Arkib Tag: Volvo EX30 Cross Country

Volvo EX30 Cross Country 2026 kini di Malaysia, harga RM219 ribu

Volvo Car Malaysia secara rasmi melancarkan SUV EX30 Cross Country untuk pasaran tempatan.

Harga jualan bermula dari RM218,888 atas jalan tanpa insurans dengan tiga pilihan warna iaitu:

  • Crystal White
  • Vapour Grey
  • Cloud Blue

100 pembeli pertama bakal menikmati tawaran pelancaran seperti:

  • rebat tunai RM12,000
  • pengecas dinding Volvo (bernilai RM3,990)
  • Load Carrier (bernilai RM2,098)
  • Roof Basket (bernilai RM3,680)

Sistem pacuan

EX30 Cross Country didatangkan dengan tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda (AWD), kuasa sekitar 428 hp dan 543 Nm.

0-100 km/j mengambil masa 3.7 saat sementara kelajuan tertinggi dihadkan kepada 180 km/j.

Pek bateri berkapasiti 69 kWh membenarkan jarak pandu WLTP sejauh 437 km.

SUV ini menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 175 kW, membolehkan bateri dicas 10-80% dalam masa 27 minit.

Kelengkapan

Dari segi luaran, EX30 Cross Country boleh dibezakan menerusi penampilan warna dua tona, skid plate, skrip Cross Country pada tiang C, logo CC serta padanan rim 19 inci.

Ia juga memiliki jarak kelegaan tanah 19 mm lebih tinggi berbanding model EX30 biasa.

Pada muka depan pula terdapat panel hitam yang mempunyai peta topografi kawasan pergunungan Kebnekaise di Sweden.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti skrin tunggal 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto serta perkhidmatan Google, sistem bunyi Harman Kardon dan bumbung kaca panorama.

Tempat duduk menggunakan upholsteri tekstil tenunan dengan kemasan Nordico, diikuti dengan panel hiasan denim dan corong pendingin hawa berwarna biru.

Secara standard, EX30 menawarkan ruang kargo sebesar 318 liter dan boleh mencapai kapasiti 718 liter yang lengkap dengan grafik rujukan ‘Will it Fit’.

Ciri keselamatan

Volvo EX30 Cross Country hadir dengan sistem bantuan pemandu termaju seperti:

  • Pilot Assist
  • Bantuan Pengekalan Lorong
  • Sistem Informasi Titik Buta
  • Sistem Mitigasi & Pengelakan Pelanggaran
  • Brek Kecemasan Autonomi
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang

Tidak ketinggalan, ciri seperti pemantuan tumpuan pemandu, amaran bukaan pintu, serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Aksesori tambahan

Volvo Car Malaysia turut menawarkan beberapa aksesori yang boleh ditambah seperti:

  • rim 20 inci
  • pelindung cahaya matahari untuk bumbung
  • alas lantai dan ruang kargo
  • rak basikal
  • kotak storan bumbung

Kemas kini EX30 varian Ultra

Selain pelancaran EX30 Cross Country, Volvo Car Malaysia turut mengemas kini penawaran EX30 Ultra.

Varian tersebut kini ditawarkan pada harga RM198,888 dengan empat pilihan warna termasuklah Onyx Black.