Arkib Tag: Xpeng Store Damansara

NIZRA Auto rasmi buka bilik pameran Xpeng Store Damansara

NIZRA Auto secara rasmi membuka bilik pameran Xpeng Store Damansara yang terletak di kawasan strategik Damansara Utama.

Pembukaan bilik pameran baharu ini mencerminkan strategi jangka panjang NIZRA Auto dalam membangunkan perniagaan mobiliti berteraskan inovasi, pengalaman pelanggan dan pengangkutan pintar.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir, Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

Ia turut dihadiri oleh Dato’ Sri Fancis Lee Kok Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Berhad; Dato’ Sri Amer Hamzah Ahmad, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Maju Auto Sdn Bhd, serta Wan Zarel Harun selaku Ketua Bermaz Xpeng.

Xpeng bukan sekadar jenama automotif

Nik Iruwan Dato’ Nik Izani, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NIZRA Group Berhad berkata, “Ramai melihat Xpeng sebagai syarikat kenderaan elektrik. Kami melihatnya sebagai syarikat teknologi.”

“Kereta merupakan tempat di mana kecerdasan buatan (AI), perisian, keterhubungan dan teknologi autonomi bersatu.”

Beliau menambah, kerjasama terbaharu ini mencerminkan visi bersama antara NIZRA dan Xpeng dalam mengangkat inovasi, penambahbaikan berterusan dan membina masa depan mobiliti.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bermaz Auto Berhad atas keyakinan terhadap NIZRA Auto.

“Aspirasi kami bukan sekadar menjual kenderaan. Kami sedang membina syarikat mobiliti masa depan yang mengutamakan teknologi, menawarkan pengalaman pemilikan terbaik dan terus berkembang seiring pelanggan kami.”

Selain membuka bilik pameran, NIZRA Auto merancang untuk membangunkan kemudahan selepas jualan dan servis khusus bagi menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih lengkap.

Mengakhiri ucapan, Nik Iruwan menyifatkan pembukaan Xpeng Store Damansara sebagai permulaan kepada perjalanan yang jauh lebih besar untuk NIZRA.

Kerjasama dengan AiMotion

Nik Iruwan turut mengumumkan kerjasama dengan AiMotion sebagai sebahagian daripada transformasi digital yang meluas.

Kerjasama terbaharu ini akan mengintegrasikan AI dalam interaksi pelanggan, operasi perniagaan dan proses membuat keputusan di seluruh syarikat di bawah kumpulan.

“Kecerdasan buatan bukan sahaja mengubah kenderaan. Ia akan mengubah cara perniagaan beroperasi.

“Di NIZRA, kami komited untuk menerima transformasi itu di seluruh Kumpulan,” ujarnya lagi.