Arkib Tag: vonmercier

VonMercier Arosa hoverkraf berkuasa elektrik, boleh dipandu hampir 200km

SEKILAS pandang, VonMercier Arosa kelihatan seperti kereta beroda tiga keluaran Morgan namun ia sebenarnya sebuah hoverkraf sport mewah pertama di dunia. Dua objek bulat itu bukanlah roda, sebaliknya adalah perumah untuk kipas.

Ya, kenderaan mirip roadster dua tempat duduk ini rupa-rupanya adalah sebuah hoverkraf amfibia yang bukan sahaja boleh bergerak di atas jalan, malah air, rumput, pasir dan pelbagai jenis permukaan lagi. Dalam erti kata lain, ia adalah sebuah jentera off-road sejati.

Menurut pengeluarnya iaitu VonMercier – sebuah syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat – Arosa dibangunkan khas untuk mereka yang gemarkan pengembaraan tetapi ingin melakukannya dengan penuh bergaya.

Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana ia boleh bergerak tanpa roda. Seperti hoverkraf konvensional, Arosa bergerak di atas kusyen udara yang berada di dalam skirt fabrik fleksibel yang terletak di bawah badannya.

Hoverkraf sering kali dikatakan sukar untuk dikawal, namun dengan sistem kawalan arah lanjutan (Advanced Directional Control System) yang dibangunkan sendiri oleh VonMercier, Arosa boleh bergerak ke hadapan dan sisi, berhenti serta mengundur dengan mudah.

VonMercier berkata pembikinan Arosa melibatkan gabungan teknik pembinaan daripada industri automotif, marin dan aeroangkasa, serta bahan-bahan berkualiti tinggi seperti karbon dan aloi. Deck atas dan pemijak sisi memudahkan pengguna untuk keluar dan masuk dari jeti dan tanah.

Ruang dalamannya pula menampilkan konfigurasi tempat duduk tandem, di mana kerusi penumpang diletakkan di belakang kerusi pemandu seperti di dalam jet pejuang.

Oleh kerana ia tidak mempunyai bumbung, sistem pendingin hawa tidak disertakan namun anda mendapat stereng Momo dan juga panel instrumen digital.

Kuasa dibekalkan oleh trenkuasa hibrid elektrik yang merangkumi enjin petrol dan tiga motor elektrik.

Jumlah kuasa yang dihasilkan tidak diketahui namun Arosa dikatakan boleh mencapai kelajuan maksimum hampir 130km/j. Apabila pandu pada kelajuan sekitar 64km/j, ia boleh mencapai jarak sejauh 193km.

Pengeluaran Arosa akan dihadkan kepada 50 unit sahaja dan setiap satu akan dijual pada harga bermula dari $100,000 (kira-kira RM418,200).

Sama ada ia boleh dipandu di atas jalan raya atau tidak, bergantung kepada undang-undang negara masing-masing namun memandangkan ia diklasifikasikan sebagai bot, anda mungkin hanya boleh melihatnya beraksi di kawasan-kawasan seperti pantai, tasik atau padang rumput.