Arkib Tag: Yamaha ZF-R2

Yamaha YZF-R2 2027 dilancar di India, enjin 204cc dengan 26.5PS

Yamaha India memperkenalkan YZF-R2 2027 sebagai model supersport baharu dalam keluarga YZF-R, sekali gus menjadi motosikal pertama Yamaha dalam segmen 200cc di India.

YZF-R2 menggunakan enjin baharu 204cc, casis ringan serta teknologi kawalan elektronik yang diinspirasikan daripada model lebih besar seperti YZF-R1 dan YZF-R9.

Model ini ditawarkan dalam tiga varian dan lima pilihan warna, dengan harga bermula ₹230,500 (RM9,865) tidak termasuk cukai dan kos berkaitan di India.

YZF-R2 dibangunkan untuk memenuhi permintaan penunggang yang mahukan prestasi supersport, teknologi moden dan kebolehgunaan harian dalam satu pakej.

Enjin 204cc Dengan 26.5PS

Yamaha YZF-R2 menggunakan enjin satu silinder 204cc baharu dengan penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api.

Enjin 4-lejang DOHC empat injap itu menghasilkan kuasa maksimum 26.5PS dan tork puncak 19.1Nm.

Antara ciri utama ialah:

  • Enjin 204cc, satu silinder, DOHC empat injap
  • Penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api
  • Kuasa maksimum 26.5PS
  • Tork maksimum 19.1Nm
  • Sistem pelinciran semi-dry sump untuk mengurangkan kehilangan rintangan enjin
  • Finger follower rocker arm dengan salutan Diamond-Like Carbon (DLC)
  • Teknologi DLC diambil daripada pembangunan Yamaha YZF-R1

Yamaha memaklumkan enjin ini menawarkan kuasa maksimum pada tahap teratas dalam kelas 126-200cc, selain memberikan karakter putaran tinggi dan penghantaran kuasa yang responsif.

Berat 149kg, Casis Baharu

Salah satu fokus utama pembangunan YZF-R2 ialah pengurangan berat.

Motosikal ini menggunakan rangka tiub keluli diamond bertegangan tinggi yang baharu. Rangka tersebut direka untuk mengimbangkan ketegaran dengan berat yang rendah.

Berat keseluruhan YZF-R2 hanya 149kg, menjadikannya antara model paling ringan dalam segmennya.

Rangka seberat 14kg itu menggunakan sistem pemasangan enjin empat titik dengan satu titik tambahan bagi mengurangkan lenturan antara enjin dan rangka.

Geometri casis pula diinspirasikan daripada Yamaha YZF-R6, dengan tetapan yang direka untuk memberikan pengendalian lebih semula jadi dan mudah dikawal dalam pelbagai keadaan tunggangan.

Suspensi USD 37mm, ABS Dua Saluran

Dari segi casis, YZF-R2 dilengkapi suspensi yang terdiri daripada:

  • Fork hadapan terbalik (USD) 37mm
  • Penyerap hentak tunggal di belakang
  • Roda 17 inci
  • Sistem ABS dua saluran sebagai kelengkapan standard
  • Sistem klac Assist & Slipper

Varian YZF-R2M turut mendapat fork hadapan boleh laras dan penyerap hentak belakang boleh laras, selain tuil klac dan brek yang juga boleh dilaras.

YCC-T Pertama Dalam Kelas 126-200cc

Yamaha YZF-R2 menjadi model pertama dalam kelas 126-200cc yang menggunakan Yamaha Chip Controlled-Throttle (YCC-T).

Sistem kawalan pendikit elektronik ini menjadi asas kepada beberapa sistem bantuan tunggangan yang ditawarkan pada motosikal tersebut.

Antaranya ialah Yamaha Ride Control (YRC), yang membolehkan penunggang memilih tiga mod tunggangan:

  • Street
  • Sport
  • Rain

Selain itu, terdapat Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) bagi membantu mengawal cengkaman ketika pecutan.

Penukar Cepat Dua Hala

Salah satu ciri utama YZF-R2 ialah sistem penukar cepat generasi ketiga.

Sistem ini menyokong pertukaran gear dua hala dan merupakan ciri pertama dalam segmen.

Penunggang boleh menukar gear dengan lebih pantas tanpa perlu menggunakan klac secara manual untuk setiap pertukaran.

Ciri ini tersedia pada varian kedua dan YZF-R2M.

Reka Bentuk Berinspirasikan R-Series

Dari segi reka bentuk, YZF-R2 mengekalkan identiti keluarga YZF-R dengan bentuk badan yang nipis, kemas dan berorientasikan aerodinamik.

Bahagian hadapan menampilkan lampu utama LED dwifungsi yang kompak bersama lampu posisi LED berkembar.

Reka bentuk fairing hadapan pula mengambil inspirasi aerodinamik daripada YZF-R9, manakala bahagian belakang menggunakan lampu LED berbentuk blok yang diinspirasikan daripada YZF-R1.

Swingarm turut menggunakan reka bentuk berorientasikan MotoGP untuk menguatkan penampilan sporty motosikal ini.

Paparan TFT 5 Inci dan Mod Tunggangan

Untuk ciri elektronik, YZF-R2 dilengkapi paparan TFT warna penuh bersaiz 5 inci.

Paparan ini menunjukkan maklumat tunggangan dan navigasi, manakala sistem Yamaha Ride Control membolehkan penunggang memilih mod Street, Sport atau Rain.

Varian YZF-R2M turut dilengkapi Sistem Kunci Pintar untuk operasi tanpa kunci.

Tiga Varian dan Lima Warna

Yamaha menawarkan YZF-R2 dalam tiga varian.

Varian asas YZF-R2 ditawarkan dalam warna Metallic Black dan Dark Bluish Gray. Ia menggunakan rim hadapan dan belakang serba hitam serta pelana kemasan kusam.

Varian kedua mendapat penukar cepat dua hala generasi ketiga dan ditawarkan dalam warna Matte White Pearl serta Racing Blue.

Ia turut menggunakan rim aloi sewarna badan, grafik khusus model dan kemasan material lebih premium.

Varian tertinggi YZF-R2M pula ditawarkan dalam warna Metallic Gray.

Selain penukar cepat, varian ini dilengkapi:

  • Emblem 3D eksklusif
  • Pelana kemasan faux suede
  • Lengan ayun kemasan perak
  • Shot-blasted muffler end cap
  • Fork hadapan boleh laras
  • Penyerap hentak belakang boleh laras
  • Tuil klac boleh laras
  • Tuil brek boleh laras
  • Sisyem Kunci Pintar

Harga Yamaha YZF-R2 2027

Di India, harga Yamaha YZF-R2 bermula pada ₹230,500 atau kira-kira RM9,865.

Yamaha YZF-R2 akan mula berada di pengedar Blue Square (BSQ) di India mulai pertengahan September 2026.