fbpx

Keluargaku, poketku – Ini senarai SUV dan MPV Toyota bawah RM30k

toyota bawah rm30k

RAMAI pula yang meminta senarai Toyota mampu milik, jadi hari ini kami senaraikan pilihan kami untuk bajet bawah RM30,000. Siap ada slogan lagi; “Keluarga Ku, Toyota Ku, Poket Ku.”

Amacam?

1. Toyota Harrier 3.0 300G – RM28,500

Ini merupakan model tahun 2003. Dulu, Toyota Harrier cukup sinonim dengan lambang prestij. Mana-mana pemain bolasepak negara pada awal 2000-an wajib ada SUV ini.

Harga asal dulu hampir RM250,000, jadi untuk harga ini, nampak sangat menarik.

Iklan berkata Harrier ini “cantik luar dan dalam, boleh jalan jauh, timing belt baharu, malah tayar dan drive shaft juga baru ditukar. Enjin dan kota gear cantik, lancar dan tiada kebocoran.”

Cukup berbaloi bagi kami, cat badan pun nampak masih cantik berkilat.

2. Toyota Unser 1.8 GLI – RM14,800

Ini dia, kereta kebal. Toyota Unser tahun 2001. Tengok, walaupun sudah berumur 20 tahun, harganya masih kekal agak baik.

Menurut cerita hos kita, Abang Syamsul, beliau pernah pusing satu Malaysia dengan Toyota Unser ini semasa membuat liputan untuk berita politik.

Unser ini dipinjam dari seorang kawannya, dan sebelum memulakan perjalanan, dia hantar untuk servis dan pemeriksaan di wakil Toyota. Terus juruteknik di situ bertanya adakah Unser ini mahu dijual.

Nampak di situ, kereta tahan lasak macam ni pasti ramai yang berminat. Lebih-lebih lagi jika semua komponen masih asli dan original.

 3. Toyota Caldina ZT NFL – RM29,999

Sebuah kereta glamour… Kalau anda seorang selebriti atau isteri kedua, ini pasti jadi kereta pilihan. Caldina yang kami jumpa ini tahun 2005, semasa baharu dulu berharga sekitar RM80k hingga RM100k.

Ini versi 2WD, jadi lebih murah. Ada Caldina GT4 yang 4WD, ini lebih mahal kerana lebih berprestasi tinggi.

Tetapi Caldina ini telah diberikan kit badan GT4 original dan rim Rays Engineering. Terdapat juga aksesori lain seperti skrin pada perehat kepala dan sub-woofer di bawah tempat duduk.

Berbaloi?

4. Toyota Wish – RM25,800

Rasanya Wish ini satu pilihan cukup popular untuk Toyota terpakai kegunaan keluarga. Unit yang kami jumpa ialah tahun 2008, iaitu model facelift untuk generasi pertama.

MPV ini pun jika kita periksa secara kasar tiada masalah, pejam mata beli sahaja.

Tak banyak perkara perlu dirisaukan. Barang senang cari, dan nak jaga pun tidak begitu susah.

Menurut iklan, Wish ini mempunyai enjin yang tip-top, pendingin hawa sejuk, rim 16-inci, dan cat baharu. Menarik.

5. Toyota Ipsum 2.4 – RM21,600

Model ini tidak begitu popular, tapi tetap boleh diambil-kira jika ada yang berada dalam keadaan baik.

Bentuk mungkin tidak begitu mengujakan, tetapi harganya boleh dikatakan masih ‘keras’. Model tahun 2005, dan enjin 2.4-liter.

Menurut iklan, enjin dan kotak gear tiada masalah atau kebocoran, dan jualan ini tunai sahaja. Harga masih boleh tawar, dan trade-in boleh dibincang…

6. Toyota Estima 2.4 Aeras – RM24,900

Kereta pilihan mak-mak datin untuk hantar anak pergi sekolah. Model 2.4-liter ini dulu antara yang popular, dan harga agak mahal sekitar RM270,000. Memang premium habis.

Iklan menunjukkan 2003/2008, jadi mungkin kereta ini dihasilkan pada 2003, dan hadir ke Malaysia sebagai recond pada 2008.

Estima banyak yang tidak begitu terjaga, jadi kalau hendak beli, pastikan anda periksa betul-betul.

 7. Toyota Innova 2.0G – RM23,900

Akhir sekali, Toyota Innova. Ini pun dikatakan ‘kereta kebal’ juga, tahap dia sama macam Unser tadi. Toyota Innova dikatakan sebagai pengganti Unser.

Kereta tahun 2006, bagi kami kira halal juga lah, guna sampai habis. Harga semasa baharu dulu sekitar RM110,000. Kata iklannya, “enjin berkeadaan baik, dalaman bersih, penghawa dingin sejuk, tiada kemalangan.”

Innova ini jika rupanya masih baik, boleh dibeli kerana alat ganti senang dicari.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved