Arkib Tag: Yan

Pasca banjir di kaki Gunung Jerai, foto pelbagai kenderaan rosak tular

TRAGEDI banjir besar melanda sebahagian daerah Yan di Kedah pada semalam mengejutkan ramai pihak.

Menerusi foto tular di media sosial kelihatan harta benda musnah akibat bencana alam itu termasuk beberapa kenderaan milik penduduk.

Salah satu foto tular menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda hampir terjunam ke dalam gaung dipercayai berlaku sekitar kawasan Gunung Jerai.

Foto sebuah kenderaan pacuan empat roda hampir terjatuh ke dalam gaung dekat Gunung Jerai. – Foto ihsan media sosial

Memetik laporan media, insiden berpunca daripada fenomena kepala air dari puncak gunung yang berlaku pada petang Rabu.

Penduduk turut berkongsi pengalaman ngeri berdepan kejadian banjir selain mengakui terpaksa bertindak cepat mengalihkan kenderaan masing-masing ke tempat selamat.

Salah seorang penduduk ditemui Bernama berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan ketika kejadian dirinya berada di masjid bagi menunaikan solat.

“Pada mulanya air keruh biasa saja, saya pergi alihkan motosikal ke tempat lebih tinggi.

“Namun, tidak menyangka keadaan di luar masjid sudah semakin buruk,” kata Ahmad Sharihuddin Hassan, 43 tahun.

Keadaan kawasan sekitar daerah Yan, Kedah dinaiki air pada semalam. – Foto ihsan Bernama

Terdahulu, insiden banjir besar itu turut menyebabkan kemusnahan struktur jalan raya di beberapa kawasan termasuk laluan ke puncak Gunung Jerai.

Terdapat sisa lumpur dan hakisan tanah sehingga menghalang laluan daripada sebarang kenderaan untuk melaluinya.

Banjir menyebabkan struktur jalan musnah teruk. – Foto ihsan Malay Mail

Setakat ini, jumlah kerugian dan kerosakan harta benda penduduk masih lagi belum diketahui.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terutama Kerajaan Negeri Kedah berjanji akan memastikan kebajikan penduduk yang terlibat dalam bencana terbabit terus terbela.