fbpx

Nak cari kereta Daihatsu bawah RM10,000? Ini 5 pilihan yang ada

Daihatsu Charade

NAMA Daihatsu mungkin agak tenggelam sejak kebelakangan ini namun tidak dinafikan, jenama ini masih mendapat tempat di hati pembeli kereta terutamanya mereka yang meminati kereta kompak yang comel.

Dalam video kali ini, Tenyeh Enterprise dan Abang Syamsul menyenaraikan lima model Daihatsu terpakai yang boleh dibeli dengan bajet bawah RM10,000. Bolehlah kalau setakat nak buat kereta pergi ke pasar atau surau. Tapi kalau nak buat kereta projek atau ‘convert’ jadi kendera saji (food truck) pun boleh juga, ikut selera masing-masing.

1. Daihatsu Charade Espri – RM8,800

Charade memang satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia kereta kompak. Melihat kepada iklan, unit ini merupakan varian 1.0-liter dengan transmisi manual dan pemiliknya mendakwa ia dalam ‘running condition’ atau dalam erti kata lain, boleh dipandu. Cukai jalan juga masih hidup semasa diiklankan.

2. Daihatsu Charade 1.3 – RM9,000

Unit keluaran tahun 1995 ini mempunyai enjin 1.3-liter namun apa yang menarik, ia dikatakan mempunyai tempat duduk Recaro. Keadaan bahagian luaran masih nampak elok walaupun berusia hampir 30 tahun. Mungkin ini ‘calon’ kereta projek anda yang seterusnya?

3. Daihatsu Ascend – RM9,000

Seperti Perodua Bezza dan Axia, Ascend, secara asasnya, adalah versi sedan kepada Charade. Unit yang diiklankan ini merupakan model buatan tahun 2002 dan didatangkan dengan enjin 1.6-liter. Kondisi nampak agak memuaskan, dengan rim berwarna gangsa membuatkannya kelihatan ala-ala Subaru Impreza.

4. Daihatsu Hijet – RM10,000

Untuk mereka yang gemarkan gaya hidup outdoor dan mencari van untuk ditukarkan menjadi camper, van Hijet ini mungkin sesuai untuk anda. Harganya agak keras, namun dengan teknik tawar-menawar yang betul, tidak mustahil anda akan mendapat diskaun.

5. Daihatsu Hijet 1.3 – RM9,800

Ini sebuah lagi Hijet, tapi dalam bentuk trak mini. Berbeza dengan Hijet van tadi, yang ini mungkin lebih sesuai untuk ditukarkan menjadi ‘food truck’ atau pun kenderaan komersial. Penyaman udara tidak sejuk katanya, jadi sedikit pembaikan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved