Arkib Tag: ZC15

Subaru WRX GD25 dan BRZ ZC15 edisi terhad diperkenal sempena ulang tahun

Sempena sambutan ulang tahun ke-25 WRX di Amerika Syarikat dan 15 tahun BRZ, Subaru telah memperkenalkan dua model edisi terhad iaitu WRX GD25 dan BRZ ZC15.

Kedua-duanya diperkenalkan di acara Boxerfest 2026 di Pennsylvania, dengan pengeluaran terhad serta pelbagai aksesori prestasi Subaru.

WRX GD25 tampil dengan tema rali

WRX GD25 dibina sebagai penghormatan kepada WRX generasi pertama yang tiba di Amerika Syarikat pada 2002 dengan kod casis “GD”. Ia hanya ditawarkan dalam warna World Rally Blue, dipadankan dengan rim aloi 19 inci berwarna emas, angkup brek Brembo emas dan tayar Bridgestone Potenza S007.

Di belakang, ia menerima spoiler STI jenis swan-neck yang diperbuat daripada gentian karbon, iaitu komponen yang sama digunakan pada jentera WRX ARA25L milik Travis Pastrana.

Bahagian kabin pula dilengkapi tempat duduk Recaro dengan kemasan Ultrasuede hitam dan jahitan merah, serta tombol gear STI.

WRX lebih fokus kepada pengendalian

WRX GD25 masih menggunakan enjin boxer 2.4 liter turbo yang menghasilkan 271 hp dan 350 Nm, bersama sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive. Ia hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam kelajuan bersama STI short shifter.

Subaru turut memasang flexible strut tower bar untuk meningkatkan ketegaran casis. Suspensi pula menerima talaan prestasi dengan spring lebih keras dan tetapan peredam yang dikalibrasi semula.

Gabungan ini, bersama tayar Potenza S007, bertujuan memberikan pengendalian yang lebih kemas dan yakin ketika mengambil selekoh.

Pengeluarannya dihadkan kepada 350 unit, dengan penghantaran dijadualkan bermula musim panas 2027.

BRZ ZC15 dengan tema putih dan gangsa

Sementara itu, BRZ ZC15 memberi penghormatan kepada BRZ generasi pertama yang diperkenalkan pada 2012 dengan kod casis “ZC”.

Model ini hanya ditawarkan dalam warna Ceramic White, yang eksklusif untuk ZC15, bersama rim gangsa matte, angkup Brembo emas dan grafik gangsa pada bahagian sisi.

Ia turut didatangkan dengan spoiler belakang hitam serta V-bar fleksibel di bawah bonet. Skema warna putih dan gangsa ini diinspirasikan daripada BRZ tS keluaran tahun 2020.

Di dalam, ZC15 mendapat upholsteri kulit hitam dengan sisipan Bordeaux Red serta plak edisi khas “ZC15”.

Enjin 2.4 liter, transmisi manual enam kelajuan

Seperti versi standard, BRZ ZC15 menggunakan enjin boxer 2.4 liter berkuasa 228 hp dan 249 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.

Pengeluaran BRZ ZC15 dihadkan kepada 300 unit, dengan model ini dijangka tiba pada awal 2027.