daya (force feedback) memastikan kedudukan penyambung yang tepat.

BYD turut menggabungkan pengecasan robotik dengan teknologi Automated Valet Parking.

Gabungan ini membolehkan automasi diperluaskan daripada proses pemanduan dan parkir kepada pengecasan.

Pemandu hanya perlu keluar dari kenderaan dan menguncinya. Kenderaan kemudian bergerak sendiri ke ruang pengecasan yang ditetapkan.

Selepas kenderaan diparkir, lengan robotik akan menyambungkan pengecas secara automatik dan pemandu tidak perlu mengendalikan kabel pengecas sendiri.

Teknologi ini menjadikan keseluruhan proses lebih mudah dan lancar. Ia juga berguna ketika cuaca luar terlalu panas atau pemandu sedang tergesa-gesa.

BYD sasar 6,000 stesen FLASH Charging menjelang 2027

BYD Flash Charging Malaysia

Pemasangan di Abu Dhabi merupakan sebahagian daripada perancangan pengembangan rangkaian FLASH Charging BYD.

Syarikat itu menyasarkan pembinaan 6,000 stesen FLASH Charging di seluruh dunia menjelang akhir 2027.

Pengembangan ini turut melibatkan integrasi pengecasan dengan penyimpanan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan automasi pintar.

Gabungan teknologi tersebut akan menyokong pembangunan ekosistem pengecasan yang lebih fleksibel.

BYD dan Gentari teroka FLASH Charging di Malaysia

BYD Flash Charging di Malaysia

Di Malaysia, BYD sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Gentari di ibu pejabat BYD di Shenzhen, China.

Kedua-dua pihak akan meneroka peluang membangunkan infrastruktur BYD FLASH Charging di Malaysia.

Pelaksanaan awal akan memberi tumpuan kepada bilik pameran Denza terpilih.

BYD dan Gentari juga akan meneroka lokasi serta infrastruktur bersesuaian, termasuk stesen Petronas dan laluan antara bandar utama.

Kedua-dua pihak turut mengkaji peluang memperkenalkan FLASH Charging di kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya terpilih.

Inisiatif ini akan memberikan lebih banyak pilihan pengecasan kepada pemilik EV, khususnya ketika melakukan perjalanan jarak jauh.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved