Arkib Tag: Zontes 368E

Zontes Malaysia lancar 4 skuter 368 Series 2026, harga dari RM23,800

Zontes Malaysia secara rasmi melancarkan empat buah model di bawah siri 368 untuk tahun 2026, dengan harga jualan seperti berikut:

  • Zontes 368D – RM23,800
  • Zontes 368E – RM25,800
  • Zontes 368K – RM27,800
  • Zontes 368G – RM28,800

Spesifikasi Zontes 368 Series

Keempat-empat skuter ini dikuasakan enjin silinder tunggal 368 cc menghasilkan kuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm.

Kesemua skuter ini dilengkapi dengan ciri bantuan elektronik seperti:

  • Kawalan Pendikit Elektronik (ETC) Bosch
  • Kawalan Jelajah
  • Kawalan Cengkaman (TCS)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Selain itu, terdapat juga sokongan aplikasi Zontes Smart App 3.0 membolehkan penunggang mengakses informasi masa nyata, sejarah tunggangan dan diagnostik sistem menerusi peranti pintar.

 

Inisiatif Geng4Ride

Dalam masa yang sama, Zontes Malaysia turut mengumumkan inisiatif ‘Geng4Ride’ yang terbahagi kepada empat kumpulan berbeza yang unik dan tersendiri.

 

Zontes 368D untuk Geng Stylo

Zontes 368D direka untuk tunggangan yang lebih meyakinkan di dalam kawasan urban.

Dengan berat sekitar 175 kg, 368D lebih ringan 25 kg berbanding model 350D, menyumbang kepada pengendalian yang lebih lincah.

Aspek praktikaliti disumbangkan oleh ruang storan sebesar 20 liter.

Terdapat tiga warna iaitu kelabu, hitam dan hijau.

 

Zontes 368E untuk Geng Convoy

Sebagai sebuah skuter maxi touring, Zontes 368E sememangnya sesuai untuk mereka yang gemar membuat tunggangan berkonvoi jarak jauh.

Sama seperti 368D, 368E juga lebih ringan berbanding model terdahulu, dan lengkap dengan ciri seperti:

  • pemanas grip bar hendal
  • pemanas tempat duduk
  • ruang pemijak kaki yang lebih lebar
  • ruang storan sebesar 50 liter boleh muat dua helmet

Terdapat dua warna disediakan iaitu kelabu dan hitam.

 

Zontes 368K untuk Geng Healing

Berbeza dengan penawaran model lain, 368K tampil dengan ciri yang lebih premium.

Antaranya ialah:

  • pelana gaya sofa dengan sokongan tulang belakang
  • storan sebesar 50 liter
  • skrin paparan Luxury UI 6.75 inci
  • cermin penghadang angin larasan elektrik
  • lampu LED projektor automatik
  • rak barang aloi magnesium

Zontes 368K ini hanya ditawarkan dalam warna tunggal kelabu.

 

Zontes 368G untuk Geng Explorer

Akhir sekali, skuter kembara Zontes 368 yang direka untuk penunggang yang mahu menikmati pengalaman outdoor dan off-road ringan.

Ia menampilkan ciri seperti:

  • tangki bahan api 17.5 liter
  • mod tunggangan Sport dan Touring
  • storan sebesar 52 liter

Pembeli boleh mendapatkan pilihan warna perang atau kelabu, dan dua varian berbeza:

  • Varian Standard dengan pelana 770 mm dan jarak kelegaan tanah 155 mm
  • Varian High dengan pelana 795 mm dan jarak kelegaan tanah 180 mm

Sejak dilancarkan Januari 2025, Zontes 368G telah terjual sebanyak lebih 5,000 unit menunjukkan popularitinya di kalangan penunggang di Malaysia.

 

Zontes 368D 2026

 

Zontes 368E 2026

 

Zontes 368K 2026

 

Zontes 368G 2026

Skuter maxi Zontes 368D, 386E dipertontonkan di Malaysia, harga jualan mula bawah RM25,000

Zontes Malaysia mengemaskini penawaran dua model skuter maxi 350 cc sedia ada, di mana kedua-dua model 350D dan 350E kini diberikan peningkatan kuasa dan penambahbaikan yang signifikan.

Zontes 368D merupakan evolusi daripada model 350D yang telah dilancarkan pada tahun 2023.

Sama seperti 368G, 368D dijana dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair dengan kuasa 38.7 hp dan 40 Nm.

Antara ciri premium yang dimuatkan termasuklah skrin TFT berwarna penuh 6.75 inci, port pengecasan USB, cermin penghadang angin boleh laras elektrik, kamera perakam tunggangan depan dan belakang, sistem pencahayaan LED serta brek parkir terbina.

Tidak ketinggalan, pemanas bar hendal untuk keselesaan tunggangan sewaktu musim sejuk.

Aspek keselamatan pula terdiri daripada sistem brek J.Juan, ABS dua saluran serta kawalan cengkaman.

Zontes 368D boleh didapati dalam pilihan warna Matte Black, Matte Silver dan Grey.

Harga jualan anggaran bermula bawah RM25,000.

Zontes 368E pula merupakan skuter maxi touring menggantikan model popular Zontes 350E yang telah dilancarkan sejak 2023 lagi.

Skuter ini direka untuk mereka yang mahukan keselesaan tunggangan jarak jauh serta keupayaan enjin yang dipertingkatkan.

Enjin 368 cc 38.7 hp/40 Nm yang sama wujud pada model 368G, diikuti dengan bacaan penggunaan bahan api 3.5 liter/100 km, terima kasih kepada kapasiti tangki bahan api dipertingkatkan menjadi 17 liter.

Untuk model ini, ia diberikan ciri yang sama pada 368D termasuklah pemanas bar hendal, sistem kunci pintar.

Terdapat juga cermin penghadang angin yang lebih besar, tempat duduk ergonomik, dan ruang storan bawah pelana yang boleh memuatkan helmet full-face.

Harga jualan anggaran bermula bawah RM27,000.

 

Zontes 368D

 

Zontes 368E