Arkib Tag: zoe

Renault Zoe dilancarkan secara rasmi – 2 varian, harga dari RM165k

SELEPAS dipertontonkan pertama kali pada Ogos tahun lalu, Renault Zoe baharu kini dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia menerusi TC Euro Cars (TCEC) selaku pemegang francais tunggal Renault di negara ini.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Zoe ditawarkan dalam dua varian iaitu R110 dan R135. Harga jualan (atas jalan, tidak termasuk insurans) bermula dari RM165,000 untuk R110 dan RM179,000 untuk R135.

Kedua-dua varian hadir dengan jaminan tiga tahun/100,000 km untuk kenderaan dan rangkaian kuasa elektrik. Bateri EV dilindungi jaminan selama lapan tahun/160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.

Apa yang menarik, EV ini juga dibuka untuk langganan menerusi Fixed Plan yang menawarkan pelan untuk setahun, dua tahun dan tiga tahun. Berikut adalah kadar langganan bagi setiap pelan mengikut varian:

Menurut TCEC, proses kelulusan Renault Subscription biasanya mengambil masa selama tiga hari bekerja, sekiranya semua dokumen dan syarat dipenuhi.

Zoe menggunakan bateri Z.E. 50 generasi seterusnya yang sama dengan model terdahulu, tetapi mempunyai kapasiti tenaga lebih tinggi iaitu 52 kWh. Hasilnya, jarak pemanduan meningkat lebih 20 peratus iaitu 395 km untuk R110 dan 386 km untuk R135.

Varian R110 dilengkapi motor berkuasa 80 kW yang menawarkan kuasa 110 PS dan 225 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 11.4 saat dengan pecutan maksimum 135 km/j.

Sementara itu, R135 pula dipacu oleh motor 100 kW yang berupaya menghasilkan kuasa 135 PS dan 245 Nm. Ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 9.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 140 km/j.

Zoe menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW yang membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 70 minit. Pengecasan AC berkapasiti 22 kW pula boleh memulihkan tenaga bateri dari 0 hingga 100 peratus dalam tiga jam.

Setiap unit didatangkan dengan kabel pengecas 22 kW Type 2. Pelanggan juga boleh memasang pengecas wallbox Vestel 7 kW pada harga RM6,250 atau 22 kW dengan harga RM6,950 di rumah atau pejabat mereka. Kos termasuk kabel sepanjang 15 meter.

Satu lagi teknologi yang tersedia adalah brek janaan semula Mode B yang berfungsi untuk menukar tenaga kinetik menjadi tenaga elektrik untuk meningkatkan jarak perjalanan.

Dari segi penampilan, walaupun dimensi Zoe kekal sama, ia tampil lebih maskulin dengan bonet dan bampar yang direka semula. Terletak di tengah gril adalah logo holografik Renault yang menyembunyikan port pengecasan.

Kelengkapan yang ada termasuklah lampu LED sepenuhnya, lampu nyalaan siang berbentuk C, rim aloi bersaiz 16 inci dan brek cakera depan dan belakang.

Untuk pasaran Malaysia, Zoe R110 ditawarkan dalam warna solid hitam dan putih, manakala Zoe R135 boleh didapati dalam warna hitam, biru, merah dan ungu.

Di dalam, anda akan menemui panel instrumen digital berukuran 10 inci, skrin sentuh 9.3 inci dengan Android Auto/Apple CarPlay, Bluetooth, dua port USB dan enam pembesar suara.

Sebagai varian tertinggi, Zoe R135 mendapat tambahan sistem navigasi offline, dua port USB, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur dan sensor parkir hadapan.

Untuk keselamatan dan sistem bantuan pemandu, kedua-dua varian didatangkan dengan empat beg udara, Lane Departure Warning, Electronic Stability Control, Anti-Slip Regulation, ABS, EBA dan Hill Start Assist.

Varian R135 mendapat beberapa ciri tambahan iaitu Adaptive High Beam, Blind Spot Warning dan Hands-Free Park Assist.

Renault Zoe 2022 kini di Malaysia – Sehingga 134hp, jarak pemanduan 395km, dari RM163k

TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Renault Zoe 2022 baharu akan memasuki pasaran dan pendafataran kini sudah dibuka bagi mereka yang berminat.

Renault Zoe generasi terbaharu menawarkan keseronokan pemanduan elektrik (EV) sepenuhnya dan membawakan penambahbaikan dari segi kuasa, jarak, dan teknologi.

Dua varian ditawarkan untuk Malaysia, iaitu:

Zoe R110
RM163,000
80kW (107hp), 225Nm tork

Zoe R135
RM175,000 (harga jangkaan)
100kW (134hp), 245Nm tork

Kedua-dua varian Zoe R110 dan R135 dikuasakan oleh pek bateri 52kWh Z.E 50 baharu daripada Renault dengan penawaran jarak sehingga 395km (standard WLTP).

Untuk pengecasan pula, Renault Zoe baharu ini memerlukan 30 minit sahaja untuk mencapai jarak pemanduan 145km dengan pengecasan DC.

Menggunakan pengecaj AC Type 2 pula, Zoe akan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk pengecasan dari kosong hingga penuh 100 peratus.

Renault Zoe baharu menerima rekaan dalaman baharu dengan kluster instrumen TFT bersaiz 10-inci TFT di samping sistem multimedia EASY LINK Renault bersama enam unit pembesar suara.

Sistem infotainmen yang telah dinaik taraf itu turut menampilkan skrin sentuh bersaiz tujuh inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.

Renault Zeo turut mendapat bahan lestari dan mesra alam di ruang kabin, seperti tekstil tempat sentuhan utama.

Mereka yang ingin melihat Renault Zoe dengan lebih dekat boleh mengunjungi bilik pameran utama Renault di Jalan Kemajuan Seksyen 13, Petaling Jaya di mana sebuah unit Zoe R110 ada dipamer di sana.

Pelanggan yang ingin mendaftarkan minat mereka tehadap Renault Zoe baharu boleh mendaftar di sini untuk mendapat kemas kini.