Arkib Tag: ziarah

Tiada aktiviti ziarah Aidilfitri, ini filem kereta untuk anda ‘layan’

RAMAI sedia maklum berhubung pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Tidak dinafikan keputusan itu mengecewakan sebilangan besar rakyat yang bercadang melakukan aktiviti ziarah pada 1 Syawal nanti.

Bagaimanapun, pengorbanan ini perlu dilakukan demi mengawal penularan pandemik Covid-19 yang kian menunjukkan angka membimbangkan.

Berikut antara friendly reminder prosedur operasi standard (SOP) yang perlu anda patuh ketika memandu atau menaiki kenderaan:

1. Anda dilarang merentas negeri dan daerah kecuali bagi tujuan kecemasan, kesihatan, kerja atau temu janji vaksinasi.

2. Anda tidak dibenarkan menaiki kenderaan melebihi tiga orang termasuk pemandu. Arahan ini tertakluk kepada kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

3. Anda dilarang melakukan aktiviti kunjung-mengunjung. Selain itu, ziarah kubur sempena Aidilfitri turut tidak dibenarkan.

Maka, apa aktiviti yang anda boleh lakukan pada Aidilfitri nanti?

Banyak perkara yang boleh dilakukan pada Aidilfitri antaranya termasuk menonton filem.

Di sini EnGear nak recommend beberapa ‘filem kereta’ yang boleh anda tonton:

The Fast and the Furious

Terdapat lebih sembilan episod yang anda boleh ‘layan’ masa Aidilfitri nanti.

Apa yang menarik setiap episod filem ini mempunyai tarikan tersendiri yang penuh dengan aksi mendebarkan.

Bagi penulis, The Fast and the Furious (2001) paling best terutama ketika babak Dominic Toretto (Vin Diesel) cuba merompak sebuah lori sedang bergerak.

Initial D

Movie ini diadaptasi daripada komik Jepun yang amat terkenal suatu masa lalu.

Ia berkisarkan kisah seorang anak muda bekerja dengan bapanya sebagai penghantar tauhu menggunakan sebuah kereta vintage.

Nak tahu apa jalan ceritanya? Tonton sendiri nanti ya!

Lauda: The Untold Story

Lauda: The Untold Story bukan sebuah filem tetapi merupakan dokumentari.

Dokumentari ini menceritakan kehidupan pelumba profesional Niki Lauda yang berdepan kemalangan pada tahun 1976.

Pelbagai kisah suka dan duka Lauda dapat dihayati menerusi dokumentari selama 1 jam 30 minit ini.

Cars

Filem animasi ini amat sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

Menceritakan mengenai ‘dunia kereta’, kanak-kanak pasti menyukai filem ini yang penuh dengan elemen jenaka.

Evolution of KL Drift 2

Filem arahan pengarah Syamsul Yusof ini tidak kurang hebatnya.

Menerusi filem ini anda dapat saksikan kelibat kereta seperti Nissan 350Z, Mazda RX-7, Nissan Silvia S13 dan Toyota Supra.

Jangan terkejut kerana filem ini juga banyak mempamerkan aksi mencemaskan!

Demikian antara filem yang anda boleh tonton pada Hari raya Aidilfitri nanti.

Akhir kata, nasihat kami terus patuhi arahan pihak berkuasa.

Ia bukan sahaja hanya semata-mata kerana undang-undang tetapi paling utama untuk mengawal penularan Covid-19.

Semoga kita semua dipanjangkan usia untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan taulan di tahun mendatang.

Amin!

Covid-19: Tips ziarah 1 Syawal, jangan sampai langgar SOP

HARI Raya Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua diraikan dalam suasana berjaga-jaga ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pelbagai prosedur standard operasi (SOP) perlu dipatuhi selain terus mengamalkan norma baharu.

Selain itu, kerajaan turut menetapkan larangan rentas negeri seluruh negara serta daerah bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, terdapat kelonggaran pada 1 Syawal yang mana aktiviti ziarah dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 15 individu berada dalam sebuah kediaman pada satu masa.

Justeru, di sini EnGear kongsikan beberapa peringatan atau tips pemanduan bagi aktiviti kunjung-mengunjung pada 1 Syawal nanti.

Lima tips ziarah Aidilfitri

1. Bilangan penumpang tidak melebihi kapasiti kenderaan

Aktiviti ziarah tidak dinafikan memang seronok dilakukan secara beramai-ramai atau berkumpulan.

Namun, anda dinasihati tidak menaiki kenderaan dengan bilangan penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

Selain melanggar SOP ditetapkan ia juga berbahaya kerana berisiko mengundang kecelakaan jalan raya.

2. Ketahui had sempadan daerah atau negeri

Anda perlu tahu had sempadan daerah atau negeri.

Ini penting bagi mengelak secara tidak sengaja masuk ke daerah lain sekaligus berdepan tindakan undang-undang.

Nasihat kami gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps untuk ketahui had sempadan daerah atau negeri.

3. Servis kenderaan anda

Walaupun tidak dapat berjalan jauh namun, pastikan kereta anda diselenggara dengan baik.

Anda pasti tidak mahu ‘tersangkut’ di tepi jalan raya sekaligus menyusahkan pemandu lain akibat kesesakan lalu lintas.

Perlu diingat kos membaiki kenderaan juga berkemungkinan lebih tinggi berbanding di luar musim perayaan.

4. Rancang perjalanan

Setiap perjalanan bagi aktiviti ziarah perlu dirancang sebaik mungkin bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Hal ini kerana kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dan ia pasti mengundang kesesakan.

Tambahan pula, orang ramai tidak dapat merentas negeri atau daerah dan pasti itu akan menyebabkan berlaku peningkatan jumlah kenderaan atas jalan raya.

5. Kongsi kenderaan ketika ziarah

Sanak saudara yang ingin melakukan aktiviti ziarah 1 Syawal nanti mungkin boleh berkongsi kenderaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Tapi perlu diingat jangan sampai lebih kapasiti kenderaan pula. Tak pasal-pasal kena saman dengan encik polis pula nanti.

Kongsi kenderaan juga pada masa sama menjimatkan tenaga dan petrol. Maklumlah, harga petrol sekarang pun boleh ‘tahan’ harganya.

Demikian antara lima tips ziarah yang EnGear dapat kongsikan kepada anda.

Apa yang penting terus patuh SOP dan amalkan norma baharu kerana kita belum menang dalam memerangi Covid-19.

Anda yang tidak dapat beraya di kampung halaman pula jangan terlalu bersedih.

Gunakan handphone canggih anda untuk berhubung dengan keluarga tersayang ya!

#SelamatHariRayaAidilfitri