Letupan di Haiti turut tular di media sosial selain mengundang rasa simpati ramai. - Foto ihsan Twitter/Mete Sohtaoğlu

Lori tangki meletup ragut puluhan nyawa, punca insiden didedah

BANDAR pelabuhan Cap-Haitien, Haiti digegarkan dengan satu letupan kuat sekaligus menyebabkan lebih 60 mangsa meninggal dunia.

Insiden dipercayai berpunca daripada sebuah lori tangki bahan api yang meletup secara tiba-tiba, lapor CTV News.

Memetik kenyataan pihak berkuasa, puluhan mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Cap-Haitien dan tidak menolak jika berlaku peningkatan kematian.

Terdahulu, Timbalan Datuk Bandar Patrick Almonor menyifatkan letupan itu sebagai suatu yang amat “mengerikan.”

“Anggota bomba sedang membuat penilaian awal untuk menentukan jumlah rumah yang terbakar akibat letupan itu,” katanya.

Sementara itu, kerajaan mengumumkan akan membina hospital medan untuk merawat mangsa yang cedera.

Ia susulan keadaan hospital yang sesak dengan mangsa menerima rawatan.

Letupan pada pagi Selasa berlaku selepas lori tangki itu cuba mengelak sebuah motosikal dan terbalik.

Kemalangan menyebabkan beberapa bahan api melimpah keluar sehingga mencetuskan letupan kuat.

Haiti bergelut dengan kekurangan bahan api dan harga gas yang melambung tinggi, dicetuskan oleh tindakan kumpulan bersenjata.

Pada 25 Oktober lalu, anggota kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kesukaran menghantar bahan api di Haiti berkemungkinan akan mengorbankan nyawa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *