fbpx

Aksesori kereta yang HARAM dibeli – part 2!

aksesori haram part 2

DISEBABKAN ramai yang menambah aksesori dari senarai kami sebelum ini, dan ada yang meminta sambungan, ini kami beri Part 2. Aksesori kereta yang HARAM dibeli. Bukan kami jatuhkan hukum, tapi benda yang tida baik, memudaratkan, membahayakan, buat apa beli, kan?

1. Lampu brek kelip-kelip

Yang pertama ialah lampu brek jenis berkelip. Jurutera dah kira untuk semua keadaan, ambil kira pelbagai faktor termasuk psikologi, bahawa lampu brek yang menyala macam biasa itulah paling berkesan untuk beri amaran pada pemandu di belakang.

Mengapa perlu kita semakkan pemandangan orang belakang dengan lampu berkelip? Cerah pula tu.

Ya betul, kereta-kereta moden sekarang yang canggih sikit ada fungsi Emergency Stop Signal yang akan berkelip begantung kepada kadar brek. Tapi kemudian komputer akan ubah supaya lampu dia menyala kekal selepas itu.

Yang ubahsuai lampu brek berkelip ni mungkin dia tak puas beraya kot?

2. Penutup/alas papan pemuka

Mungkin penutup atau alas papan pemuka (dashboard) ini cantik di mata anda. Boleh diletakkan hiasan, susun model kereta mainan, dengan pelbagai jenis bahan. Siap ada jenis macam rumput lagi.

Tapi masalahnya, pada papan pemuka dan beberapa lagi bahagian lain dalam kereta, ada bahan letupan. Tak percaya? Beg udara kereta anda tu, rasa-rasa macam mana dia boleh dikembangkan sekelip mata semasa kemalangan?

Ya, ada bahan letupan yang melancarkan atau mengembangkannya.

Jadi, sudah tentu bukan idea yang baik untuk meletakkan sesuatu yang akan menghalang pengeluaran/letupan beg udara ini. Sama ada ia tidak akan keluar dengan sempurna atau boleh mencederakan anda.

Simpan sahaja hiasan tu di rumah.

3. Menukar warna lampu asal

Masih lagi bab lampu. Kali ni yang jenis tukar-tukar warna mentol. Ini pun penyakit tak habis nak beraya ni.

Engineer dah elok-elok buat lampu brek merah, lampu signal amber/oren/kuning, sesuai untuk semua keadaan cuaca, dia pandai-pandai tukar.

Lampu brek biru ada, signal putih pun ada. Kemudian bila brek nak masuk simpang, orang langgar sebab tak nampak. Lebih-lebih lagi waktu siang, signal putih memang tak nampak.

Yang tint lampu pun sama dalam kategori ni, mengubah warna.

Sesetengah manufacturer memang ada versi lampu smoked, contohnya Porsche varian GTS, lampu lebih gelap, tapi itu lens dia gelapkan. Bukan tint. Yang datang dari kilang dah tentu selamat buat ikut piawaian, bukan suka-suka macam kita.

4. Brek tiruan

Dalam banyak-banyak aksesori hari ini, yang ini rasanya paling bahaya; brek berjenama tiruan.

Pakai big brake kit fuh tayang Brembo, AP Racing, warna menyerlah. Amboi sedap tayang, rupanya tiruan.

Risikonya ialah cakera brek boleh retak. Ini kerana pembuat brek tiruan tidak menggunakan acuan atau ramuan yang sama dengan pembuat asli. Pembuat brek yang asli sudah tentu menjalankan kajian dan ujian untuk produk mereka.

Bayangkan turun dari Genting Highlands dan cakera rosak atau retak, faham-faham sendiri lah ya.

Kalau anda nak naik-taraf brek tapi bajet terhad, lebih baik guna sistem (hardware) brek asal, tapi dengan pelapik (brake pad) lebih berkualiti dan lebih tinggi prestasi. Ini lebih baik dari brek tiruan.

Janganlah kita abaikan komponen-komponen kritikal seperti brek kerana ia berkaitan nyawa kita, penumpang dan pemandu lain.

5. Child seat tanpa sijil ECE R44/04

Yang ini mungkin sensitif sedikit, iaitu tempat duduk kanak-kanak tanpa sijil. Kalau kita beli tempat duduk untuk anak kita, pastikan yang betul-betul selamat dengan sijil ECE R44/04.

Jika sesuatu produk itu mempunyai sijil, bermakna ia telah diuji untuk mencapai tahap keselamatan tertentu. Mungkin dengan membeli produk bersijil ini, ikhtiar kita akan memberikan perlindungan sewajarnya untuk anak kita.

Mahal? Sebenarnya bukan semua yang ada ECE tu mahal. Kalau pandai cari, bawah RM200 pun ada.

6. Mentol HID atau LED pada lampu reflector

Ya betul, mentol HID dan LED banyak kebaikan berbanding halogen. Ia lebih terang, pencahayaan lebih jauh, jimat tenaga, dan kurang panas.

Tapi, perlu tengok jenis lampu juga. HID dan LED hanya berfungsi dengan mentol jenis projektor. LED pun ada jenis reflektor, tapi jenis lain, memang direka untuk LED.

Jika lampu anda jenis halogen reflektor dan anda tukar mentol HID atau LED, cahayanya akan bersepah dan menyilaukan orang depan. Ini kerana HID atau LED mempunyai corak nyalaan berbeza dari mentol halogen.

Cara terbaik untuk nyalaan lebih baik bagi lampu halogen reflektor ialah menukar kepada mentol halogen lebih berkuasa tinggi dan lebih baik.

7. Tilam udara

Akhir sekali, tilam udara. Kenapa haram, bahaya kah?

Tilam udara sebenarnya tidak merbahaya dan kami rasa sesuai digunakan semasa berkelah atau berkhemah, semasa kereta tidak bergerak. Atau anda ada sebarang ‘urusan peribadi’, terpulanglah.

Tapi yang jadi bahaya jika benarkan anak-anak atau penumpang tidur dan berbaring semasa kereta sedang bergerak. Ini kerana sekiranya berlaku sebarang kecemasan, tiada mereka yang sedang berbaring ini tidak ‘diikat’ sebaiknya, senang berguling atau tercampak.

Tidak seperti pemandu dan penumpang depan yang duduk memakai tali pinggang keledar, lebih selamat dan mempunyai perlindungan optima.

Ya betul, kejadian buruk seperti kemalangan jarang berlaku, tapi jika sudah berlaku, minta maaf atau menangis air mata darah pun tiada guna.

Jadi, macam mana dengan senarai aksesori haram kali ini? Anda setuju?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved